بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, August 2, 2011

Melatih anak pelihara kesempurnaan puasa

Oleh Khairunneezam Mohd Noor


IBADAH puasa Ramadan adalah salah satu tunjang utama Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan menunaikannya termasuk golongan anak kecil. Ulama berpandangan walaupun kanak-kanak belum diwajibkan melaksanakan syariat, ibadah puasa dilakukan dianggap sebagai satu bentuk latihan.

Pernyataan ini jelas memberi isyarat ibadah puasa perlu dididik dan dilatih kepada anak kecil. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak seawal usia empat atau lima tahun belajar menghayati kelebihan berpuasa pada Ramadan.

Latihan menahan nafsu makan dan minum pada siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran besar impaknya apabila anak meningkat dewasa kelak.


Mereka tidak akan berasa canggung untuk melaksanakan bukan saja amalan berpuasa juga ibadah fardu lain seperti bersolat, zakat dan sebagainya. Jiwa mereka terdidik untuk memperbanyakkan ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia soleh dan solehah.

Untuk melatih anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingkat. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari, sekadar beberapa jam atau hanya beberapa hari sepanjang Ramadan.

Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan sebagai elemen penggalak mereka berpuasa. Contohnya, menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah, atau duit raya jika berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.

Ibu bapa boleh menceritakan kepada anak kewajipan berpuasa daripada konteks agama dan faedah dari sudut kesihatan supaya mereka faham bahawa berpuasa amalan yang besar kesan positifnya. Anak perlu dilatih rukun dan pantang larang berpuasa supaya bijak memelihara kesempurnaan puasa.

Pada Ramadan ini, mereka boleh diajak untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau masjid dan bertadarus al-Quran bersama-sama. Anak boleh diasuh mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat dengan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah serta bersedekah.

Minda dan pemikiran anak perlu juga dididik supaya tidak mentafsirkan Ramadan sinonim dengan pesta bunga api dan mercun. Hindarkan mereka daripada terjebak sindrom negatif yang bukan saja membazirkan wang, malah turut membahayakan nyawa.

Anak juga tidak seharusnya dibiarkan leka menonton televisyen, bermain permainan komputer atau membuat aktiviti tidak berfaedah. Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambah amal ibadah yang dijanjikan ganjaran besar oleh Allah.

Jika kaedah disarankan ini dapat dipraktikkan kepada anak sepanjang Ramadan, diyakini mereka akan menjadi umat Islam yang diredai-Nya dan menjadi insan sempurna akhlak dan tata susila.

Didikan agama yang mantap sejak usia kecil seperti ini dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personaliti anak apabila usia mereka menjangkau dewasa umpama bidalan melentur buluh biarlah daripada rebungnya. 

Berita Harian2011/08/01

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...