بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Sunday, June 10, 2012

Persoalan Agama: Jin dicipta berlainan jantina, beranak-pinak

Bersama Ustaza Zahazan Mohamed di BH

2012/06/10

SOALAN:

SAYA mohon penjelasan ustaz mengenai jin. Adakah benar jin melakukan hubungan intim sesama mereka. Mungkin ada ayat al-Quran atau hadis yang menerangkannya? Soalan seterusnya, adakah jin mempunyai keturunan seperti manusia. 



JAWAPAN:

BANYAK ulama menegaskan bahawa jin seperti semua makhluk ciptaan Allah SWT terdiri atas dua jenis kelamin iaitu lelaki dan perempuan. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT pada surah Yasin ayat 36 yang bermaksud: “Maha suci (Tuhan) yang menciptakan pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang mereka tidak ketahui.


Seterusnya dalam surah Jin ayat 6, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa orang lelaki di antara jin.” 

Ulama menjadikannya sebagai bukti adanya jenis kelamin lelaki dan perempuan bagi makhluk jin. Di samping ayat al-Quran di atas, beberapa hadis juga dijadikan petunjuk adanya jenis kelamin jin. 
Antaranya hadis daripada seorang sahabat Nabi SAW iaitu Anas Malik yang berkata bahawa Nabi SAW apabila masuk ke tandas Baginda membaca: “Allahumma inni a’uzubika minal khubusi wal khabais (maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada gangguan al-Khubus dan Khabais).” 

Menurut Ibn Hajar rhm dalam buku Fath al-Bari, al-Khubusi adalah jamak daripada khabis bererti jin lelaki, manakala al-Khabais daripada al-Khabisah yang bererti jin perempuan. Jika jin berjenis kelamin lelaki dan perempuan atau jantan dan betina, tentu mereka juga berhubung seks. 




Satu lagi ada isyarat yang difahami ulama mengenai hal ini iaitu firman Allah SWT dalam surah ar-Rahman ayat 56 yang bermaksud: “Di dalam syurga itu ada bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, belum pernah disentuh (disetubuhi) oleh manusia sebelum mereka (iaitu sebelum penghuni syurga menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin.” 

Bidadari syurga tidak pernah disentuh jin tetapi dalam kalangan manusia mungkin ada yang pernah disentuh jin ketika di dunia. 

Jika mereka melakukan hubungan seks, tentulah mereka memiliki anak cucu. 

Ayat yang menjadi dasar pemahaman ini antara lain firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang bermaksud: “(Ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedangkan mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah SWT) bagi orang yang zalim.” 

Ayat lain yang menjadi dasar iaitu surah al-A’raf ayat 27 yang bermaksud: 
“Sesungguhnya ia dan qabiluhu melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka.” 

Kalimat qabiluhu adalah kelompok yang terdiri daripada tiga anggota ke atas. Ia juga boleh diertikan kelompok yang disatukan oleh ibu bapa. Ada juga yang memahami kalimah qabiluhu pada ayat di atas dalam erti pengikutnya daripada jenis manusia. Tetapi pemahaman ini tertolak dengan lanjutan ayat itu yang menyatakan: “Kamu tidak boleh melihat mereka.” 

Kalau yang dimaksudkan dengan qabiluhu adalah manusia, tentulah mereka boleh melihat. 

Atas alasan ini, dugaan yang kuat pada ayat terbabit perkataan qabiluhu bermaksud anak keturunan jin. Maka bertemulah makna ayat ini dengan makna ayat 50 surah al-Kahfi yang sudah disebut sebelumnya. 

Demikianlah, wallahualam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...