Para mufassir mempunyai banyak pendapat tentang kedudukan gua Ashab al-Kahfi.
|
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SAYID Qutub berkata, kemudian tirai
dilabuhkan menutupi pemandangan ini dan disingkapkan kembali untuk menayangkan
satu senario yang lain, di mana anak-anak muda itu telah ditidurkan oleh Allah
SWT.
Firman Allah SWT:
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah daripada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka Dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkannya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepada-Nya. (al-Kahfi [18] : 17)
Ibnu Kathir berkata, dalam hal ini terdapat
dalil yang menunjukkan bahawa pintu gua ini menghadap ke utara, kerana Allah
menceritakan bahawa ketika matahari terbit, maka akan condong dari gua
tersebut: "Ke sebelah kanan."
Yakni, bayang-bayang daripada sinar
matahari itu berada di sebelah kanan. Sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas,
Sa'id bin Jubair, dan Qatadah: Tazaawaru bererti condong. Yang
demikian itu, kerana setiap kali matahari semakin meninggi, maka bayang-bayang
itu pun berpindah sehingga tidak ada yang tersisa daripadanya pada saat zawal(tergelincir).
Al-Maraghi berkata: "Wahai orang yang
diajak berbicara, jika kamu dapat melihat gua itu, pasti kamu dapat melihat
matahari ketika terbit condong di sebelah kanan. Begitu juga apabila kamu
melihat matahari terbenam meninggalkan mereka, ia berpaling daripada mereka sebelah
kiri. Sedangkan para pemuda itu berada di tengah gua dengan ruangannya yang
luas sehingga mereka dapat menikmati udara yang nyaman dan sejuk."
Para mufassir mempunyai banyak pendapat
tentang kedudukan gua tersebut. Ada yang mengatakan, terletak dekat Iliya'
(Baitu al-Maqdis) di Syam.
Menurut Ibnu Ishaq ia terletak di Ninive
iaitu negeri Mawsil dan ada yang mengatakan pula di Romawi. Namun, sampai
sekarang belum ada petunjuk yang membuktikan kebenaran pendapat tersebut.
Barang siapa yang mendapat taufik daripada
Allah SWT sehingga mengetahui ayat dan hujah yang menunjukkan kepada kebenaran
sebagaimana yang dialami oleh penghuni gua tersebut, maka orang seperti itu
akan mendapat petunjuk jalan kebenaran sehingga memperoleh rahmat yang besar
sama ada dunia dan akhirat.
Ini menunjukkan gambaran bahawa Ashab
al-Kahfi telah menempuh jalan kebenaran dan mendapat taufik dan rahmat sehingga
mencapai apa yang mereka cita-citakan.
Hamka berkata: "Allah memperingatkan
kita agar selalu memerhatikan ayat-ayat Allah di antaranya ialah dengan
menambah ilmu pengetahuan, termasuk pengetahuan alam."
Dengan itu akan membawa kita kepada jalan
iman, keteguhan kepercayaan kepada Ilahi dan keselamatan.
Lantaran itu, janganlah berani berjalan
bersendirian dalam menempuhi kehidupan. Selalu bermohon kepada Allah agar kita
selamat ke akhir destinasi.
Kisah Ashab al-Kahfi ini menunjukkan
kekuasaan Allah. Kebenaran akan dizahirkan juga sekalipun pada episod awalan
menunjukkan seolah-olah kebatilan menguasai medan pertempuran.
ARKIB : 15/03/2013
3 comments:
Salam,
Sesungguhnya kebesaran Ilahi itu terserlah namun masih ada yang tidak mahu mengakuinya.
Salam,
Sesungguhnya kebesaran Ilahi itu terserlah namun masih ada yang tidak mahu mengakuinya.
Wa'alaikumussalam
Mudah-mudahan kita dalam rahmat dan redha Allah SWT.. dengan pertolonganNya jua.. Aamiin
Post a Comment