2012/06/08
ALLAH SWT mengurniakan nikmat dan rahmat
dengan mengutuskan Rasul-Nya dan menurunkan kitab al-Quran yang tidak ada
sebarang keraguan dalam kandungan dari dulu sehingga kini. Kitab wahyu yang
diturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagungan yang
tiada tolak bandingnya berbanding kitab lain.
Ia juga sebagai sumber ilmu bagi umat Islam dan petunjuk jalan kebenaran serta
kitab kecemerlangan.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Israa’ ayat 9:
bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang betul, dan memberi berita gembira kepada orang beriman yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”(Al-Israa' 17:9)
Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya
al-Jami’ il Ahkam al-Quran menyatakan bahawa kalimah aqwam bermaksud jalan yang
paling benar, paling adil dan paling tepat. Mereka yang menjadikan al-Quran
sebagai sumber rujukan, sudah pasti akan membuahkan kesejahteraan dan
kecemerlangan.
Justeru, bagi mengekalkan al-Quran dalam
kehidupan kita, ia perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta
memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap Muslim.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:
bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr 15:9)
Kedatangan Islam yang bersumberkan al-Quran mengubah pola kehidupan masyarakat
sehingga berjaya membina sebuah tamadun yang gilang gemilang. Perubahan dan
kecemerlangan yang diraih ini tidak lain kerana disuluh al-Quran.
Atas sebab itu, sekiranya kita sebagai umat Islam ingin mencipta kejayaan sama
ada dalam aspek kehidupan, kerjaya, keperibadian dan masa depan hendaklah
menjadikan al-Quran sebagai kunci kejayaan.
Al-Quran mampu membentuk jati diri yang teguh, menjadikan manusia terdidik
dengan akhlak dan budi pekerti tinggi, rajin berusaha dan berilmu tinggi. Segala-gala
ini dapat dicapai apabila mereka bertadabbur memahami al-Quran dan beramal
dengannya.
Kecemerlangan al-Quran bukan hanya terbukti dari sudut kerohanian semata-mata
bahkan dari sudut saintifik. Al-Quran tidak hanya dikagumi orang Islam, bahkan
ia juga dikagumi orang bukan Islam. Sebahagian daripada mereka yang bukan Islam
memeluk Islam selepas memahami dan meneliti maksud ayat al-Quran.
Sebagai contoh Dr Gary Miller adalah seorang pakar matematik di samping seorang
tokoh dalam bidang teologi agama Kristian. Pada 1978 beliau dihadiahkan kitab
al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris. Selepas membaca terjemahan al-Quran
itu dan memahaminya, beliau memeluk Islam.
Demikian juga dengan Dr Maurice Bucaille, seorang pakar bedah terkenal di
Perancis. Semasa membicarakan berkenaan al-Quran dan Injil dalam konteks ilmu
astrofizik, beliau berkata: “Tidak dapat sebarang percanggahan antara al-Quran
dan ilmu moden berhubung asal usul kejadian alam.”
Sebagai umat yang beriman, maka sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan
sumber rujukan utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dalam sudut akidah,
syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran
semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah
iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya
untuk menyebut ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran.
Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu melalaikan
berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dalam kalangan kita yang hanya
berbangga dengan menggantung ayat al-Quran sebagai hiasan di rumah.
Bahkan ada juga yang menjadikan al-Quran sekadar ‘kitab berkat’. Mereka membaca
al-Quran bertujuan mendapat berkat tidak lebih dari itu dengan membaca atau
mengamalkan beberapa potong ayat al-Quran untuk tujuan tertentu seperti murah
rezeki, mempercepat dapat jodoh dan lain-lain tujuan tertentu.
Marilah kita menjadikan budaya ilmu di dalam al-Quran sebagai gaya hidup. Kita
mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu membawa kecemerlangan, menjadi
ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang
sedang melanda masyarakat masa kini.
Berdasarkan kepada beberapa pandangan ulama, wujud tiga golongan manusia yang
mengabaikan al-Quran.
Pertama: mereka yang mengabaikan al-Quran dengan
meninggalkan dari membacanya.
Kedua: mereka yang mengabaikan dari sudut
tadabbur maknanya serta memahami maksud al-Quran.
Ketiga: mereka yang
mengabaikan al-Quran dengan mengabaikan hukum hakam dan beramal dengannya.
Mereka membaca al-Quran, menghafalnya, mengetahui tafsir dan makna ayat yang
dibaca tetapi tidak beramal dengan apa yang difahaminya.
Marilah kita bersama-sama membudayakan al-Quran dalam kehidupan supaya mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai
al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada
anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat Maghrib sebagai
waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.
Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: ‘Sesiapa membaca satu huruf
dari al-Quran, maka diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan
seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi
‘alif’ satu huruf dan ‘lam’ satu huruf dan ‘mim’ satu huruf.” (Riwayat Tirmizi).
No comments:
Post a Comment