بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, August 10, 2011

Peluang untuk berubah - Kalam Imam Muda

Kalam Imam MudaHARI ini genap seminggu umat Islam menunaikan ibadat puasa dan hanya tinggal lagi baki tiga minggu untuk meneruskan perjuangan dan cabaran Ramadan.

Saya juga mengalami impak Ramadan, di mana kebanyakan masa dipenuhi dengan pelbagai undangan bagi program semarak Ramadan dan solat tarawih selain perlu menguruskan diri sendiri.

Namun, dalam kesibukan ini, saya sebenarnya sedih kerana pada hari ini juga genap 19 tahun ayah saya (Allahyarham Yahaya @ Yahuza Omar) meninggal dunia. Mohon doa daripada pembaca sekalian untuk menghadiahkan al-Fatihah kepada arwah ayah saya, semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Menyentuh doa, sesungguhnya Ramadan adalah bulan di mana umat Islam digalak memperbanyakkan doa kerana Ramadan adalah bulan di mana Allah membuka kesempatan dan ruang luas kepada kita untuk berdoa kepada-Nya, lebih-lebih lagi ketika hendak berbuka.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, tatkala waktu berbuka adalah waktu doa yang tidak ditolak.” (riwayat Ibn Majah) Kelaziman kita apabila tiba waktu berbuka, kita sibuk membeli juadah di bazar Ramadan. Habis bazar Ramadan di satu kawasan, kita pergi pula ke bazar Ramadan di tempat lain.

Kita sibuk membazir masa melihat-lihat juadah dan kemudian balik ke rumah hingga sampai waktu berbuka. Kalut dengan aktiviti lain sehingga terlupa untuk berdoa. Kadangkala sampai doa makan dan berbuka puasa pun kita lupa hendak baca.

Maka, marilah kita sama berazam untuk berubah tahun ini selaras dengan konsep Ramadan sebagai bulan menguji keimanan, seterusnya berubah ke arah kebaikan.

Jika diimbas waktu kanak-kanak, rata-rata kita dilatih berpuasa oleh ibu bapa kita. Itu asas latihan pertama. Lazimnya, kalau tahan, kita berpuasa sehingga waktu berbuka tetapi kalau tidak, kita puasa separuh hari.

Puasa separuh hari ini kita biasa panggil sebagai “puasa yang yok... tengah hari buka periuk.” Alhamdulillah, berkat latihan ini, apabila dewasa, kita boleh istiqamah berpuasa penuh 30 hari.

Bagaimanapun, ramai daripada kita tidak sedar konsep ‘puasa separuh’ ini masih dipraktikkan dan terbawa- bawa walaupun usia menjengah dewasa. Mengapa? Terlebih dulu, saya ingin mengulas bahawa puasa separuh ini adalah keadaan di mana seseorang hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sebaliknya mulut, mata, telinga dan panca indera yang lain tidak turut berpuasa.

Seawal pagi, masuk kerja aktiviti seharian kita tetap sama seperti sewaktu tidak berpuasa kerana keadaannya cuma tolak sarapan pagi. Begitu juga waktu rehat tengah hari kita habiskan dengan aktiviti yang mengurangkan pahala puasa.

Waktu petang pula kita sambung ‘cuci mata’ di bazar Ramadan. Sudahnya, mata, hati, lidah dan anggota badan kita tidak ditahan daripada melakukan dosa.

Menyentuh mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya.” (riwayat Al-Bukhari) Tibanya waktu malam selepas berbuka, kita keletihan dan tidak bermaya untuk pergi solat Tarawih berjemaah. Alasan biasa kita beri ialah seharian di pejabat penuh dengan tugasan kerja dan melayan kerenah pelanggan... berpuasa pulak tu.

Pastinya malam badan penat dan perlukan rehat. Dalam rehat-rehat, mata tetap ‘terjegil’ menonton perlawanan bola sepak di kaca televisyen sampai pagi. Jadi, macam mana pula keadaannya itu? Benarlah sabda junjungan besar kita Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berapa ramai di kalangan kamu yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga.” (Riwayat Bukhari) Jadi, sama-samalah kita berazam dalam diri untuk berubah pada tahun ini.

