HARI ini kita telah memasuki tahun 2013.
Tentunya pelbagai rancangan telah dibuat untuk menjadikan tahun ini lebih baik
daripada sebelumnya. Awal tahun memang saat yang tepat menetapkan azam dan
matlamat agar tercapai kehidupan yang lebih sempurna.
Sebagai seorang Muslim, langkah pertama
mempertingkatkan kualiti diri dimulai dengan taubat. Sesuai dengan makna
literalnya, taubat bermakna kembali.
Seseorang yang bertaubat ertinya kembali
kepada Allah Yang Maha Sempurna dengan menginsafi kekurangan diri dan berusaha
menutupinya.
Konsep taubat mengisyaratkan bahawa
kesempurnaan hidup ditentukan oleh kedekatan diri kita dengan Allah SWT. Sebab
Allah adalah sumber kebahagiaan. Siapa yang menjauh diri daripada Allah SWT, ia
tidak akan merasai kebahagiaan di dalam hidupnya.
Mengapa taubat?
Sebahagian daripada kita mungkin bertanya
mengapa kita perlu bertaubat? Jawapannya, sebab dosa adalah penghalang terbesar
dalam kita meraih kejayaan.
Dosa bukan hanya memberatkan proses hisab
kita di akhirat, namun juga memberatkan langkah kita di dunia. Orang yang
berlumuran dosa selalunya dibenci dalam masyarakat.
Ibnu Abbas berkata: "Maksiat
melahirkan kegelapan di hati, kekeruhan di wajah, kesakitan di badan,
kesempitan di rezeki dan kebencian di hati semua makhluk."
Lantaran itu, matlamat taubat adalah menghakis
semua dosa yang selama ini mengeruhkan hidup kita. Menurut Imam Al-Nawawi,
taubat mesti melalui tiga tahapan. Pertama, meninggalkan perbuatan dosa itu.
Kedua, menyesal atas perbuatan tersebut. Dan ketiga, berazam untuk tidak
mengulanginya kembali di masa akan datang.
Al-Nawawi menambahkan: "Jika dosa itu
berkaitan dengan hak manusia, maka syarat yang keempat adalah melepaskan hak
tersebut kepada pemiliknya. Jika hak itu berbentuk harta, maka ia mesti
dikembalikan. Jika berbentuk hukum had seperti tuduhan palsu atau lain-lain,
maka ia mesti tunduk kepada hukuman atau meminta maaf. Dan jika berbentuk ghibah(umpatan),
maka ia mesti minta agar dihalalkan."
Jika semua langkah ini sempurna dilakukan,
insya-Allah akan berlaku perubahan besar dalam hidup kita. Fikiran kita menjadi
ringan, pintu rezeki dan kebahagiaan akan terbuka luas di hadapan.
Allah berjanji menerusi lisan Nabi Nuh:
"Mohonlah ampun kepada tuhanmu sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu". (Nuh: 10-12)
Pintu taubat terbuka
Allah SWT sangat sayang kepada hamba-Nya
yang bertaubat. Sebanyak dan sebesar apa pun dosa yang pernah dilakukan, Allah
SWT akan menyambutnya dengan tangan terbuka. Rasulullah SAW bersabda: Allah
SWT lebih bergembira menerima taubat hamba-Nya daripada salah seorang kamu yang
menemui kembali kenderaan dan bekalannya setelah keduanya hilang di padang
pasir. (Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, bersegeralah bertaubat dan jangan
ditunda-tunda. Mulakanlah tahun baharu yang menjelang ini dengan istighfar,
permintaan maaf dan keinsafan diri. Boleh jadi tahun ini merupakan tahun
terakhir kita berada di atas muka bumi.
Lantaran itu, manfaat peluang yang masih
ada untuk bertaubat kepada Allah dan jadilah manusia yang berjaya di dunia juga
selamat di akhirat. Wallahu a'lam.
Oleh :UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung
pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang
kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh juga diajukan di www.facebook.com/UmarMuhammadNoor
ARKIB : 01/01/2013
No comments:
Post a Comment