Oleh Hizbur Rahman
2012/06/26
Jemaah dilarang ganggu jemaah solat dengan
kelakuan tidak sopan
IMAM masjid perlu menegur atau memberi pengajaran kepada jemaah yang
berkelakuan tidak sopan di masjid seperti berbisik, mengganggu orang solat,
melintas orang yang sedang solat, saf tidak lurus, berzikir dengan suara keras
hingga mengganggu orang sedang solat serta belajar.
Daripada Abu Qatadah, katanya: “Tatkala kami sedang solat bersama Nabi SAW,
tiba-tiba Baginda mendengar suara berbisik orang (yang datang). Maka ketika
Nabi sudah selesai solat,ia bertanya: Ada
apa urusan kamu tadi (berbisik)? Mereka menjawab: Kami terburu-buru untuk
turut (jemaah). Nabi SAW berkata: Janganlah kamu berbuat begitu. Apabila kamu
mendatangi solat, hendaklah kamu berlaku tenang. Apa yang kamu dapatkan (dari
solatnya imam), maka solatlah kamu (seperti itu) dan apa yang kamu ketinggalan,
sempurnakanlah.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Bukhari)
Diriwayatkan Abu Hurairah, Nabi SAW
bersabda: “Apabila kamu mendengar iqamat, maka pergilah kamu ke tempat solat
itu, dan kamu haruslah berlaku tenang dan bersikap sopan dan terhormat, dan
janganlah kamu tergesa-gesa, apa yang kamu dapatkan (dari solatnya imam), maka
solatlah kamu (seperti itu) dan apa yang kamu ketinggalan sempurnakanlah.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)
Hadis ini mengandungi beberapa hukum iaitu
kita diperintah berlaku tenang dan bersikap sopan apabila mendatangi tempat
solat atau masjid. Kita dilarang tergesa-gesa apabila mendatangi tempat solat
seperti berlari-lari, meskipun iqamat telah dikumandangkan.
Kita dilarang berbisik apabila sampai di tempat solat, sedang solat jemaah
sedang didirikan. Ini akan mengganggu orang yang sedang solat berjemaah.
Bagi mereka yang lambat berjemaah setelah imam selesai memberi salam ke kanan
dan ke kiri, barulah disempurnakan apa-apa yang ketinggalan.
Hikmah diperintahkan tenang dan sopan serta tidak boleh tergesa-gesa, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud: “Kerana sesungguhnya salah seorang di antara kamu,
apabila menuju solat, maka bererti dia sudah dianggap dalam solat.” (Hadis
riwayat Muslim)
Kita digalakkan membaca doa seperti dibacakan Nabi SAW yang bermaksud: “Ya
Allah, jadikanlah dalam hatiku cahaya, dan dalam ucapanku cahaya, dan
jadikanlah pada pendengaranku cahaya, dan jadikanlah pada penglihatanku cahaya,
dan jadikanlah dari belakangku cahaya dan dari depanku cahaya, dan jadikanlah
dari atasku cahaya, dan dari bawahku cahaya, ya Allah berikanlah kepadaku
cahaya.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Dawud)
Diriwayatkan dari jalan Ibnu Abbas yang menerangkan solat Nabi SAW di waktu malam.
Hadis ini menyatakan: “Kita akan disukai apabila mengucapkan doa di atas di
waktu pergi ke Masjid.”
Daripada Abi Humaid atau Abi Usaid ,
ia berkata: “Bersabda Rasulullah
SAW: Apabila salah seorang kamu masuk masjid, maka ucapkanlah: Ya Allah,
bukakanlah bagiku pintupintu rahmatMu). Dan apabila keluar (dari masjid),
maka ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya aku minta kepadaMu dari kurniaMu.” (Hadis
riwayat Muslim, Ahmad dan Nasa’i)
Abdullah bin Amr bin Ash, Nabi SAW, apabila masuk masjid beliau mengucapkan:
“Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung dan dengan wajahNya yang mulia
serta kekuasaanNya yang tidak mendahuluinya, dari (gangguan) syaitan yang
terkutuk. Nabi SAW berkata: Apabila ia mengucapkan demikian (doa di atas),
syaitan pun berkata: Dipeliharalah ia daripadaku sisa harinya.” (Hadis riwayat
Abu Dawud)
Hadis ini menyatakan kita disunatkan membaca doa mohon perlindungan Allah
daripada gangguan syaitan apabila memasuki masjid.
No comments:
Post a Comment