بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, November 1, 2011

Mengapa Solat Tak Mampu Cegah Melakukan Perkara Keji


Oleh Ustaz Zainudin Hashim

Adakah kerana pelaksanaannya tidak menepati peraturan beramal seperti yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ataupun melakukan solat tetapi pada masa yang sama jahil tentang hukum-hakam agama.

Sepatutnya perkara maksiat, jenayah dan sebagainya tidak banyak berlaku dalam negara ini disebabkan bercambahnya bangunan-bangunan masjid yang tersergam indah di mana-mana.

Di mana silapnya? Mungkin juga pengisian kelas-kelas fardu ain, tazkirah, ceramah, forum agama terlalu sedikit penganjurannya, atau penganjuran program-program hiburan terdapat di sana sini termasuklah pada sambutan malam hari raya, atau kerana faktor kewangan untuk membayar upah penceramah atau mungkin sebab-sebab lain?

Kalau di Terengganu sebagai contoh begitu berbangga dengan gah di papan-papan iklan besar yang menyebut bahawa dalam tempoh dua tahun memerintah sejak 2004, kerajaan Barisan Nasional berjaya membina 62 buah masjid, tetapi mengapa gejala sosial, kumpulan remaja yang buruk akhlak semakin menjadi-jadi.

Sesungguhnya masjid-masjid yang dibina itu hanya dibanggakan dengan bangunannya sahaja tidak dengan pengisiannya, majlis ilmu jauh sekali, yang banyak diisi ialah majlis baca Yasin pada malam Jumaat, itupun satu tradisi yang telah diwarisi sejak berpuluh-puluh tahun.

Surah Yasin dibaca, tetapi isinya tidak dihayati, sedangkan dalam surah tersebut terdapat ayat yang menceritakan tentang pendekatan sains, asal-usul kejadian manusia dan banyak, namun ia tidak dianggap penting, yang lebih penting ia tetap dapat dianjurkan.

Justeru, sepatutnya bulan Ramadan yang telah kita tinggalkan hampir tiga minggu lalu telah banyak memberi pengajaran menerusi tazkirah dan tadarus al-Quran, ia bertujuan supaya kita dapat lakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain atas dasar kefahaman dan ilmu pengetahuan yang jitu, barulah penghayatan solat dalam diri seorang muslim itu mantap dan berkesan serta benar-benar mampu menangkis sebarang perbuatan keji dan mungkar.

Bukan sahaja diri kita sendiri, malah yang penting anak keturunan kita juga adalah jenis insan yang mampu membina jati diri dengan solat sekali gus menangkis serangan syaitan yang sentiasa mengintai peluang bagi merosakkan bangsa manusia supaya menjadi teman rapat mereka untuk masuk neraka Allah SWT.

Sehubungan itu, Allah menjelaskan dalam al-Quran menerusi ayat 58-59 surah Maryam yang bermaksud: Mereka itu adalah orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi dari keturunan Adam dan dari orang-orang yang Kami angkat bersama Nuh, serta dari keturunan Nabi Ibrahim dan Israil dan orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih. Mereka itu apabila dibaca ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis. Maka datanglah sesudah mereka (generasi berikut), pengganti yang tidak baik yang mensia-siakan pelaksanaan ibadat solat dan menuruti hawa nafsu, maka mereka kelak akan menmui kesesatan.

Sesungguhnya matlamat utama daripada pelasanaan ibadat solat ialah untuk mencapai tingkatan takwa kepada Allah sama seperti yang disebut oleh Allah dalam pelaksanaan ibadat puasa dalam bulan Ramadan lalu, caranya ialah dengan merasa takut hanya kepada-Nya, melakukan segala hukum-hakam-Nya yang termaktub di dalam al-Quran, bersiap untuk menghadapi hari kematian dan untuk bertemu dengan-Nya.

Kalau dengan cara ini dapat dilakukan, Insya Allah perkara mungkar dan keji dapat diatasi, jiwa orang yang bersolat sentiasa rindu kepada Pencipta, sekali gus benci kepada perkara-perkara yang menjurus kepada penentangan terhadap hukum-hakam Allah.

Terdapat orang yang melakukan solat, tetapi sukar untuk berpisah dengan maksiat, ini kerana solat yang dilakukannya bukan atas dasar ilmu yang dipelajari, ia tidak lebih daripada pelaksanaan secara tradisi biasa atau budaya kerana melihat orang ramai bersolat, maka syaitan mencari ruang dan kesempatan untuk membisik serta mengilhamkan kepada pelakunya perkara-perkara negatif termasuklah yang boleh menggugat iman kepada Allah.

Hingga akhirnya hilang rasa khusyuk ketika melakukan solat dan tidak memahami setiap bacaan yang dibacanya ketika bersolat, sebagai contoh, berapa ramai orang Islam dalam negara ini yang membaca doa qunut pada solat subuh dengan memohon kepada Allah, Ya Allah berikanlah kepada kami hidayat, sepertimana Engkau beri hidayat kepada orang yang Engkau diberi hidayat, palingkanlah kami dari golongan orang-orang yang Engkau palingkan dari rahmat-Mu.

Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat umat Islam dalam negara kita ini, golongan yang diberi hidayat oleh Allah tidak menjadi role model kepada mereka, malah golongan yang dipalingkan oleh Allah dari sisi-Nya itulah menjadi ikutan pada gaya hidup mereka, cara berpakaian, penampilan yang songsang, cara hidup, berkeluarga, berpendidikan, berpolitik dan sebagainya, akhirnya kita jadi umat yang tidak mampu untuk menepis atau menangkis bisikan dan pujuk rayu syaitan yang direjam.

Sedarlah wahai umat Muhammad sekalian! Beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad jika dibandingkan dengan generasi terawal di kalangan pengikut dan umat Nabi-nabi sebelum Nabi kita Muhammad s.a.w., ini kerana kita beramal sedikit,. Tetapi diberi ganjaran sepuluh pahala berbanding dengan umat terdahulu, di mana hanya mendapat satu sahaja pahala dari setiap amalan yang dilakukannya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...