Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
DALAM ayat-ayat terdahulu, Allah SWT menyebut
bukti-bukti kebesaran dan kekuasaan-Nya. Dia menegaskan manusia sepatutnya
menyembah-Nya dan menyatakan kebatilan sembahan-sembahan orang musyrik itu.
Pada ayat-ayat yang berikutnya, Allah SWT
menyebut lagi bukti-bukti keEsaan dan kekuasaan-Nya dalam diri mereka sendiri
dan menyebut pula sebahagian makhluk-Nya ada yang beranggapan tidak mungkin
manusia akan dibangkitkan.
Mereka berkata: Bagaimana tulang-temulang
yang telah hancur lebur dihidupkan semula." Allah SWT menjawab pertanyaan
jahil mereka itu, bahawa yang telah menciptakan tulang-temulang pada kali
pertama pula yang akan menghidupkannya semula.
Allah SWT kemudiannya menyebut pula bukti
yang lain, iaitu Dia mampu mencipta api daripada pohon yang hijau, walaupun
pokok itu berair. Kemudian Allah SWT menyebut pula perkara yang lebih besar
daripada penciptaan manusia bagi menunjukkan kebesaran kekuasaannya-Nya, iaitu
penciptaan langit dan bumi.
Segalanya sangat mudah bagi Allah SWT
sekadar Dia hanya berfirman: Jadilah. Justeru, sesuatu yang dikehendaki-Nya
pasti akan berlaku.
Mujahid, Ikrimah, Urwah, Zubayr dan Qatadah
berkata: Suatu ketika, Ubay Ibnu Khalaf datang menemui Rasulullah SAW, di
tangannya dia menggenggam tulang yang telah reput, lalu diketuk-ketuknya tulang
itu lalu dilemparkannya ke udara sambil berkata: Muhammad, apakah engkau
mengatakan bahawa Allah akan membangkitkan tulang ini?" Nabi SAW bersabda
yang bermaksud: Ya Allah akan mematikan kamu dan membangkitkan kamu semula,
kemudian Dia akan mengiringimu ke neraka." Sejurus itu turunlah firman
Allah SWT (Yasin: 77) yang bermaksud: Tidakkah manusia itu melihat dan
mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari setitis air benih?
Firman Allah SWT:
Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan ia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati). (Yasiin: 77)
Ibnu Abi Hatim berkata: Atas dasar apa pun,
makna ayat ini untuk semua orang yang mengingkari hari kebangkitan sedangkan
alif dan lam yang terdapat dalam firman Allah SWT merangkumi setiap orang yang
ingkar pada hari pembalasan.
Ibnu Kathir berkata: Apakah orang yang
ingkar dengan hari kebangkitan tidak mengambil petunjuk dari awal penciptaan
manusia dari setitis air yang hina, lalu Dia menciptakannya daripada sesuatu
yang rendah, lemah dan hina. Bukankah Dia mencipta makhluk atau manusia dari
setitis air yang hina dan hanya dengan kuasa-Nya menghidupkan sesiapa selepas
kematian mereka.
Al-Maraghi berkata: Allah SWT mencipta
binatang-binatang ternakan untuk manusia agar mereka bersyukur. Dalam hal ini
Allah SWT mampu mencipta manusia daripada setitik air yang hina dan sudah tentu
mampu menghidupkan mereka yang sudah mati.
Firman Allah SWT:
Serta ia mengemukakan
satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula
lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: Siapakah yang dapat
menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu? (Yasin: 78)
Ibnu Kathir berkata: Iaitu dia menganggap
mustahil dikembalikannya jasad dan tulang-tulang yang telah hancur luluh oleh
Allah SWT. Dia lupa yang Maha Berkuasa dengan penciptaan langit dan bumi. Sesungguhnya
Allah SWT menciptakannya daripada tidak ada menjadi manusia yang sempurna. Mereka
mengetahui pada dirinya sesuatu yang lebih besar daripada apa yang dianggap
mustahil namun mereka ingkar dan membantah.
Al-Maraghi berkata: Orang musyrik
beranggapan tidak mungkin Allah SWT dapat menghidupkan mereka semula setelah
mati lalu menjadi tulang yang reput. Mereka lupa, Allah SWT mencipta dirinya
daripada asalnya tidak ada.
Firman Allah SWT:
Katakanlah: Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya dan ia Maha mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya). (Yasin: 79)
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT Maha
Mengetahui tulang-tulang diseluruh pelosok dan sudut bumi, ke mana hilangnya
dan di mana hancur luluhnya tulang tersebut.
Al-Maraghi berkata: Wahai rasul! Katakanlah
kepada mereka yang musyrik itu: Allah SWT yang akan menghidupkan
tulang-temulang yang telah hancur. Dia jugalah yang mencipta tulang tersebut
daripada keadaan tidak ada. Dia Maha Mengetahui segalanya.
Seorang ahli falsafah Muslim yang terkenal,
Al-Farabi berkata: Aku mahukan Aristotles memahami ayat: Katakanlah yang akan
menghidupkannya adalah Tuhan yang menciptakannya pertama kali.
Firman Allah SWT:
Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) daripada pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api daripada pohon-pohon itu. (Yasin: 80)
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT mencipta
pohon tersebut daripada air hingga menjadi pepohonan yang menghijau, berbuah
dan berbunga kemudian Dia mengulanginya menjadi kayu-kayu kering untuk
menyalakan api. Seperti itu pula, Dia melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya
dan Maha Kuasa serta tiada siapa pun yang mampu melakukannya.
Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah
menyuburkan pohon dengan air sehingga ia menjadi subur menghijau. Kemudian
pohon itu pula dijadikan kayu bakar yang digunakan untuk menyalakan api. Kemudian
Allah SWT berupaya mencipta api daripada pokok yang hijau mengandungi unsur
pembakaran, manakala air itu pula mampu mengembalikan semula tulang-temulang
manusia yang telah hancur kepada asalnya semula.
ARKIB : 18/01/2013 utusan.com
No comments:
Post a Comment