بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, November 10, 2011

Wakaf tanah, banglo untuk warga emas



Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

Gambar Zulkarnain Mohd Saidin


Wasiat Nabi Muhammad SAW menerusi hadis di atas jelas menunjukkan amalan individu Muslim tidak akan terhenti walaupun telah meninggal dunia dengan adanya tiga peninggalan tersebut semasa di dunia untuk dibawa sebagai saham akhirat.

Tahukah anda, perkataan infaq atau wakaf yang disebut sebanyak 60 kali dalam al-Quran menunjukkan bahawa Allah SWT sangat menggalakkan para hamba-Nya melaksanakan ibadah wakaf.

Wakaf bukanlah istilah baru bagi umat Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW lagi baginda telah memperkenalkan ibadah wakaf kepada sahabat untuk diamalkan bagi melengkapi amalan bersedekah.

Keistimewaan harta wakaf yang boleh mendatangkan hasil atau menjana lebih banyak manfaat secara berterusan menjadikan ganjaran amalan wakaf tidak akan terhenti selagi harta tersebut memberi manfaat dan digunakan dalam bentuk yang baik.

Buktinya, ketika tibanya Nabi Muhammad SAW ke kota Madinah, baginda telah membeli tanah daripada dua saudara yatim piatu iaitu Sahl dan Suhail dengan berharga 100 dirham. Tanah itu diwakafkan untuk dibina masjid yang kini dikenali sebagai Masjid Quba.

Walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai istilah wakaf, namun para ulama bersepakat wakaf sebagai menahan sebahagian harta yang dimiliki untuk diberikan kepada masyarakat untuk dimanfaatkan ke arah kebajikan.

Malangnya wakaf dan institusi yang diwakilinya itu menempuh zaman yang cukup malap pada hari ini.

Ini diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr. Muhammad Yamin Ismail bahawa amalan wakaf kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Islam pada masa kini kerana kurangnya kesedaran mengenai kepentingan dan kelebihan ibadah tersebut.

"Ramai di kalangan masyarakat kini masih belum mengetahui kelebihan wakaf. Selain mendapat ganjaran pahala daripada Allah secara berterusan, harta wakaf yang disumbangkan itu akan digunakan mengikut permintaan pemberi wakaf atau diuruskan untuk kegunaan pembangunan ekonomi umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan wakaf daripada Ir. Md. Mazlan Md. Ismail, 70, di Sungai Penchala, di sini baru-baru ini.

Turut hadir di majlis penyerahan itu, Pegawai Hal Ehwal Islam MAIWP, Ahmad Saifuddin Md. Tahir

Md. Mazlan mewakafkan tanah seluas 1.72 ekar di Sungai Penchala yang terdapat sebuah banglo lengkap dengan enam buah bilik, peralatan perabut, ruang solat dan dapur.

Beliau turut mewakafkan sebuah lagi rumah di tanah tersebut yang kini didudukinya bersama isterinya, Rabiah Bee Mohamad Sulaiman, 64, apabila kedua-dua mereka sudah meninggal dunia serta tanah kebun buah-buahan milik beliau.

Dr. Mohammad Yamin berkata, harta yang diwakafkan itu merupakan antara sumbangan terbesar yang diterima oleh MAIWP setakat ini mengikut kiraan harga semasa di kawasan tersebut.

Menurutnya, banglo tersebut akan dijadikan Pusat Pengajian Warga Emas Dar-Assakinah iaitu pusat pengajian khas untuk warga emas yang berminat mengikuti pengajian agama.

"MAIWP telah merangka kertas kerja cadangan untuk menubuhkan pusat tersebut dan dan akan dibawa dalam mesyuarat lembaga MAIWP pada pertengahan Disember ini. Pusat tersebut dijangka akan mula beroperasi pada awal tahun hadapan.

"Pada peringkat permulaan, MAIWP akan mengambil antara 10 hingga 15 orang warga emas atau mengikut kapasiti rumah ini untuk pendedahan pengajian peringkat awal yang akan diuruskan oleh Bahagian Pembangunan Insan MAIWP," katanya.

Tambahnya, MAIWP akan melantik seorang pengetua bagi menguruskan pusat pengajian itu yang akan dibantu oleh pembantu Hal Ehwal Islam dan seorang pembantu am.

Dr. Muhammad Yamin berkata, MAIWP telah mengumpulkan seluas 56.83 ekar tanah yang diwakafkan oleh waqif-waqif (penyumbang) dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan hampir kesemuanya telah diusahakan mengikut permintaan pemilik asal atau yang difikirkan sesuai untuk manfaat masyarakat oleh MAIWP selaku mauquf (penerima).

Beliau berkata, wakaf yang disampaikan penyumbang wajar dicontohi oleh masyarakat dan menyarankan orang ramai tidak perlu bimbang untuk mewakafkan harta untuk pelaburan di akhirat kerana MAIWP akan menguruskan dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, Ir. Md Mazlan yang merupakan bekas Pengurus Besar Akreditasi Lembaga Jurutera Malaysia, melihat kesusahan yang dihadapi warga emas untuk menyertai pengajian agama membuatkan hatinya terlintas mendirikan satu pusat pengajian untuk kemudahan golongan itu.

"Saya melihat terdapat sesetengah warga tua yang menunaikan amalan seperti solat atau menunaikan haji tidak mengikut ketetapan rukun dan syarak. Mereka juga mempunyai masalah untuk menghadiri kelas pengajian agama kerana kurang berkemampuan serta mempunyai masalah tersendiri.

"Oleh itu, bagi merancang satu kaedah pelaburan yang dapat menjana pulangan di akhirat yang berkekalan, saya dan seluruh keluarga bersetuju dan seikhlas hati mewakafkan sebidang tanah dan harta ini untuk kegunaan masyarakat.

"Saya berharap, MAIWP dapat melaksanakan permintaan saya ini dengan sebaik mungkin dan memberi manfaat kepada bukan sahaja penduduk sekitar malah warta tua di seluruh Wilayah Persekutuan," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...