Oleh Norul Aida Mohd Nor
2012/06/13
MUDAH menyerah kalah adalah sifat mudah
berputus asa yang wujud dalam diri seseorang apabila ditimpa pelbagai ujian.
Sifat sebegini boleh melemahkan iman seseorang hamba dan oleh itu kita
digalakkan mencontohi sifat Rasulullah SAW.
Ujian diturunkan Allah kepada hamba-Nya berbeza kerana ada diuji dengan
kegagalan, penindasan, kekayaan, kemiskinan, kebahagiaan, bahkan ada juga yang
diuji dengan kesalahan serta dosa.
Sebagai seorang Muslim kita sepatutnya
menjadikan ujian batu loncatan yang mengubah nasib menjadi yang baik kepada
lebih baik daripada sebelumnya.
Baginda tidak pernah berputus asa
menyebarkan agama Islam walaupun mendapat tentangan daripada orang kafir.
Baginda juga turut diuji dilahirkan sebagai yatim piatu, kemiskinan sehingga
terpaksa menjadi pengembala kambing, kematian datuk, pak cik, isteri, anak
lelaki dan banyak lagi peristiwa menduga keteguhan imannya. Walau apa juga
rintangannya, Baginda tetap bersabar dan berdoa kepada Allah.
Orang yang mudah menyerah kalah dan berputus asa adalah seorang yang tidak
sabar, tidak mensyukuri rahmat, nikmat serta tidak reda dengan takdir Allah.
Justeru, hendaklah kita sentiasa tenang dan berlapang dada menempuh ujian.
Sebaliknya, seseorang itu perlu berusaha untuk mengubah nasib ke arah lebih
baik dengan menjadikan kegagalan sebagai pendorong atau penguat semangat untuk
bangkit semula membina kejayaan di masa depan.
Pelaku dosa sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana
keampunan Allah SWT kepada hamba-Nya sangat luas.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri
mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya
Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.” (Surah Az-Zumar, ayat 53)
Allah sentiasa membuka pintu taubat dan mengampuni hamba-Nya yang melampaui
batas terhadap diri mereka. Walaupun melakukan maksiat atau melanggar
perintah-Nya, mereka tetap diberi peluang bertaubat serta kembali ke pangkal
jalan.
Oleh itu, apabila tersedar daripada dosa yang dilakukan, kita haruslah
bersegera memohon keampunan Allah kerana orang yang diselubungi dosa akan
sentiasa merasa gelisah serta tidak bahagia hidupnya di dunia dan akhirat nanti.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada yang menimpa seorang mukmin
daripada bala bencana ataupun kesukaran dan kerunsingan sehingga duri yang
menyucuknya melainkan Allah akan menebus dengannya segala dosa-dosanya.”
Seseorang yang reda dengan qada’ dan qadar pastinya tidak mudah menyerah kalah.
Jika ditimpa kesulitan, mereka akan menerimanya dengan tabah kerana sedar ada
orang lain yang lebih sulit daripada dirinya.
Kita perlu sedar setiap ujian atau cabaran pasti ada jalan keluar. Justeru,
buang sifat mudah putus asa dan berusaha membina keyakinan diri dengan menyemai
sifat sabar melalui contoh ditunjukkan Rasulullah SAW.
Sifat mudah putus asa hanya menunjukkan kelemahan kita yang akan menjejaskan
imej Islam apabila orang Islam dikaitkan sebagai yang lemah. Teruskan usaha dan
sentiasa bertawakal kepada Allah.
Sifat mudah menyerah kalah tidak sepatutnya ada pada seorang Islam yang beriman
kepada Allah dan meyakini kemampuan dimiliki untuk berdepan apa juga ujian
mendatang. Di sebalik kesusahan akan ada kesenangan.
No comments:
Post a Comment