Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
2012/06/07
Ibadat terap pembinaan moral, disiplin,
perpaduan sesama ummah
PERISTIWA Israk dan Mikraj menjadi bukti perjalanan Nabi Muhammad SAW menembusi
dimensi waktu serta tempat dalam rangka menerima perintah solat secara langsung
daripada Allah SWT, tanpa melalui perantaraan malaikat. Hal ini menunjukkan
betapa pentingnya peranan solat dalam kehidupan umat Islam.
Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang
bermaksud: “Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam
hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami
berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan
kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)
Jika diamati secara mendalam, ibadat solat
difardukan kepada umat Islam melalui secara langsung daripada Allah kepada
Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril,
sedangkan ibadat lain seperti puasa, zakat dan lain-lain difardukan kepada
umatnya melalui perantaraan wahyu disampaikan oleh malaikat Jibril kepada
Rasulullah.
Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah ini sekali gus
mengangkat martabat dan nilai ibadat solat di sisi Allah. Dalam Islam, solat
adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka dia mendirikan agama.
Sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bermakna dia meruntuhkan agama.
Solat adalah satu kewajipan secara langsung dari Allah kepada Rasulullah dan
juga kepada umatnya yang dinilai sebagai satu amalan komunikasi menghubungkan
antara manusia dan Allah. Jelas di sini bahawa solat bukan hanya sekadar rukuk
dan sujud tanpa pengisian jiwa dan hati sanubari dengan iman.
Sebaliknya solat adalah satu bentuk ibadat yang menuntut keikhlasan, ketakwaan
dan kekhusyukan Muslim semasa menghadap Allah.
Peringatan peristiwa Israk dan Mikraj adalah satu momentum bagi umat Islam
untuk melakukan muhasabah diri terhadap kualiti solat dan mengambil pengajaran
daripada nilai solat. Ini kerana solat yang dilakukan dengan penuh adab dan
penuh khusuk, mampu mengubah seseorang Muslim menjadi lebih bertakwa dalam
kehidupan peribadi dan sosialnya.
Di antara nilai solat itu adalah solat mendidik Muslim menyucikan dirinya dari
sifat buruk. Hal ini ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.” (Surah
al-Ankabut, ayat 45)
Kedua, solat mendidik kesatuan dan perpaduan ummah. Ini kerana setiap Muslim
menunaikan solat akan menghadap ke arah satu kiblat yang sama, iaitu Baitullah
al-Haram. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya mewujudkan kesatuan dan
perpaduan ummah.
Natijah daripada kesatuan dan perpaduan ini akan mewujudkan perasaan saling
memahami dan saling melengkapi antara sesama Muslim.
Ketiga, solat mendidik Muslim supaya memiliki disiplin waktu. Setiap Muslim
yang menunaikan solat akan selalu memerhati dan menunggu masuknya waktu solat,
sekali gus akan berusaha menunaikannya tepat pada waktunya, di samping
menundukkan nafsunya untuk tidak tenggelam dalam kesibukan duniawi.
Keempat, solat mendidik setiap Muslim kepentingan tertib atau susunan organisasi.
Solat berjemaah yang didirikan menuntut susunan jemaah yang berbaris lurus di
belakang imam dengan memastikan tiadanya celah kosong antara setiap jemaah di
kanan kirinya di samping menyedarkan umat Islam perlunya tertib organisasi di
dalam segala lapangan hidup ummah.
Kelima, solat mendidik Muslim terhadap ketaatan kepada pemimpin. Mengikuti imam
dalam setiap gerakan rukun solat, dengan tidak mendahuluinya walau sesaat pun,
menunjukkan adanya ketaatan dan komitmen yang tulus dari makmum, serta menjauhkan
diri daripada keingkaran terhadap perintahnya, selama mana perintah itu tidak
menjurus ke arah maksiat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada ketaatan sama sekali kepada
makhluk dalam keadaan bermaksiat kepada Allah SWT.” (Hadis Riwayat Ahmad).
Keenam, solat mendidik Muslim memiliki sifat keberanian menegur dan
memperingatkan pemimpin. Jika imam terlupa dalam sesuatu rukun solat, maka
makmum berkewajipan untuk memperingatkan dan menegur imamnya dengan membaca
subhanallah.
Hal ini menunjukkan kewajipan rakyat untuk memperingatkan pemimpinnya jika
melakukan kesalahan atau kesilapan dalam kepimpinannya atau tidak menunaikan
hak kepada rakyatnya.
Ketujuh, solat menyedarkan umat Islam persamaan hak antara sesama Muslim. Dalam
solat berjemaah, pengisian saf atau barisan solat tidak didasarkan pada status
sosial, pangkat kedudukan atau darjat seseorang, walau pun pada saf yang paling
hadapan.
Gambaran ini menunjukkan adanya persamaan hak tanpa mengambil kira kedudukan
mahu pun tua umurnya, bukan saja di dalam solat jemaah, bahkan dalam arena
kehidupan ummah.
Kelapan, solat mendidik umatnya mengamalkan gaya hidup yang sihat. Mendirikan
solat secara istiqamah memberikan kesan kesihatan yang menyeluruh, yang
dihasilkan melalui gerakan di setiap rakaat, yang dilaksanakan pada setiap hari
secara minimum 17 rakaat secara seimbang. Dalam erti kata lain, solat adalah
satu bentuk riadah fizikal dengan cara sederhana dan mudah gerakannya.
Jika nilai solat ini dapat diterjemahkan secara holistik dalam kehidupan setiap
Muslim, maka sudah pasti satu transformasi dalam setiap dimensi hidupnya ke
arah yang lebih baik akan dapat dicapai.
Info
Kelebihan solat:
- Mengubah seseorang Muslim menjadi lebih bertakwa dalam kehidupan peribadi dan sosialnya
- Mendidik Muslim menyucikan dirinya daripada sifat buruk
- Mendidik kesatuan dan perpaduan ummah
- Menghargai waktu
- Mendidik ketaatan kepada pemimpin
- Menanam sikap berani dalam diri Muslim iaitu bersedia menegur pemimpin buat kesilapan
- Menyedarkan umat Islam persamaan hak antara sesama Muslim
No comments:
Post a Comment