2012/06/04
SESIAPA berupaya menahan kemarahan, bererti
dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan sebenar.
Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.
Nabi Muhammad bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan
(kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang
dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).
Pentingnya sifat menahan marah mendorong
Nabi Muhammad SAW apabila diminta oleh seorang lelaki supaya berpesan atau
mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’.
Lelaki itu seperti tidak berpuas hati
dengan jawapan diberi. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan
menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan Rasulullah SAW
memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya.
Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’. Untuk mendidik
sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan
melakukan ibadat wajib dan sunat. Kekuatan takwa dan iman secara langsung akan
menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.
Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil tarbiah berterusan.
Sebab itu, selalulah memupuk sifat pemaaf bermula dengan perkara yang kecil dan
mudah hilang sifat marah. Jika ada sesuatu menimbulkan marah, berfikirlah
sejenak untuk menilai atau muhasabah diri.
Renungkan dalam hati adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah
sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu
berlaku? Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki
ruang hati dan memberi petunjuk tindakan wajar dilakukan seterusnya.
Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang menyemarakkan perasaan marah, yang
lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan. Sifat pemaaf memberi manfaat besar
kepada diri sendiri terutama dari segi rohani.
Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran
terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri untuk melakukan
kebaikan. Bagi yang bersifat pemaaf, padanya tiada dalam hatinya tersimpan
perasaan marah.
Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi
yang menekan dirinya. Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca
sifat marah dan membalas dendam.
Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan
perasaan dendam masih bertapak di hati. Sikap berdendam hanya merugikan
kedua-dua pihak. Jika sifat memaafkan diamalkan, insya- Allah, kita juga tidak
akan menanggung kemarahan daripada orang lain.
Sebaiknya sebelum tidur perkara yang selalu dipesankan orang alim supaya kita
memaafkan kesalahan semua orang dengan harapan dan doa, orang lain juga terbuka
hati untuk memaafkan kesalahan kita.
Sesungguhnya kesalahan dengan Allah lebih mudah untuk memohon keampunan kerana
sifat Allah Maha Pengampun, tetapi kesalahan sesama manusia susah. Jika semua
orang bersifat pemaaf alangkah bahagia dan amannya dunia ini.
Sumber: Tazkirah laman web Masjid Negara
No comments:
Post a Comment