بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, January 6, 2012

Beriman kepada hari pembalasan



Di atas adalah bacaan ayat daripda surah al-Maarij mulai 1 hingga 19 . Teruja lihat kanak-kanak yang hafal al-Quran.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah SWT: Dan orang-orang yang mempercayai hari pembalasan. (al-Maarij: 26)

Ibn Kathir berkata: Mereka yang yakin dengan hari akhirat, hisab dan balasan. Justeru, mereka beramal dengan mengharapkan pahala dan takut balasan seksa.

Al-Maghari berkata: Orang yang yakin dengan janji dan hisab-Nya, sudah pasti akan beramal seperti orang yang mengharapkan pahala dan takut kepada seksaan-Nya. Hal ini mereka tonjolkan melalui perbuatan perkataan dengan iktikad. Seterusnya mereka bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Firman Allah SWT: Dan orang-orang yang takut terhadap azab Tuhannya. Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka tidak dapat orang merasa aman (dari kedatangannya).(al-Maarij: 27-28)

Syed Qutub berkata: Ini satu lagi darjah di sebalik kepercayaan kepada hari balasan iaitu wujudnya perasaan yang peka, waspada dan hati-hati, darjah merasa taqsir dan tidak sempurna melakukan ketaatan kepada Allah walaupun ia banyak mengerjakan amal ibadah, darjah wujudnya perasaan takut terpesong daripada jalan Allah dan mendapat balasan seksanya pada bila-bila waktu dan wujudnya perasaan yang sentiasa mengharapkan perlindungan dan pemeliharaan dari Allah SWT.

Firman Allah SWT: Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak-budak yang mereka miliki, maka Sesungguhnya mereka dalam hal Ini tiada tercela. Barang siapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. (al-Maarij: 29-31)

Ibn Kathir berkata: Mereka memelihara kemaluan mereka daripada yang haram.

Syed Qutub berkata: Ayat ini menyarankan kebersihan diri dan kebersihan orang Islam. Islam mahukan sebuah masyarakat yang bersih, suci, jelas dan terang berasaskan kekeluargaan yang halal, kukuh dan berasaskan rumah tangga yang suci murni dengan jelas keturunan sesamanya dan bukan semata-mata untuk memuaskan nafsu dan keinginan seksual.

Firman Allah SWT: Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memberikan kesaksiannya. (al-Maarij: 32-33)

Al-Maghari berkata: Apabila diberi amanah, mereka tidak khianat, apabila berjanji, mereka tidak mungkir. Orang yang memberikan kesaksian di hadapan para hakim, tidak akan menyembunyikannya dan tidak mengubahnya kerana kesaksian itu adalah sebahagian daripada amanah.

Ia disebutkan di sini kerana penting dan dengan kesaksian hak-hak itu hidup dan apabila ditinggalkannya kesaksian itu, hak-hak tersebut akan mati.

Firman Allah SWT: Dan orang-orang yang memelihara solatnya. (al-Maarij: 34)

Ibn Kathir berkata: Mereka yang memelihara waktunya, rukun-rukunnya, kewajipan dan sunat. Ayat ini Allah memulakan sifat orang yang beriman dengan solat dan ditutup sifat tersebut juga dengan solat. Ini menunjukkan betapa prihatinnya solat dan mulianya.

Syed Qutub berkata: Sifat memelihara solat berlainan dengan sifat tekun mengerjakan solat yang disebutkan di awal sifat orang beriman. Ini kerana memelihara solat bermaksud dari segi waktunya sama ada fardu mahupun sunat.

Oleh itu, mereka tidak mengabaikan solat dan tidak pula mengerjakannya secara tidak sempurna. Persoalan solat yang disebutkan di awal dan akhir ayat menyarankan agar solat diberi perhatian yang berat dan dengan ayat ini berakhirlah penjelasan tentang sifat orang yang beriman.

Firman Allah SWT: Mereka itu (kekal) di syurga lagi dimuliakan. (al-Maarij: 35)

Ibn Kathir berkata: Merekalah yang menghuni syurga yang kekal dengan dimuliakan pelbagai kelazatan dan keseronokan.

Al-Maghari berkata: Mereka yang mengerjakan perbuatan seperti ini akan dimuliakan dalam syurga dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan.

Marilah kita menginsafi diri sebagai khalifah Allah di muka bumi untuk menjunjung titah perintah Allah. Mudah-mudahan ia melayakkan kita menghuni syurga Allah yang abadi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...