Pada zaman Rasulullah SAW, antara sahabat baginda yang alim mengenai al-Quran ialah Abu Musa Al- Asya’ari. Abu Musa dianugerahkan Allah SWT mempunyai suara lunak merdu sehingga kemerduan suaranya mampu menembusi tirai hati orang mukmin.

Masa itu, apabila ditanya mengenai al-Quran, orang akan tunjuk Abu Musa Al-Asya’ari.

Hari ini apabila kita ditanya mana al-Quran, kita akan tunjuk... itu dia, atas almari. Berhabuk dan hanya dijadikan ‘tangkal’ penghalau hantu syaitan.

Tidak seperti nabi yang menjadikan amalan membaca al-Quran dan bersedekah sebagai amalan utama apabila tiba Ramadan.

Imam Zuhri berkata: “Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.” Sebenarnya, dalam kesempatan dan ruang masa yang ada, kita boleh ajak dua tiga rakan di pejabat dan buat projek tadarus sewaktu rehat tengah hari. Konsepnya sama saja macam kita dulu-dulu di sekolah buat ‘study group’. Cuma jangan terlalu ramai.

Kalau hendak mula dan mengajak ramai-ramai, nanti banyak pula bunyinya kerana seorang mungkin kata begitu, seorang kata begini. Ramai pula ustaz tidak bertauliah yang memberikan ‘fatwa’ dan pendapat.

Akhirnya semua lemah semangat dan langsung tidak buat apa-apa. Siapa yang berjaya dan siapa yang rugi di sini? Kalau sikit ahlinya, sempat ke khatam sebelum akhir Ramadan? Sebenarnya ramai tidak tahu, perkara paling penting bukan bagaimana akhirnya tetapi bagaimana memulakannya. Insya-Allah, apabila amalan ini sudah bermula, kita tahu untuk mengendalikannya.

Dalam keberkatan Ramadan iaitu bulan di mana al-Quran diturunkan, sebaik-baiknya kita ambil al-Quran atas almari yang kita simpan sejak sekian lama untuk kembali dibaca dan diamalkan.

Bukan setakat Ramadan saja tetapi selepas ini kita cuba cari lokasi lebih praktikal untuk meletakkan al-Quran supaya ia lebih senang dicapai pada bila-bila masa. Kita sama-sama niat dalam diri untuk berubah tahun ini. Semoga selepas ini kita boleh dikenali sebagai Abu Musa Al-Asya’ari.

Dalam kesibukan tugas harian, beberapa hari lalu saya singgah di sebuah pasar raya mencari barang keperluan diri. Boleh dikatakan, kebanyakan pasar raya yang saya singgah mula mendendangkan lagu raya walaupun puasa belum seminggu.

Saya masih ingat sewaktu kecil dulu, lagu raya hanya didendangkan di corong radio pada minggu terakhir Ramadan. Bukannya apa, saya khuatir lagu raya yang berkumandang di sana sini sedikit sebanyak ‘membenam’ semangat Ramadan.

Kita bimbang Ramadan hanya jadi penyebab untuk kita menyambut Aidilfitri. Atau Ramadan hanya bulan mencari ‘duit segera’ dan berbelanja mewah ketika raya.

Tukar kereta baru, langsir baru, perabot rumah baru, pakaian baru malah kalau boleh, semuanya serba baru. Akhirnya roh Ramadan hilang dek keghairahan kita menyambut raya.

Walhal kita disaran lebih fokus dan melebihkan amalan serta menghidupkan Ramadan berbanding bulan lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap perubahan dirinya, nescaya akan diampunkan dosanya yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari) Akhir kalam, marilah kita sama-sama berazam pada diri kita untuk berubah dan memperbaiki amalan Ramadan kita pada tahun ini. Marilah kita sama-sama manfaatkan waktu di bulan yang penuh berkat ini dengan berbagai macam kebaikan dan jauhilah pelbagai macam maksiat.


myMetro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...