بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, November 28, 2011

Infaq harta pelaburan beri keuntungan dunia, akhirat

Oleh Shuhairimi Abdullah

2011/11/28

MENGINFAQKAN sebahagian harta pada jalan Allah SWT sangat dituntut dan penekanan ini berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Menginfaqkan sebahagian harta kepada golongan tertentu supaya pengagihan kitaran kekayaan dapat dilakukan secara adil dan saksama dalam masyarakat. 

Tuntutan itu disyariatkan bertujuan mengelak berlakunya monopoli dan penimbunan harta dalam kelompok individu tertentu. Pada masa sama, amalan itu dapat membersihkan jiwa manusia daripada sifat keji seperti bakhil, individualistik dan tamak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bukanlah satu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah beriman seseorang kepada Allah dan hari akhirat, segala malaikat, Kitab dan sekalian Nabi; mendermakan harta dicintainya kepada kerabatnya, anak yatim, orang miskin, orang musafir, orang meminta-minta, orang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, kesakitan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 177)
Ibn Kathir berpendapat setiap individu Muslim dituntut melakukan sedekah kepada golongan memerlukan, mengeluarkan zakat dan menginfaqkan sebahagian daripada harta mereka ke jalan Allah SWT. 

Beliau memetik hadis yang bermaksud: “Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sedekah yang paling utama ialah anda bersedekah ketika anda sihat, rasa kedekut, masih mengharap untuk menjadi kaya dan takut miskin.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Katanya, orang yang menginfaqkan harta mereka memiliki keimanan dan ketakwaan tinggi kepada Allah kerana menyempurnakan tuntutan fitrah yang merangkumi hati, perasaan, pemikiran serta amal perbuatan dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan. 

Wahbah al-Zuhayli pula berpandangan maksud mendermakan harta yang dicintai merujuk kepada sedekah yang dikategorikan wajib iaitu zakat dan terangkum juga bagi maksud sedekah sunat untuk menggalakkan aktiviti sedekah serta menjanjikan ganjaran kepada pelakunya. 
Allah SWT turut menegaskan bahawa menafkahkan atau menginfaqkan harta pada jalan-Nya seperti mewujudkan jaringan interaksi dengan Allah dan sebagai ganjaran, manusia yang melakukan tuntutan itu dinilai sebagai individu berjaya di sisi Allah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah, dan mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah Al-Rum, ayat 38) 

Abd Allah ibn Abi Talhah mendengar Anas bin Malik bercerita: “Seorang lelaki Ansar yang terkaya dalam kalangan kaumnya di Madinah bernama Abu Talhah, ketika mendengar turunnya ayat ini beliau datang menemui Nabi Muhammad SAW dan berkata: Ya Rasulullah, di antara harta kekayaanku yang paling aku sayangi ialah Bairuha iaitu sebuah ladang yang terletak berhadapan dengan masjid. Rasulullah sering memasuki kawasan itu dan minum air yang segar dari tempat itu. Oleh yang demikian, aku berhasrat untuk menafkahkannya pada jalan Allah bersesuaian dengan firman-Nya, maka terimalah wahai Rasulullah sedekahku ini dan letakkannya seperti mana Allah perintahkan kepadamu. 

Lantaran, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bagus-bagus, itulah harta yang menguntungkan. Aku mendengar kata-katamu dan aku berpendapat hendaklah engkau berikan kepada kaum keluarga kamu. Maka beliau melakukan sedekah itu seperti yang diperintahkan oleh Nabi.” 

Berdasarkan dalil al-Quran dan al-Sunnah, jelaslah syarak menuntut kita melakukan aktiviti infaq untuk dikongsikan lebihan harta kepada masyarakat. Sebagai Muslim, menjadi kewajipan melakukan infaq sama ada berbentuk wajib iaitu zakat dan yang sunat seperti bersedekah. 

Menginfaqkan harta pada jalan Allah, secara tidak langsung kita melakukan satu pelaburan paling menguntungkan bukan saja di dunia, lebih penting di akhirat kelak. Tuntutan supaya Muslim melakukan infaq membuktikan Islam mengutamakan kepentingan umum berbanding keperluan peribadi. 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...