Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI |
SETELAH Allah SWT menyebut tiga prinsip
kebuktian iaitu Keesaan Allah SWT, adanya hari kebangkitan dan risalah,
kemudiannya Dia membicarakan tentang keesaan-Nya dengan menyebut beberapa
dalil-Nya.
Firman Allah SWT:
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya? (Yasin: 71)
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT menyebutkan
nikmat-nikmat yang diberikannya kepada para makhluk-Nya berupa binatang
ternakan yang ditundukkan untuk mereka.
Qatadah berkata: Mereka memiliki kemampuan
memaksanya. Binatang itu tunduk kepada mereka serta tidak mampu melawannya.
Al-Maraghi berkata: Tidakkah orang musyrik
yang menyembah patung-patung itu menyaksikan bahawa Kami telah menciptakan
binatang-binatang ternak seperti unta, lembu dan kambing yang mereka gunakan
mengikut kehendak mereka. kami menjadikan binatang tersebut patuh kepada
mereka, bahkan seorang hamba wanita kecil, jika dia mahu menundukkan unta atau
gajah yang besar, pasti boleh dilakukannya.
Firman Allah SWT:
Dan Kami jinakkan ia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. (Yasin: 72)
Ibnu Kathir berkata: Ada yang ditunggangi
dalam perjalanan serta untuk membawa pelbagai barang yang berat menuju berbagai
arah dan daerah. Dan jika mereka mahu, mereka boleh memotong atau
menyembelihnya.
Al-Maraghi berkata: Kami tundukkan
binatang-binatang ternakan tersebut untuk mereka. Antaranya ada yang mereka
jadikan sebagai kenderaan untuk mengangkut bebanan berat ke tempat yang mereka
kehendaki atau disembelih untuk dimakan dagingnya atau mengambil manfaat
daripada lemaknya.
Firman Allah SWT:
Dan mereka beroleh pelbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur? (Yasin: 73)
Ibnu Kathir berkata: Pada bulu tebal, bulu
nipis dan rambutnya sebagai barang hiasan atau sebagainya daripada binatang
ternakan kami mendapat manfaatnya. Susunya boleh diminum. Mengapakah mereka
tidak juga mengEsakan Pencipta dan menyekutukan-Nya?
Al-Maraghi berkata: Mereka juga menerima
manfaat daripada binatang ternakan seperti kulitnya untuk dibuat pakaian atau
kasut, dijadikan bajak ke sawah dan susunya boleh diminum. Oleh yang demikian,
mereka disuruh bersyukur kepada Allah SWT.
Kata Malikun yang memberi makna
pemilik bertujuan menekankan dan menghadirkan manfaat dan nilai
binatang-binatang itu dalam benak minda bicara sebelum mengingatkan mereka
tentang nikmat kepemilikannya.
Daripada sudut lain, penggunaan bentuk nakirah pada
kata malikun untuk menggambarkan betapa besar dan mantap kepemilikan
itu. Lihatlah bagaimana bintang-bintang itu, meskipun demikian besar, namun
sepenuhnya dikuasai dan ditundukkan oleh manusia.
Bandingkanlah dengan lalat yang sangat
kecil; manusia tidak ada kuasa merebut kembali apa yang direbut daripadanya
oleh lalat itu. Sesungguhnya anugerah binatang ternakan itu adalah nikmat yang
besar dan hak pemilikan serta menguasainya pun merupakan satu anugerah yang
besar.
ARKIB : 04/01/2013
No comments:
Post a Comment