بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, January 23, 2012

Pakai tudung cantik, tetapi gagal penuhi tuntutan syariat

Oleh Ashraf Muslim


Pakaian beri gambaran salah konsep menutup aurat 

ORANG Islam mudah menerima? Persoalan itu wajar kita tanyakan apabila hakikatnya nampak begitu kerana apa juga yang terbaru dan terkini, pastinya kita tidak mahu ketinggalan. Mungkin perasaan perlu mengikut aliran dan tidak mahu ketinggalan mendorong kita mengikut arus.


Sebenarnya tidak salah mengikut arus, tetapi dalam kecenderungan kita menjadi sebahagian daripada perubahan, ada batas serta peraturan yang perlu dipatuhi khususnya sebagai umat Islam, tuntutan agama sentiasa menjadi penanda aras terhadap apa juga tindakan yang ingin kita lakukan.

Justeru, amat menyedihkan apabila ada yang mempertikaikan keputusan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama kerana yang diputuskan itu tidak memenuhi kehendak pihak tertentu atau secara jelas menentang kemahuan mereka. 

Namun, saya bukan hendak membangkitkan beberapa insiden besar yang berlaku dalam masyarakat apabila ada pihak menentang atau mempersoalkan keputusan mereka yang arif dalam hukum agama dengan pandangan serta perbahasan mengikut pemikiran mereka. 

Apa yang ingin saya ketengahkan ialah pemandangan biasa dilihat dalam kalangan remaja, belia dan orang muda, malah ada juga golongan dewasa yang menjadikan pemakaian tudung ibarat pertunjukan fesyen, siapa lebih terkini gayanya atau bijak menggayakan fesyen bertudung. 

Sekali lagi, tidak salah bergaya untuk kelihatan cantik kerana Allah sukakan yang cantik, tetapi biarlah kecantikan itu yang benar-benar cantik. Dalam erti kata lain, kecantikan pemakaian tudung biarlah mengikut syariat serta matlamat utama kenapa ia diwajibkan terhadap perempuan Islam. 

Apa yang terjadi sekarang, pemakaian tudungnya sangat cantik dengan pelbagai gaya, tetapi secara keseluruhan ia gagal memenuhi hikmah disyariatkan bertudung apabila baju dipakai melekat pada badan, berada di atas punggung dan seluar pula mengikut bentuk kaki, tidak kira yang kurus panjang atau tidak kurang yang padat berisi. 

Malah, ada yang apabila duduk, ternampak pula sebahagian kulit badan di belakang walaupun rambut yang menjadi sebahagian aurat sudah elok tertutup. Itu yang menimbulkan persoalan, inikah cara berpakaian yang dianjurkan Islam kerana rasanya semua tahu akan jawapannya. 

Perkembangan ini antara sedar atau tidak turut memberi gambaran salah terhadap konsep menutup aurat yang disarankan agama Islam. Oleh itu, marilah bersama kita menilai, memikirkan semula serta mengambil tindakan sebaiknya supaya niat memenuhi tuntutan agama benar-benar memberi manfaat serta ganjaran pahala, bukan sebaliknya, menjadi usaha sia-sia. 

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: 
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59) 

Menyedari perlunya menjaga batasan antara lelaki dan perempuan, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah menggalakkan wanita yang datang untuk mendapatkan rawatan memakai telekung supaya batas aurat itu terjaga sebaiknya. Sebahagian besar yang datang memang menutup aurat dan bertudung, tetapi bagi kami, lebih baik mengambil langkah boleh mencegah daripada timbulnya fitnah. 

Ini hanyalah pandangan peribadi kerana saya akur naluri manusia yang berbeza serta pandangan terhadap sesuatu itu pelbagai mengikut tahap kefahaman atau cara mereka ingin memahami sesuatu peraturan dan syariat agama. Tetapi sebagai insan kerdil yang melihat berlaku kelemahan dalam masyarakat, rasanya tidak salah saya membangkitkan isu ini. 

Tambahan dengan pembaharuan yang berlaku begitu pantas, industri pakaian serta fesyen turut menerima tempiasnya maka kita dapat lihat macam-macam rekaan terkini memenuhi pasaran. Ada yang sesuai untuk wanita Islam dan ada jelas tidak mematuhi kehendak syarak. 

Dalam membicarakan soal pakaian wanita, Islam tidak menetapkan pakaian tertentu, tetapi wanita Islam perlu mengikuti garis panduan syarak dengan memastikan pakaian itu hendaklah menutup aurat mereka, menutup dengan sebenar-benarnya. 

Antara tujuan berpakaian itu ialah untuk menutupi atau melindungi bahagian yang tertentu. Jika mereka memilih pakaian nipis atau jarang hingga boleh dikesan atau dilihat auratnya, maka ini bererti pakaian yang dipakai sudah tidak berfungsi lagi. 

Semoga ibadah kita dan kesungguhan memenuhi tuntutan syariat menjadikan kita termasuk dalam golongan yang sentiasa mendapat keredaan serta rahmat Allah. 

INFO 

Ayat untuk gangguan sihir, surah al-Fusilat (ayat 25-44) dan surah al-Mukminun (ayat 105-118). Amalkan membacanya dan banyakkan berdoa kepada Allah.

2012/01/23

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...