MASJID Al-Aqsa yang terus menjadi sasaran Zionis. |
Oleh Ibrahim Abdullah
2012/06/19
Jadikan Israk Mikraj kekuatan bebas Masjid
Al-Aqsa
PERISTIWA Israk dan Mikraj menguji keimanan umat yang telah beriman dan
kepercayaan mereka yang terus memusuhi Baginda dari dulu hingga kini. Peristiwa
itu penting kerana mengandungi pengajaran mengenai kekuasaan Allah SWT.
Selain kisah perjalanan Nabi Muhammad SAW
yang penuh dengan peristiwa menakjubkan, Israk dan Mikraj turut dikaitkan
dengan kedudukan Masjid AlAqsa dan bumi Palestin sebagai kiblat pertama umat
Islam sejagat.
Kini ia dijajah kaum Zionis Israel dalam
memperingati Nakbah atau malapetaka yang menimpa umat Palestin yang menderita
sejak 60 tahun lalu.
Persidangan Basel, Switzerland pada 31 Ogos 1897 adalah permulaan tercetusnya
gerakan menubuhkan negara untuk umat Yahudi diikuti Deklarasi Balfor bertujuan
merealisasikan hasrat itu apabila pada 15 Mei 1948 negara Israel yang didukung
Barat diisytiharkan.
Peristiwa Nakbah iaitu malapetaka yang menimpa rakyat Palestin memperlihatkan
bagaimana tentera Zionis menghalau 750,000 atau tiga perempat rakyat Palestin
keluar dari tanah air mereka.
Mereka telah dipaksa menjadi pelarian dalam negara sendiri dan negara jiran
yang kini mencecah lebih 4.5 juta orang. Pelarian Palestin hidup merempat dalam
kemiskinan serta tanpa keperluan asasi yang sangat parah.
Mereka terpaksa hidup tanpa makanan yang mencukupi, tanpa tempat tinggal, tiada
pekerjaan, pendidikan dan kemudahan rawatan. Nasib mereka hingga kini tidak
dipedulikan masyarakat antarabangsa yang didominasi Barat.
Bumi Palestin telah diceroboh enam juta Yahudi sementara lima juta rakyat
Palestin sendiri menjadi pelarian di sekitar negara Timur Tengah. Sebanyak 80
kem pelarian kini menampung satu juta pelarian Palestin di Jordan, Lubnan dan
Syria.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan
hartanya maka dia adalah mati syahid, sesiapa yang dibunuh kerana
mempertahankan agamanya maka dia adalah mati syahid, sesiapa yang dibunuh
kerana mempertahankan darahnya maka dia adalah mati syahid dan sesiapa yang
dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya maka dia adalah mati syahid.”
(Hadis riwayat Tirmizi dan Nasa’i).
Perpecahan kalangan pemimpin dan umat Islam membuka ruang yang luas kepada
Zionis Yahudi untuk terus mengganas di bumi Palestin.
Perasaan persaudaraan yang semakin longgar dan perpaduan ummah semakin melebar
melemahkan umat Islam sejagat dan melupakan isu Palestin serta Masjid AlAqsa.
Di samping itu perasaan tidak menghargai betapa bernilainya Masjid AlAqsa,
kiblat pertama umat Islam turut menjadi punca utama penerusan tindakan zalim
dan kejam kaum Yahudi.
Sejak beberapa tahun dulu Masjid AlAqsa telah dibakar oleh Zionis Yahudi dan
kini mereka sedang membongkar dari bawah tanah masjid untuk meruntuhkannya
kononnya bagi mendirikan Haikal Sulaiman.
Penyakit takut kepada mati dan tamak kepada habuan dunia yang membarah dalam
diri umat Islam juga membuka luas ruang kepada musuh Islam untuk menceroboh dan
membunuh umat Islam tanpa rasa takut dan bimbang.
Sudah tiba masanya umat Islam sejagat menyatupadukan semangat dan perjuangan
membebaskan Masjid AlAqsa dan bumi Palestin daripada cengkaman penjajah Zionis
Israel di sepanjang zaman khususnya dalam memperingati peristiwa Israk dan
Mikraj.
Allah SWT sentiasa melihat perjuangan umat Islam dan Nabi Muhammad SAW sebagai
saksinya di hari kemudian.
Firma Allah bermaksud: “Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan
akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah.
Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh
kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
(syurga).” (Surah anNisaa’, ayat 74)
No comments:
Post a Comment