بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, January 6, 2012

Biar miskin harta jangan miskin iman

SOALAN:

Saya menjalankan perniagaan dalam bidang pembinaan. Selain persaingan mendapat kontrak, ada permintaan tertentu dalam bentuk entertainment.

Yang menjadi masalah, adakalanya bentuk keraian itu melibatkan minum arak dan juga melanggan gadis pelayan pelanggan. Apa hukumnya walaupun saya selalu cuba mengelak daripada terlibat dalam hal sebegini?

JAWAPAN:

Islam sangat menitikberatkan umatnya supaya berusaha dengan gigih dalam aktiviti pencarian rezeki. Jika ditinjau daripada skop keusahawanan, setiap tindakan dan usaha yang dilakukan oleh setiap pengusaha adalah terikat dengan konsep yang diistilahkan sebagai ibadah.

Oleh kerana ia dinilai sebagai ibadah, sudah tentulah ia perlu dilakukan secara ikhlas dan jujur berasaskan kepada ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Di samping itu juga, setiap aktiviti dan amalan yang terangkum dalam skop keusahawanan tersebut perlu terikat sepenuhnya kepada tata cara muamalah Islam.

Bertitik-tolak daripada pengertian tersebut, Islam menuntut setiap manusia berusaha mengolah segala sumber yang dianugerahkan untuk memenuhi keperluan mereka dengan cara yang halal dan bersih daripada unsur-unsur kekejian yang menyalahi prinsip syarak.

Keperluan mematuhi perkara tersebut adalah sebahagian daripada perkara asas sebagaimana yang dituntut oleh al-Quran dan al-sunnah.

Melalui persoalan yang saudara kemukakan jelas bahawa dalam proses pencarian rezeki ada keterlibatan dalam aktiviti yang tidak diredai dalam syariah islamiah.

Pertamanya, dalam sudut akhlak ia sangat bertentangan dengan moral dan norma Islam. Orang Islam ditegah menghadiri acara yang secara terang-terang bertentangan dengan Islam, minum arak, orang Islam ditegah, apatah lagi menganjurkan.

Sedangkan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW telah menegah dengan tegas bahawa arak adalah ibu kepada segala punca masalah. Malahan baginda mengkategorikan penanam anggur (tujuan menghasilkan arak), pemetiknya, pemerahnya sehinggalah kepada penghidangnya, kesemua mereka termasuk dalam golongan yang melakukan dosa besar.

Walaupun aktiviti entertainment yang saudara terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung, saudara tetap dilihat orang yang bersubahat. Biar apa pun maksud saudara ia tetap haram.

Selain arak, disediakan pula layanan dari wanita-wanita seksi sebagai penghibur. Maka sempurnalah maksiat ke peringkat yang maksimum. Apabila ada arak dan wanita sebagai pelaris dan pelincir tiada lain yang diundang melainkan kemurkaan Allah SWT. Perkara ini lebih kepada rasuah arak dan seks.

Ini bukan kali pertama saya ditanya mengenai hal sebegini, malahan saya pernah ditanya sebelum ini mengenai soalan yang hampir sama. Nampaknya, memang sudah kian lama wujud sikap sebegini dalam kalangan peniaga atau usahawan dalam melobi projek yang diinginkan.

Mungkin ini berlaku kerana dua punca. Pertama, kerana ada pihak yang memberi dan ada pihak yang menerima. Kedua-duanya tetap berdosa dan perbuatan mereka adalah haram.

Yang pastinya, peniaga kerap kehilangan projek, walaupun telah melabur dalam pelbagai aktiviti melobi. Yang untung pihak yang meluluskan atau memberi kata putus kepada projek tersebut.

Kalau ada 10 orang yang melobi belum tentu semua dapat. Jadi yang kenyang adalah pihak yang diraikan dalam aktiviti-aktiviti haram.

Rezeki yang tidak berkat

Jelasnya, rezeki yang diperolehi melalui aktiviti yang sebegini pastinya tidak diberkati Allah SWT.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: 
Katakanlah: Adakah kamu lihat apa yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal? Katakanlah lagi: Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?(Yunus: 59)

Mengulas ayat di atas, Ibn Kathir memberi pandangannya bahawa Allah SWT mencela golongan yang dianugerahkan dengan rezeki-Nya tetapi sebahagian daripada rezeki tersebut dinyatakan haram dan sebahagian daripada yang lain ditafsirkan halal menurut keperluannya sendiri.

Hakikatnya, manusia tersebut hanya menurut kehendak hawa nafsu dan akal fikiran semata-mata tanpa bersandarkan tafsiran agama.

Oleh yang demikian, manusia bertindak mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah SWT dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Bagi mereka ini, azab seksaan yang pedih pada hari akhirat.

Islam memuji penganutnya yang berusaha melibatkan diri dalam sektor keusahawanan ataupun perdagangan. Namun begitu, usaha mencari keuntungan melalui jalan tersebut perlulah melalui saluran yang halal dan diberkati oleh Allah SWT.

Justeru, individu usahawan yang berusaha secara tekun melalui jalan yang dihalalkan oleh syarak sudah pasti akan diredai oleh Allah. Sekali gus mendapat pengiktirafan tinggi oleh agama sebagai usahawan yang berjaya.
Atas kemuliaan prinsip tersebut, muamalah Islam memberi peringatan kepada para pengusaha supaya tidak terlibat dalam perkara-perkara yang mengandungi unsur-unsur seperti riba, menipu, memanipulasi harga, rasuah dan sebagainya.

Realitinya, tindakan-tindakan yang dinyatakan tadi bertentangan dengan kepentingan maqasid al-syariah iaitu bertunjangkan prinsip keadilan, menjauhi unsur-unsur kezaliman dan juga kepentingan memelihara harta.

Ingat Rasulullah SAW berpesan bahawa para peniaga akan dibangkit dalam keadaan untung mahupun rugi, sabda baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya para pedagang akan dibangkitkan kelak pada hari kiamat sebagai orang yang curang, kecuali orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebajikan dan jujur. (al-Tirmidzi)

Tidak ada makna saudara beroleh satu projek dengan menggadaikan iman dan takwa, lebih-lebih lagi Islam tergadai di dalam aktiviti entertainment melobi. Biar kita miskin harta, jangan miskin iman.

Saya ingat pesan isteri kepada suaminya sebelum keluar mencari rezeki, katanya: "Ingatlah wahai suamiku, sesungguhnya kami sanggup menanggung keperitan kemiskinan, tapi kami tidak sanggup menanggung seksa api neraka".

Doa saya agar Allah SWT memberi saudara kekuatan menghadapi dunia perniagaan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...