Ustaz Zaman
2012/06/23
KITA semakin hampir kepada Ramadan yang
penuh kemuliaan dan keberkatan. Perjalanan masa semakin pantas berlalu. Adakah
tempoh masa kita lalui dipenuhi amal ibadat kepada Allah SWT atau kita masih
tercari-cari di manakah noktah permulaan untuk mengabdikan diri kepada-Nya.
Apakah kita sudah bersedia bertemu Ramadan yang sangat ditunggu-tunggu sekalian
umat Islam? Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin
sebagai persediaan dan latihan menyambut Ramadan.
Sesungguhnya Syaaban ruang kesempatan untuk
memperbaiki diri menjelang tibanya Ramadan, medan untuk karnival ibadat
sedunia. Jika Rejab mencatatkan sejarah istimewa iaitu Israk dan Mikraj,
Syaaban melakarkan peristiwa pertukaran arah kiblat ketika permulaan kewajipan
solat.
.
Ini menyebabkan Baginda SAW merenung jauh bagi memikirkan perkara itu maka
turun firman Allah yang bermaksud: “Sering kali Kami melihat engkau (wahai
Muhammad) mendongak ke langit memikirkannya, maka Kami benarkan engkau
berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu berpalinglah mengadap
Masjidilharam (Makkah) dan di mana saja kamu berada, maka hadapkanlah wajahmu
ke arahnya. Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani mengetahui benar akan kisah
perpindahan kiblat ini adalah perintah dari Allah dan Allah sekali-kali tidak
akan lalai terhadap apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 44)
Baginda SAW paling banyak mengerjakan puasa sunat pada Syaaban berbanding bulan
lain. Walaupun banyak hadis kedudukannya lemah dalam menyatakan fadilat
Syaaban, hakikatnya, amalan Baginda SAW menunjukkan Syaaban antara bulan
dimuliakan Allah SWT. Jika tiada bulan baik di sisi Allah SWT, masakan ada
bulan diharamkan Allah SWT untuk berperang.
Syaaban juga terdapat satu malam yang penting iaitu malam Nisfu Syaaban. Allah
SWT sudah memberikan kelebihan dengan keampunan kepada hamba-Nya. Sabda Rasul
SAW daripada Abu Hurairah: “Allah SWT mengamati makhluk-Nya pada malam Nisfu
Syaaban seterusnya mengampunkan mereka kecuali mereka yang syirik dan melakukan
permusuhan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Kesempatan yang terhidang pada Syaaban ini haruslah dimanfaatkan sebagai satu
usaha untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT termasuk puasa dan qiamullail.
Ini ibadat yang diberi keutamaan Baginda SAW. Baginda juga memfokuskan kepada
15 terakhir Syaaban untuk berpuasa sunat. Solat tahajud dan solat taubat
haruslah ditekankan khususnya pada malam nisfu.
Ikatan silaturahim mesti disegarkan semula kerana sikap permusuhan akan
mengundang sia-sia kepada ibadat kita. Hati mestilah disucikan daripada
perasaan benci dan dendam serta melakukan fitnah supaya dapat merasai kemanisan
beribadat di bulan Ramadan yang dipenuhi keberkatan.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan fitnah dan permusuhan
tidak akan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim dari Huzaifah)
Beristiqamah dalam ibadat juga mestilah dipelihara kerana ia dapat melonjakkan
kualiti ibadat walaupun kuantiti ibadat dilakukan dengan kadar sedikit. Munajat
keampunan juga haruslah diperbanyakkan kerana dosa dan kesalahan kita semakin
bertambah disebabkan semua pancaindera dipergunakan pada setiap masa.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah kamu memohon keampunan kepada
Tuhanmu dan hendaklah kembali taat pada-Nya supaya kamu mendapat nikmat dan
rahmat di dunia dan akhirat.” (Surah Hud, ayat 3)
Syaaban bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa dengan melakukan ibadat penuh
ketaatan dan keikhlasan. Kekuatan yang dijana pada Syaaban akan menghasilkan
kesan positif terhadap ibadat Ramadan.
Segala dosa akan terampun jika terdapat unsur kesungguhan dan istiqamah dalam
melakukan ibadat. Sifat mazmumah seperti dengki dan khianat akan terhakis
dengan amalan kebajikan yang semakin bertambah. Rebutlah peluang Syaaban untuk
merealisasikan Ramadan.
Penulis ialah Eksekutif Agama , The New Straits Times Press (NS)
No comments:
Post a Comment