Hak peniaga, pelanggan dilindungi
berdasarkan sikap amanah, jujur
DALAM sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Ceburilah
kegiatan perniagaan kerana di dalamnya terdapat sembilan persepuluh sumber
rezeki.” (Al-Tirmizi). Dengan mengambil pengajaran daripada hadis itu, setiap
peniaga Muslim perlu memahami bahawa pembabitan mereka dalam urusan perniagaan
adalah satu ibadat dan sangat dituntut dalam Islam.
Namun begitu, setiap peniaga Muslim wajar
mengetahui dan memahami etika perniagaan Islam secara mendalam sebelum
berkecimpung dalam bidang perniagaan terutama dalam mengendalikan urusan
jual-beli bersama pelanggan.
Tujuan etika perniagaan Islam ini adalah
untuk memastikan setiap peniaga yang menceburi dalam bidang perniagaan dapat
mengelakkan diri daripada segala sifat keji (mazmumah) dan menghiasinya dengan
sifat terpuji (mahmudah).
Keadaan ini penting bagi menjamin kepentingan ummah dapat terpelihara daripada
segala unsur yang boleh mencetuskan perbalahan, ketidakadilan, pertikaian,
penindasan dan rasa ketidakpuasan hati dapat dihalang. Di samping itu, mereka
dapat melindungi hak kedua-dua pihak iaitu antara peniaga sebagai penjual dan
pengguna sebagai pelanggan barangan terbabit.
Hak kedua-dua pihak ini perlu dijaga bagi memastikan setiap perniagaan yang
dijalankan berlangsung dengan baik dan dapat menjauhi semua unsur penipuan. Dalam
al-Quran berulang kali mengingatkan peniaga supaya bersikap jujur dan melarang
keras melakukan penipuan serta penyelewengan dalam perniagaan.
Peringatan yang
berulang kali ini menggambarkan bahawa penipuan dalam bentuk dan kadar yang
pelbagai adalah sesuatu yang sering terjadi dalam dunia perniagaan.
Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya).” (Al-An'aam 6:152) .
“Dan kepada penduduk "Madyan" Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah).” (Hud 11:84)
Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa penipuan daripada segala segi adalah
haram dalam etika perniagaan Islam. Dengan penipuan akan rosaklah hubungan
antara pembeli dan penjual, malah boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan
yang berpanjangan. Oleh itu, sifat jujur peniaga dapat menghindari kesan
negatif terhadap perhubungan antara peniaga dan pelanggan mereka.
Begitu juga sebagai peniaga Muslim dianjurkan supaya menitikberatkan kualiti
kerja atau hasil atas barangan yang diniagakan. Islam menegah peniaga
mengeksploitasi pelanggan dengan menjual barangan yang berkualiti rendah pada
harga yang tinggi semata-mata kerana tidak ada orang lain yang menawarkan
barangan yang serupa.
Kualiti produk yang rendah tidak dapat menjamin pembelian pada masa depan dan
tidak dapat menjamin kesetiaan pelanggan kepada barangan berkenaan.
Implikasinya akan membawa kepada kegagalan perniagaan. Barangan yang berkualiti
dengan harga yang berpatutan bukan saja dapat meningkatkan jualan tetapi juga
dapat menjaga reputasi perniagaan.
Selain itu, sebagai peniaga Muslim, mereka perlu amanah. Islam melarang keras
peniaga yang tidak amanah. Peniaga tidak boleh membohongi dan mengkhianati
pelanggan, menjual barangan dengan harga terlalu tinggi dan melengahkan
pembayaran kepada pengedar atau pembekal barangan ke kedainya.
Misalnya, dalam perniagaan menerusi internet walaupun peniaga tidak bersemuka
dengan pelanggan, namun mereka perlu menjaga amanah dalam memastikan barangan
yang ditempah itu sama kualitinya dengan barang yang dipesan.
Penekanan supaya amanah ini disebut dalam ayat al-Quran yang mana Allah
berfirman:
bermaksud : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. ” (An-Nisaa' 4:58)
Peniaga yang beretika juga perlu melaksanakan al-‘Adl atau keadilan. Ini
bermaksud peniaga harus bersikap sederhana dalam semua perkara tanpa
menguntungkan sebelah pihak, layanan sama rata atau saksama terhadap semua
pelanggan, memberi pertimbangan yang adil dan tidak berat sebelah serta memberikan
hak kepada orang yang berhak.
Dalam erti kata lain, keadilan bererti meletakkan sesuatu di tempatnya yang
betul. Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” (Al-Nahl 16:90
Oleh itu, keadilan dalam perniagaan akan memastikan urusan perniagaan itu adil
dan setiap orang sama ada pembeli atau penjual akan mendapat haknya.
Begitu juga dalam setiap perniagaan, sebagai peniaga Muslim hendaklah sentiasa
mengutamakan hubungan komunikasi antara pelanggan. Ucap kata-kata manis, saling
hormat-menghormati, lemah-lembut dan cubalah mempertimbangkan kepentingan semua
pihak.
Selain itu, peniaga hendaklah sentiasa berlapang dada dan berusaha untuk
memenuhi keperluan pengguna. Kepuasan pelanggan adalah keutamaan mereka.
Ketepatan masa juga salah satu nilai dan etika yang ditekankan dalam perniagaan
Islam. Penggunaan masa secara baik dan berkesan akan dapat membantu peniaga dan
pengusaha menyempurnakan kerja dengan cepat, tepat dan menepati masa yang
ditetapkan.
Menerusi perbincangan di atas, jelaslah dengan kewujudan peniaga beretika
berlandaskan ajaran al-Quran, sudah tentu dapat membentuk peribadi mulia dan
seterusnya mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.
Oleh Nor Hartini Saari
2012/06/08
Boleh baca pembalasan terhadap curang dalam sukatan dan timbangan : SINI
No comments:
Post a Comment