2012/06/21
SYAABAN mempunyai keistimewaan tersendiri
dalam Islam. Rasulullah mencintai bulan Syaaban. Baginda banyak berpuasa sunat
pada bulan ini. Rasulullah melakukannya bagi menjadi contoh kepada umatnya.
Selain memperbanyakkan amal kebajikan pada bulan ini, ia adalah latihan rohani
ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan.
Saidatina Aisyah melaporkan, “Rasulullah
sering berpuasa sehingga kami berkata: Sesungguhnya Baginda berpuasa dan
Baginda berbuka sehingga kami mengatakan Baginda berbuka. Saya tidak pernah
melihat Baginda berpuasa sebulan lebih banyak daripada puasa Baginda pada bulan
Syaaban. Kadang-kadang, Baginda berpuasa Syaaban sebulan penuh dan
kadang-kadang Baginda berpuasa sedikit daripadanya.” (Direkodkan oleh Muslim)
Keistimewaan bulan ini adalah amalan
seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah. Maka sewajarnya
sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadat dan kebajikan. Antara amalan
yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah memperbanyakkan puasa, bertaubat dan
beristighfar, memperbanyakkan zikir dan doa.
Rasulullah pernah ditanya mengapa Baginda melebihkan bulan Syaaban berbanding
bulan lain lalu Baginda berkata, “Bulan itu (Syaaban) yang berada di antara
Rejab dan Ramadan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang
diangkat padanya amal ibadat kepada Tuhan sekalian alam, maka aku suka supaya
amal ibadatku diangkat ketika aku berpuasa.” (Hadis direkodkan oleh Nasaie)
Pertengahan Syaaban atau lebih dikenali sebagai Nisfu Syaaban mempunyai
kelebihan tersendiri. Dalam hadis sahih, Muaz bin Jabal melaporkan Rasulullah
berkata, “Allah menjenguk datang kepada semua makhluknya pada malam Nisfu
Syaaban, diampunkan dosa sekalian makhluknya kecuali orang yang menyekutukan
Allah atau orang yang bermusuhan.” (Hadis direkodkan oleh Ibn Majah, Tabrani
dan Ibn Hibban).
Islam mengajar umatnya menjaga dan menggunakan masa dengan beriadah kepada
Allah dalam apa juga bentuk ibadat sama ada ibadat khusus mahupun umum. Islam
mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan.
Rasulullah menggalakkan kita supaya melakukan kebaikan terutama ibadat khusus
seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah secara berterusan walaupun sedikit.
Baginda sendiri bukan saja kuat beribadat khusus, memohon keampunan, malah
Baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan paling besar adalah
sebagai pemimpin negara serta ummah. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan
mengikut syariat Islam.
Sumber: Buku Diari Ramadan
Boleh juga baca
No comments:
Post a Comment