بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, November 10, 2011

Lawat hospital - risiko bagi si kecil

Peraturan yang dikenakan terhadap waktu melawat di hospital adalah demi keselesaan dan privasi pesakit. - Gambar hiasan


Di semua hospital dan pusat perubatan sama ada swasta atau awam, terdapat papan kenyataan 'Kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilarang masuk' di pintu masuk utama dan wad.

Penulis yang kerap mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di sini telah bertanya seorang pegawai keselamatan sama ada ibu bapa dibenarkan membawa bersama anak kecil ketika melawat keluarga atau rakan yang dimasukkan ke hospital.

"Sudah tentu hospital mengamalkan konsep mesra pelawat. Kanak-kanak memang dibenarkan masuk jika mereka ditemani orang dewasa setiap masa. Tetapi untuk kesejahteraan pesakit, anak kecil yang tidak sihat memang tidak digalakkan melawat pesakit di hospital," kata beliau.

Pegawai itu (yang enggan namanya disiarkan) menjelaskan bahawa hospital tetap memberi keutamaan kepada pesakit dan sebab itulah anak-anak berumur bawah 12 tahun tidak dibenarkan melawat pesakit di wad.

Bagaimanapun jururawat boleh menggunakan budibicara mereka bergantung pada situasi, kata beliau.

Terdapatkah had bagi bilangan pelawat pada satu-satu masa?
Pegawai keselamatan itu berkata, peraturan yang sedia ada hanya membenarkan dua pelawat pada satu-satu masa dan ini hanya boleh dilakukan ketika waktu melawat.

"Bagaimanapun kakitangan keselamatan boleh mengguna budi bicara mereka tetapi membenarkan terlalu ramai pelawat boleh menyebabkan pesakit cepat letih.

"Kami (hospital) tidak mahu situasi di mana pesakit akan menjadi cepat letih kerana terpaksa melayan ramai pelawat," tambah beliau.

Ada kalanya kakitangan yang bertugas terpaksa meminta pelawat untuk beredar.

Ini kerana doktor dan jururawat mahu memastikan privasi dan keselesaan pesakit dan membenarkan mereka meneliti serta membuat laporan kesihatan pesakit dengan tepat, kata pegawai itu lagi.

Kenapa wujudnya peraturan sebegini?
Seorang pegawai kejururawatan, Wan Norida (bukan nama penuh) berkata, anak bawah 12 tahun biasanya nakal dan ibu bapa mungkin sukar untuk mengawal gelagat mereka bila berada dalam wad. Lagipun wad di hospital bukan sama dengan taman permainan.

"Anak kecil biasanya tidak boleh duduk diam dan mungkin lari ke sana sini. Mereka juga mungkin menarik tiub atau mengganggu saluran intavena atau kelengkapan yang lain.

"Anak kecil juga mudah menangis. Jika ini berlaku, tangisan kuat mereka boleh mengganggu pesakit lain. Kehadiran anak kecil juga boleh mengganggu jururawat daripada menjalankan tugas," kata Wan Norida.

Beliau juga menasihati individu yang mempunyai penyakit mudah berjangkit seperti selesema menghindari daripada melawat pesakit di hospital.

"Jika keadaan anda mudah berjangkit adalah tidak digalakkan melawat pesakit di wad. Jika ada selesema atau simptom yang menyamai selesema, rujuk dulu kepada jururawat bertugas," tambah beliau.

Wan Norida menasihati ibu bapa seboleh-bolehnya tidak membawa anak kecil ketika memasuki wad untuk melawat, melainkan jika tiada pilihan lain.

Risiko jangkitan
"Kalau boleh rujuk dulu dengan petugas. Hospital punya peraturan tertentu berhubung pelawat bersama kanak-kanak," jelas beliau lagi.

Pegawai perubatan, Dr. Junie Sng berkata: "Bukannya kami sengaja mengenakan peraturan ketat berhubung isu anak kecil. Ada kalanya jururawat membenarkan ibu bapa membawa bersama anak kecil mereka bila melawat keluarga yang sakit dalam wad.

"Tapi apa yang kami takutkan adalah dari segi risiko jangkitan. Anak kecil termasuk bayi mempunyai imuniti badan yang lebih rendah berbanding orang dewasa.

"Ibu bapa tidak sedar tindakan mereka membawa anak kecil akan mendedahkan kepada risiko dijangkiti.
"Dalam wad sebenarnya terdapat pelbagai kuman dan jika seorang pesakit menyentuh anak yang kecil, beliau dengan tidak sengaja memindahkan jangkitan kepada anak kecil itu.

"Ketika berada dalam wad, anak kecil juga boleh menerima jangkitan daripada pesakit lain dan tidak semestinya daripada pesakit yang mereka lawati. Sungguh menyedihkan jika ibu bapa membiarkan anak mereka menghadapi risiko jangkitan sedangkan situasi ini boleh dielakkan," kata beliau.

Beliau menasihati para pelawat mematuhi peraturan membasuh tangan serta peraturan keselamatan hospital yang lain. Menurut Dr. Sng lagi, pelawat mungkin membawa masalah kepada pesakit di wad.

Antaranya kecederaan berbentuk fizikal selain mental dan emosi.
Doktor itu juga menasihati agar pelawat tidak mengambil masa yang lama untuk melawat pesakit.

"Meluangkan masa melawat pesakit adalah sesuatu yang baik tetapi tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama.

"Lebih baik kerap melawat dengan mengambil masa singkat berbanding mengambil masa yang terlalu panjang. Sebaiknya janganlah melebihi satu jam pada setiap masa.

"Segeralah beredar jika doktor atau jururawat datang dan mahu memeriksa pesakit.

"Juga penting agar tidak melawat jika mempunyai sesuatu yang mudah berjangkit. Pesakit dan kakitangan hospital tidak perlu terkena jangkitan yang dibawa dari luar," kata beliau. - bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...