بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, January 8, 2013

Islam ubah tasawur masyarakat jahiliah


Pembentukan tasawur Islam bermula daripada penerimaan dan penyebaran wahyu Allah SWT oleh Rasulullah SAW di Makkah. Setiap kali Rasulullah SAW menerima wahyu, Baginda menyebarkan dan menjelaskannya kepada umat Islam ketika itu. 


Sebenarnya perkara ini lebih jelas dilihat daripada proses pembentukan perkara pokok yang menjadi bahagian terpenting dalam tasawur Islam. Perkara pokok itu ialah akidah, ibadah dan akhlak. 


Perbincangan mengenai proses pembentukan elemen pokok yang membawa kepada pembentukan tasawur Islam sebenarnya mengambil masa agak lama bermula daripada peranan Rasulullah SAW menyebarkan dan menjelaskan wahyu itu. 


Makkah adalah era yang sangat penting dalam pembentukan tasawur Islam kerana kebanyakan surah dalam al-Quran diturunkan di Makkah. Menurut Muhammad Sayyid Tantawiy dalam Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an, sebanyak 82 surah daripada 114 surah dalam al-Quran diturunkan di Makkah. 

Penurunan wahyu 

Oleh kerana sebahagian besar al-Quran itu diturunkan di Makkah, maka perbincangan mengenai penurunan wahyu di Makkah itu boleh dibahagikan kepada dua era iaitu era awal dan era akhir penurunan al-Quran di Makkah. 

Wahyu yang diturunkan pada era awal mengandungi konsep ketuhanan dan keimanan kepada Allah SWT, hari akhirat, hari pembalasan, penciptaan alam, syurga dan neraka, balasan baik dan buruk. Semua ini perkara asas tasawur Islam. 

Wahyu yang diturunkan pada era akhir pula memperkenalkan konsep lebih luas dan abstrak seperti konsep ilmu, kenabian, agama serta ibadah. 

Penurunan wahyu dalam kedua-dua era ini penting dalam proses pembentukan tasawur Islam kerana kesungguhan masyarakat Muslim memahami wahyu pada ketika itu telah membentuk struktur konsep baru mengenai dunia. 

Penulis Toshihiko Izutsu dalam God and Man in the Koran: Semantics of the Koranic Weltanschauung menjelaskan, sebelum kedatangan Islam struktur konsep mengenai dunia telah dipengaruhi oleh tasawur masyarakat pra-Islam (jahiliah). 

Kedatangan Islam telah berjaya mengubah struktur konsep dunia yang dibentuk oleh tasawur masyarakat jahiliah itu. Ia kemudian digantikan dengan struktur konsep baru dunia yang dibawa oleh Islam. 

Contohnya, pada zaman jahiliah konsep karam bermaksud kemuliaan kerana memiliki harta dan anak yang ramai. Kedatangan Islam telah mengubah konsep karam menjadi kemuliaan kerana ketinggian ketakwaan kepada Allah SWT. 

Demikian ini berdasarkan firman Allah SWT:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” (Surah al-Hujurat, ayat 13) 

Era Madinah 

Selain itu, wahyu yang diturunkan pada era Madinah mengandungi tema umum penyempurnaan ibadat, rukun Islam, sistem hukum yang mengatur hubungan individu, keluarga dan masyarakat. 

Ini termasuklah hukum mengenai jihad, perkahwinan, pewarisan serta hubungan umat Islam dengan golongan bukan Islam. Secara keseluruhannya, semua tema ini berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Muslim. 

Meskipun begitu, tema wahyu yang diturunkan pada era Madinah tidak terpisah daripada wahyu yang diturunkan di Makkah. 



Oleh :  Shukri Hanapi
2013/01/07 - 05:38:59 AM

Penulis ialah pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia.

*** Tasawwur bermaksud suatu gambaran atau tanggapan akal atau pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...