بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, November 18, 2011

Rahsia khusyuk dalam solat


Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

SOLAT adalah komunikasi antara seorang hamba dengan Allah SWT yang seharusnya terjadi dengan suasana penuh mesra dan bahagia. Solat yang benar-benar diterima mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang.

Solat yang sempurna juga melahirkan natijah kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dalam firman-Nya; Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. (al-Mukminun: 1-2)

Walaupun kita menunaikan solat setiap hari namun, sejauhmana keyakinan kita dalam melakukan amalan ibadah yang diperintahkan kepada kita dalam rukun Islam kedua itu dengan sempurna dan diterima oleh Allah. Atau mungkin sekadar mendatangkan penat dan letih sahaja.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya, Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud, "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." (riwayat an-Nasaie)

Untuk memperoleh solat yang sempurna perlu disertai dengan persediaan dari segi rohani dan juga jasmani.

Solat perlu dilakukan keadaan yang selesa di samping menumpukan sepenuh perhatian serta menghadirkan hati kepada Allah SWT sebagai persediaan rohani.

Daripada segi jasmani pula, solat adalah perbuatan anggota tubuh dan bacaan yang sempurna.

Justeru, untuk memperoleh solat yang sempurna yang menjanjikan ketenangan serta kebahagiaan hidup, maka amat penting kepada kita untuk menunaikan solat dengan penuh rasa khusyuk dengan memahami dan menghayati setiap patah perkataan yang diucapkan.

Maka proses komunikasi antara seorang hamba dan Penciptanya akan lebih bermakna dan memberikan kesan yang terbaik.

Berikutan pentingnya untuk mengecapi khusyuk dalam solat itu, Profesor Emeritus Datuk Isahak Haron bersama Ibrahim Hashim mengambil inisiatif menerbitkan buku Fahami bacaan dalam solatmu.



Ia menghimpunkan bacaan-bacaan dalam solat bersama terjemahan dengan penyampaian yang ringkas dan padat serta mudah untuk difahami.

Isahak berkata, buku tersebut dihasilkan daripada kajian beliau di beberapa sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) mendapati kurang daripada 10 peratus murid atau responden yang memahami bacaan al-Fatihah dan ayat lain dalam solat masing-masing.

"Pelajar sama ada di sekolah atau di institusi hanya didedahkan dengan bacaan solat dengan menghafal setiap ayat yang perlu dibaca semasa solat. Namun, mereka tidak ditekankan memahami bacaan ayat tersebut.

"Tinjauan peribadi saya juga mendapati, buku atau penulisan mengenai terjemahan bacaan dalam solat adalah sangat kurang diterbitkan oleh mana-mana organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerangkan buku Fahami bacaan dalam solatmu di Rumah Universiti, Universiti Malaya baru-baru ini.

Kajian tersebut memberi ilham kepada Isahak untuk menerbitkan sebuah buku sebagai panduan kepada masyarakat terutamanya orang yang baru memeluk Islam sebagai rujukan untuk menunaikan solat dengan sempurna dan menerima ganjaran penuh daripada Allah SWT.

Sebagaimana sabda Nabi SAW, "Seseorang hamba itu bersolat dan hanya mendapat satu persepuluh daripada solatnya, atau satu persembilan, atau satu perlapan, atau satu pertujuh, atau satu perenam, atau satu perlima, atau satu perempat, atau satu pertiga atau separuh". (riwayat Abu Dawud, Ahmad)

Buku ini mengandungi 13 bab bermula dengan bacaan wuduk sehingga bacaan tahiyat akhir. Di samping itu, buku itu juga menyediakan latihan tambahan untuk menambah kefahaman dan menguji meningkatkan daya ingatan serta hafalan.

Bagi pemahaman pembaca, penulis juga menyediakan ilustrasi bergambar sebagai panduan menunaikan solat dengan kaedah yang betul serta terjemahan lengkap secara per-kata bagi setiap ayat dan perkataan yang dibaca semasa solat.

Dengan menggunakan bahasa yang mudah dan penerangan ringkas, buku ini sesuai digunakan oleh segenap lapisan masyarakat bagi membantu meningkatkan rasa khusyuk dalam solat.

Ia sesuai dijadikan bacaan peribadi atau sebagai panduan dalam kelas pengajian untuk masyarakat umum.

Oleh itu, pembaca dapat memahami setiap bacaan yang dituturkan dalam solat dan menghayati ibadah yang dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Buku itu juga secara tidak langsung mengajar pembaca untuk memahami dan mempelajari bahasa Arab yang merupakan bahasa syurga itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...