Menjaga pandangan suatu kewajipan, tidak
kira lelaki mahupun perempuan Muslim.
MATA jendela hati. Kesan menjaga mata
sangat besar dalam menjaga hati. Mata yang tidak terjaga akan membuat hati
keruh dan minda kotor. Mata yang terkawal akan memudahkan seseorang dalam
mengawal rasa hatinya.
Oleh itu, semua ulama daripada kalangan
salafus soleh sangat mengambil berat dalam menjaga mata. Salah seorangnya
adalah Hassan bin Abi Sinan dari kota Basrah di Iraq. Beliau seorang ulama,
sekali gus peniaga terkenal. Meski selalu berjumpa dengan ramai orang, beliau
selalu menjaga matanya daripada yang haram.
Suatu hari, Hassan keluar untuk
melaksanakan solat hari raya. Apabila tiba di rumah kembali, isterinya yang
cemburu berkata: "Berapa banyak wanita cantik yang engkau lihat hari
ini?"
Hassan menjawab: "Demi Allah, Aku
tidak melihat apa-apa selain ibu jari kakiku sejak keluar rumah hingga pulang
kembali."
Panah beracun
Menjaga pandangan suatu kewajipan. Setiap
Mukmin laki-laki dan perempuan wajib melakukannya. Tujuannya agar mereka
terselamat daripada tali-tali syaitan yang akan menjeratnya ke lembah maksiat.
Allah SWT berfirman:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat. (al-Nur [24] : 30)
Pandangan yang tidak terkawal ibarat panah
beracun yang menembus ke dalam dada. Jika tidak segera diubati, racun itu akan
merosak minda dan hati kita. Dosa zina yang sangat dibenci selalu bermula
daripada lirikan mata.
Daripada Huzaifah, Rasulullah SAW bersabda:
"Pandangan adalah salah satu anak panah beracun daripada iblis. Barang
siapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah akan
memberinya keimanan yang manisnya terasa di dalam hati. (diriwayatkan oleh
Al-Hakim)
Bukan hanya aurat
Menjaga mata bukan hanya daripada aurat
yang terdedah. Malah, mata juga mesti dijaga daripada harta yang berada di
tangan orang lain. Sebab seringkali penyakit hati bersarang di hati selepas
melihat benda-benda milik orang lain. Penyakit hati itu antaranya hasad dengki,
iri hati bahkan dendam.
Para ulama berkata: "Siapa yang
melepas matanya mengikuti apa yang berada di tangan orang, maka tidak akan
habis kesedihannya."
Yahya bin Yaman bercerita: Suatu hari, aku
berjalan bersama Sufyan Al-Thauri. Apabila melalui sebuah rumah yang mewah, aku
mengangkat kepalaku untuk melihatnya. Sufyan melarangku dan berkata:
"Janganlah engkau melihat ke rumah ini. Sebab ia sengaja dibuat agar
dilihat oleh orang-orang sepertimu." Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi Dunia
dalam kitab warak.
Mata juga mesti dijaga daripada melihat
orang lain yang tengah melakukan maksiat. Dikhuatiri timbul keinginan untuk
meniru atau mencuba maksiat tersebut. Terlalu banyak kes ketagihan rokok dan
dadah di kalangan anak muda asalnya daripada keinginan untuk mencuba-cuba
sahaja.
Itu sebabnya Islam mengingatkan untuk
berhati-hati memilih kawan. Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan teman
yang baik dan teman yang buruk seperti penjual minyak wangi dan peniup api.
Daripada penjual minyak wangi, engkau akan mendapatkan minyak itu atau
mendapatkan wanginya. Adapun daripada peniup api, maka baju engkau akan
terbakar atau mendapatkan bau busuknya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Mata kita, pilihan kita
Mata adalah anugerah Allah yang tak
ternilai harganya. Ia diberikan kepada manusia agar digunakan untuk membantunya
melakukan ketaatan.
Gunakan ia dalam kebaikan, nescaya ia akan
tetap sihat terjaga hingga ke akhir usia. Seandainya, kita menggunakan ia dalam
keburukan, maka kesusahan dan kegagalan hati yang akan ia hasilkan.
Pilihan terpulang kepada kita. Mana yang
kita pilih, itu yang akan kita dapatkan. Wallahu a'lam.
ARKIB : 15/01/2013utusan.com
No comments:
Post a Comment