SOALAN:
ASSALAMUALAIKUM. Saya telah membaca
beberapa artikel tuan di Mingguan Malaysia tetapi saya dan mungkin ada pembaca
lain masih tertanya-tanya adakah hanya dengan membaca ayat al-Quran, penyakit
kronik seperti kanser atau sakit jantung boleh sembuh. Saya berpendapat di
zaman moden sekarang, penyakit mesti dirawat dengan cara mengambil ubat,
pembedahan atau terapi khusus. Bolehkah tuan terangkan bagaimana ayat al-Quran
boleh menjadi penyembuh. Terima kasih.
JAWAPAN:
MINGGU ini saya akan berkongsi mengenai
rahsia kehebatan al-Quran sebagai ejen penyembuh penyakit.
Ramai pesakit yang datang berubat bertanya,
mampukah al-Quran mengubati penyakit? Bagaimana hanya dengan membaca rangkaian
ayat al-Quran, sakit dihidapi mampu sembuh?
Percayalah! Al-Quran adalah mukjizat
terbesar yang diberikan kepada Rasulullah SAW dan kepada kita sebagai umat
baginda.
Al-Quran merupakan kalam Allah dan
sememangnya kuasa penyembuh itu adalah milik Allah.
Bukanlah sesuatu yang janggal apabila
al-Quran dikatakan mampu menjadi ejen penyembuh penyakit.
Firman Allah di dalam
surah Al-Israa, ayat 82: Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi
penawar dan rahmat bagi orang yang beriman."
Umum mengetahui bahawa kaedah perubatan
yang diamalkan oleh saya dan perawat di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah 100
peratus menggunakan ayat al-Quran.
Kami di Al Hidayah, sangat meyakini
mukjizat al-Quran sebagai ejen penyembuh. Bagi saya, jika bukan kita sebagai
orang Islam, siapa lagi mahu mengangkat martabat mukjizat agung ini.
Di sini, saya mahu menjelaskan kaedah utama
rawatan di Al Hidayah. Secara umum, rawatan bermula dengan melafazkan dua
kalimah syahadah. Kalimah mulia ini sebagai pembuka pintu kepada setiap sesi
rawatan bagi pesakit. Kalimah ini membezakan muslim dan bukan muslim.
Kalimah inilah sebagai penyaksian sewaktu
lahir dan sebelum kematian. Maka, saya memulakan rawatan dengan lafaz dua
kalimah syahadah. Ini menunjukkan tawakal dan kebergantungan kita kepada zat
yang Maha Penyembuh, iaitu Allah.
Seterusnya, saya akan membaca surah
Al-Fatihah. Surah ini bukanlah hanya boleh digunakan semasa solat, sebaliknya
surah Al-Fatihah turut terbukti sebagai ejen penyembuh penyakit yang luar biasa
mujarabnya. Kerana itu surah ini digelar ibu segala surah dan dimuliakan
menjadi surah pembukaan di dalam mushaf al-Quran.
Di dalam sebuah hadis daripada Abu Said
al-Khudri r.a., ia menjelaskan adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah keluar
bermusafir. Di tengah perjalanan mereka singgah di sebuah perkampungan Badwi.
Mereka meminta makanan, tetapi penduduk
kampung enggan memberinya. Dengan takdir Allah, salah seorang penduduk kampung
disengat binatang berbisa.
Salah seorang sahabat Rasulullah bersedia
untuk mengubatinya. Lalu membaca sesuatu dan ditiupkan ke tempat luka lelaki
tadi. Dengan kuasa Allah, lelaki itu sembuh.
Para sahabat lain hairan, apakah ayat yang
dibacakan oleh sahabat tadi? Sedangkan sahabat mereka bukan seorang tabib atau
pernah mengubati penyakit. Sahabat itu menyatakan, dia hanya membaca surah Al-Fatihah.
Berita ini sampai kepada Nabi Muhammad dan baginda mengesahkan perbuatan lelaki
tersebut.
Riwayat ini membawa pengajaran kepada kita
mengenai betapa besar fadhilat surah Al-Fatihah.
Kalau difikirkan dari sudut logik akal,
mustahil hanya dengan membaca ayat, bisa daripada binatang boleh sembuh.
Ini yang dikatakan kuasa penyembuh milik
mutlak Allah dan kita harus berikhtiar.
Apa yang pasti, kisah ini membawa
pengajaran berguna, bahawa ayat suci al-Quran bukan sahaja bertindak sebagai
panduan hidup, malah sebagai ejen penyembuh penyakit yang sangat mujarab.
Di kalangan masyarakat Melayu khususnya di
Malaysia, ramai meyakini ayat suci al-Quran mampu menjadi penawar, namun hanya
bagi penyakit bersifat spiritual atau penyakit kerohanian. Misalnya sihir, santau,
saka, rasukan, jin dan lain-lain.
Masyarakat kita masih ramai yang kurang
yakin bahawa ayat suci al-Quran mampu malah berkesan merawat penyakit bersifat
fizikal seperti kencing manis, darah tinggi, tiroid, ketumbuhan dalam otak dan
kanser.
Contohnya surah Al-Isra ayat 40 hingga 55 untuk menyembuhkan penyakit
berkaitan jantung, surah Qaf ayat 16 hingga 45 untuk menyembuhkan penyakit
berkaitan urat saraf dan tulang manakala surah Muhammad ayat 21 hingga 32 untuk
menurunkan stres pesakit.
