SEGALA yang dapat diambil manfaatnya adalah
rezeki. Makna itu diambil berdasarkan kata 'rezeki' yang terdapat dalam
terjemahan surah al-Baqarah ayat tiga: "… membelanjakan (mendermakan)
sebahagian daripada rezeki…"
Rezeki merupakan salah satu kata kunci
dalam ajaran Islam kerana berkait rapat dengan konsep tauhid. Dalam surah
al-Baqarah ayat 22 dan 57, konsep rezeki dikaitkan secara langsung dengan
masalah keimanan.
Dalam ayat 22, Allah SWT membicarakan
tentang hujan yang menyirami pohon-pohon dan menghasilkan buah-buahan: "yang
menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang
sekutu…"
Dalam ayat 57 pula Allah SWT menyuruh: "Makanlah
makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu. Dan tidaklah
mereka menganiaya diri sendiri."
Kedua-dua ayat itu menunjukkan bahawa
masalah rezeki dapat menjadikan manusia menjadi musyrik dan zalim, apabila
mereka yakin bahawa rezeki itu dapat diperoleh daripada sumber lain selain
Allah SWT.
Halal haram
Kaum Muktazilah berpendapat rezeki hanyalah
untuk pemberian yang halal. Sedangkan yang haram tidak boleh disebut sebagai
rezeki kerana pemilikannya tidak sah.
Hujah ini berdasarkan firman Allah SWT yang
bermaksud: Orang-orang yang (hendak) bertakwa membelanjakan sebahagian
daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.(al-Baqarah: 2-3)
Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat
bahawa rezeki itu adalah segala sesuatu yang bermanafaat, sama ada yang halal
atau yang haram.
Rezeki ditafsir sebagai 'bahagian'. Oleh
itu, bahagian yang diperoleh atau digunakan secara tidak sah merupakan bahagian
yang haram.
Usaha
Meskipun Allah SWT Maha Pemurah dan
rezeki-Nya maha luas, namun manusia tidak akan dapat memperoleh rezeki itu jika
tidak berusaha. Usahanya menjadi ukuran banyaknya hasil perolehan.
Dalam al-Quran ditegaskan: Dan bahawa
sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan ( balasan ) apa yang diusahakannya.
(al-Najm: 39)
Rezeki Allah SWT maha luas dan tidak
terbatas pada ruang dan waktu .Rezeki-Nya itu bukan sahaja diberikan kepada
manusia tetapi juga kepada segala makhluk-Nya. Hal itu dinyatakan dalam
firman-Nya yang bermaksud: Dan tiadalah sesuatu pun makhluk-makhluk yang
bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya. (Hud: 6
)
Ukuran
Dalam al-Quran dinyatakan bahawa Allah SWT
yang memberikan rezeki kepada makhluk di muka bumi, kerana Dia adalah
satu-satunya sumber rezeki(rujuk al-Hijr: 20). Dengan kata lain, semua makhluk
memiliki hak rezeki daripada Allah SWT, namun rezeki bagi semua makhluk itu
mempunyai ukuran. (rujuk al-Hijr: 20)
Manusia tidak boleh menggunakan sumber
kehidupan (rezeki) untuk kepentingan diri sendiri yang akan menyebabkan
terganggunya keseimbangan alam.
Keseimbangan alam yang terganggu itu
akhirnya akan merugikan manusia sendiri, misalnya penebangan kayu secara
berlebihan (tidak terkawal) yang menyebabkan banjir dan perilaku lain
seumpamanya.
No comments:
Post a Comment