بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, April 19, 2012

Kemahiran selesaikan masalah


Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

KEHIDUPAN di dunia ini sebenarnya tidak sunyi daripada masalah. Hampir setiap hari hidup kita disibukkan dengan urusan untuk menyelesaikan masalah. Selesai satu masalah, datang lagi masalah lain.

Demikianlah realiti kehidupan. Bak kata seorang sarjana barat bernama Karl Popper, All life is solving problem yang dijadikan tajuk sebuah bukunya.

Justeru, menyelesaikan masalah adalah satu kemahiran yang amat penting dan ia boleh membawa perubahan besar kepada kehidupan kita.

Kita perlu melihat masalah sebagai satu ujian dalam kehidupan. Ujian datangnya daripada Allah SWT untuk menguji tahap keimanan yang ada pada diri kita.

Allah SWT menjadikan kehidupan ini dan mencipta ujian untuk melihat hamba-hamba-Nya yang sabar dan bergantung kepada Allah SWT. (rujuk al-Mulk: 2)

Dalam artikel kali ini, penulis akan mencadangkan beberapa tips untuk menyelesaikan masalah menurut perspektif Islam:

Positif dalam berhadapan dengan masalah
Apabila berhadapan dengan masalah, kita perlu untuk melihatnya secara positif. Lihat masalah sebagai satu peluang untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri atau sekurang-kurangnya ia menjadi batu lompatan untuk membuat anjakan dalam kehidupan. Jangan melihat masalah yang berlaku sebagai satu tembok yang menjadi penghalang untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Perbetulkan persepsi terhadap masalah yang berlaku. Percayalah bahawa kegagalan dan masalah sebenarnya adalah merupakan kejayaan yang ditangguhkan. Yang paling penting ialah berhusnu zhan atau bersangka baik kepada Allah SWT.

Sejauhmana sukarnya masalah yang berlaku, jangan sampai kita menyalahkan Allah SWT. Yakinlah bahawa Allah SWT akan menunjukkan jalan keluar kepada orang-orang yang dekat dengan-Nya. (rujuk al-Thalaq: 2-3)

Jangan terburu-buru
Apabila berhadapan dengan masalah, biasanya kita akan panik dan cemas. Keadaan ini akan menyebabkan kita tidak dapat berfikir secara rasional. Justeru, kita perlu mengambil masa supaya tenang dan tenteram. Jangan terburu-buru dalam mengambil keputusan.

Pastikan keputusan yang dibuat bukan berdasarkan emosi yang dipengaruhi dengan perasaan negatif seperti cemas, takut, marah dan benci. Nabi SAW bersabda: "Bertenang-tenang itu dari Allah dan tergopoh-gopoh itu dari syaitan." (riwayat Baihaqi)

Rujuk kepada pihak sepatutnya
Kebanyakan masalah yang berlaku sebenarnya sudah dialami oleh orang lain. Walaupun ia mungkin baru bagi kita, namun ada orang yang kerap berhadapan dengannya. Rujuklah kepada yang mengetahui dan berpengalaman dalam menyelesaikan masalah tersebut sebagaimana saranan Allah SWT. (rujuk an-Nahl: 43)

Pada waktu yang sama, pastikan kita merujuk kepada orang yang sepatutnya. Sekiranya masalah tersebut sulit, pastikan orang yang menjadi rujukan adalah beramanah serta bertanggungjawab terhadap aduan yang disampaikan. Kalau tersilap merujuk, bukan sahaja masalah tidak selesai, masalah lain pula timbul.

Fokus kepada punca permasalahan
Apabila kita ingin menyelesaikan sesuatu masalah, perlu untuk kita mengkaji punca atau akar kepada masalah tersebut. Sekiranya masalah itu diatasi tanpa mengetahui puncanya, bukan sahaja masalah tersebut tidak selesai, bahkan ia akan berulang kerana puncanya tidak diatasi terlebih dahulu. Ia seumpama sebuah tali yang tersimpul mati. Sekiranya ingin dileraikan simpulan tersebut, maka perlu diketahui punca tali tersebut.

Sesetengah daripada kita pula suka mencari siapa yang bersalah sekiranya sesuatu masalah itu berlaku. Lalu banyak masa dihabiskan untuk mencari pesalah sedangkan masalah sebenar masih juga berlaku. Lalu terjadilah tuding-menuding dan tuduh-menuduh kerana masing-masing cuba mengelakkan diri dari dipersalahkan.

Ambil kira semua akibat
Penyelesaian terbaik terhadap masalah yang berlaku ialah penyelesaian yang telah mengambil kira kesemua kesan akibatnya. Apabila terdapat banyak kesan negatif, maka pilihan itu hendaklah dipertimbangkan semula ataupun ditolak.

Kadang-kadang, apabila terdapat dua penyelesaian yang mengakibatkan kesan negatif, maka perlu untuk kita mengambil kira kesan negatif yang lebih ringan di antara kedua-duanya.

Perlu juga ada pertimbangan terhadap maslahat (kebaikan) yang mungkin terhasil sama ada maslahat jangka masa pendek atau panjang, maslahat umum atau khusus dan sebagainya.

Doa dan tawakal
Pergantungan diri dan pengharapan kepada Allah SWT amat penting agar Dia membimbing kita dalam mencari jalan keluar terhadap permasalahan yang berlaku. Hanya Allah SWT yang mengetahui kebaikan dan keburukan sesuatu keputusan yang kita laksanakan.

Membuat keputusan tanpa pergantungan kepada Allah SWT akan dihilangkan keberkatan walaupun keputusan tersebut adalah betul. Keputusan yang bergantung penuh dengan pengharapan kepada Allah SWT akan dilimpahi dengan rahmat serta keberkatan-Nya, walaupun keputusan tersebut salah.

Ingatlah, Allah SWT tidak akan mensia-siakan doa orang yang selalu memohon pertolongan dan bermunajat kepada Allah SWT. Apa jua akibat yang berlaku, ingatlah bahawa kita akan sentiasa mulia di sisi Allah SWT sekiranya tetap dengan iman dan takwa. (rujuk Ali-Imran: 139)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...