Rata-rata kita tidak melihat proses"
penyembuhan melalui ayat al-Quran. Sukar diterima akal, hanya dengan membaca
ayat suci al-Quran, penyakit fizikal sembuh tanpa ubat atau pembedahan.
Ramai di antara kita lebih mempercayai
perubatan moden, yang jelas kelihatan proses penyembuhan dan rawatan seperti
pembedahan, ubat, suntikan dan sebagainya.
Secara peribadi, saya tidak menolak rawatan
moden, malah menggalakkan pesakit merujuk kepada doktor atau menjalani rawatan
moden.
Namun, apa yang mahu saya tekankan adalah,
al-Quran juga mampu menjadi penawar penyakit fizikal.
Firman Allah;
Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman..." (Surah Yunus, ayat 57)
Bagaimana al-Quran boleh bertindak sebagai
ejen penyembuh? Persoalan ini tidak dapat dijelaskan oleh logik akal manusia,
namun sebagai sedikit gambaran kepada pembaca, pertama sekali kita harus yakin
bahawa al-Quran adalah mukjizat agung dan firman Allah sendiri menyatakan di
dalamnya mempunyai syifa atau penyembuh. Ayat al-Quran mempunyai aura
tersendiri yang sepadan dengan jenis penyakit.
Misalnya, sakit kanser, ayat al-Quran yang
selari dengannya adalah surah Al-Mukminun ayat 91 hingga 100 dan surah Al-Hajj
ayat 31 hingga 55. Ada lagi ayat lain yang berkaitan dengan penyakit kanser.
Begitu juga dengan sakit lain, terdapat
ayat al-Quran, yang fungsinya sebagai penyembuh untuk sakit tersebut. Apabila
ayat ini dibaca oleh pesakit, maka aura ayat suci ini akan bertindak terhadap
penyakit yang dihidapi dengan izin Allah.
Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan
ayat suci al-Quran ini bertindak umpama rawatan moden, namun prosesnya tidak
mampu dilihat dengan mata kasar dan dijelaskan dengan logik akal.
Alhamdulillah, dengan izin Allah, sudah
ramai pesakit Al-Hidayah sembuh daripada penyakit seperti jantung, buah
pinggang, saraf, kanser, gangguan sihir dan saka dan sebagainya, selepas
pesakit tekun mengamalkan ayat al-Quran yang diberikan mengikut jenis penyakit.
Selain amalan pembacaan al-Quran secara
istiqamah dan konsisten, doa kepada Allah dan keyakinan tinggi terhadap
mukjizat agung al-Quran sebagai ejen penyembuh turut diamalkan oleh pesakit.
Dalam pengalaman saya mengubati pesakit
kanser selama 13 tahun, saya telah mengumpulkan testimoni pesakit yang telah
sembuh dengan izin Allah, untuk tujuan memberi contoh dan bukti kepada pesakit
kanser lain akan kemujaraban ayat suci al-Quran dalam menyembuhkan kanser.
Kisah pesakit menceritakan cabaran dan
dugaan mereka dalam mengharungi hidup. Kisah tersebut pasti menyentuh sanubari
pembaca dan memberi motivasi kepada pesakit kanser untuk terus mencari penawar.
Untuk pengetahuan, kisah tersebut beserta
penerangan mengenai mukjizat al-Quran dalam menyembuhkan penyakit kanser telah
dibukukan dalam buku bertajuk Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser (Quranic
Medicine in Healing Cancer; terbitan MustRead Sdn. Bhd.) yang boleh didapati di
kedai buku bermula 1 Mac 2013.
Buku tersebut juga boleh dibeli di Pusat
Rawatan Islam Al-Hidayah di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Kesimpulannya, al-Quran adalah mukjizat
agung yang diturunkan Allah untuk umat Nabi Muhammad dan kalau bukan kita,
siapa lagi yang patut mendaulatkan al-Quran?
Rugi besar jika orang Islam mensesiakan al-Quran
dan tidak meyakininya. Yakinlah dengan al-Quran, bukan sahaja sebagai kitab
yang dibaca sebagai pertunjuk, tetapi sebagai ubat yang diamal setiap hari
sebagai penyembuh.
Akhir sekali, harapan saya agar suatu hari
nanti, ramai doktor Muslim dapat menerima al-Quran sebagai medium penyembuh
penyakit serta menggunakannya bersama rawatan perubatan moden mereka.
- bersama Haji Lokman Abdul Hamid
TANYA apa saja mengenai pelbagai masalah
berkaitan penyakit fizikal atau spiritual. Sebarang soalan boleh e-mel ke
lokman.alhidayah@gmail.com www.alhidayah-medic.com
2 comments:
Assalamualaikum,
Terima kasih diatas penerangan yg begitu panjang lebar dan jelas. Sesungguhnya Al-Quran adalah mukjizat terbesar untuk kegunaan lengkap umat manusia didalam setiap keperluan kehidupan di dunia dan akhirat yang masih byk perlu kita pelajari dan amalkannya.
Wa'alaikumussalam Bin Muhammad
Terima kasih juga datang membaca:)
Ya, benar apa yang saudara katakan tu. Mudah-mudahan kita berusaha. Semoga Allah redha.. aamiin
Post a Comment