بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, June 4, 2012

Inspirasi kisah agung Rasulullah



Oleh ZUARIDA MOHYIN 

DIALAH gerangan insan yang dimaksudkan di atas iaitu Muhammad bin Abdullah. Meskipun kita tidak pernah mengenali kekasih Allah ini, namun kita menyebut namanya, menghantarkan salam padanya setiap hari lewat solat, selawat dan doa.

Bahkan bukan itu sahaja malah kita tidak jemu-jemu melantunkan permohonan syafaat daripada baginda Rasulullah SAW untuk keselamatan kita di akhirat daripada kepedihan azab neraka.

Lantaran itu, wajarlah insan agung daripada ayat di atas dianggap satu kurnia bagi seluruh umat manusia. Ini kerana, secara keseluruhan kehidupan Rasulullah SAW merupakan suri teladan.

Baginda memberi contoh nyata bagaimana seharusnya manusia hidup untuk meraih kejayaan di dunia dan di akhirat.

Rasulullah SAW adalah contoh manusia yang terbukti berjaya. Kejayaan hidup Rasulullah SAW mencakupi seluruh dimensi kehidupan manusia; berjaya sebagai individu, dari sudut harta, kehidupan sosial dan kehidupan akhiratnya.

Maka, jika manusia itu inginkan kejayaan, tidak ada pilihan lain selain meneladani kehidupan baginda merangkumi sikap, karakter dan keteguhan sikap baginda dalam berdakwah.

Hakikatnya, kehidupan Rasulullah SAW adalah the great story, ini kerana walaupun ia terjadi 14 abad yang lalu tetapi ia tidak pernah ketinggalan zaman atau menjadi usang. Malah ia sentiasa relevan dalam kehidupan kini dan di masa depan.

Kehidupan Rasulullah SAW juga adalah sebuah kisah teragung kerana setiap jejak langkah baginda dibimbing langsung oleh wahyu Ilahi. Di dalamnya sarat dengan nilai-nilai kebaikan, hikmah dan pedoman hidup yang dapat menyuluh dan mengilhamkan manusia menuju kejayaan, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Sesungguhnya, sebuah kenikmatan tidak terhingga jika kita seakan-akan hidup bersama baginda Rasulullah SAW, 14 abad silam. Itulah yang dihidangkan penerbit Maghfirah Pustaka menerusi buku terbarunya yang berjudul, Sirah Teragung Muhammad - Rujukan Terlengkap Hidup Rasulullah SAW Dari Sebelum Kelahiran Hingga Detik-Detik Terakhir

Menurut penyusun bukunya, Dr. Ahmad Hatta buku setebal 616 muka surat yang berkulit tebal dengan kualiti kertas berkilat serta gambar eksklusif penuh warna pastinya akan memberikan kenikmatan seolah-olah ia membawa pembaca berada, merasa dan melihat langsung perjuangan Rasulullah SAW, 14 abad silam. Insya-Allah.

Pembaca pastinya dapat merasakan kesedihan saat baginda ditinggalkan selamanya oleh kedua-dua ibu bapa baginda. Melihat keceriaan baginda ketika masih anak-anak dan remaja. Menyelami kegigihan baginda ketika berdagang.

Berkongsi kegembiraan Rasulullah saat melayari bahtera perkahwinan bersama Khadijah. Merasai kegentaran Rasulullah saat Malaikat Jibril datang kepadanya membawakan wahyu yang pertama.

Seterusnya bersama menyulam perasaan pahit getir sepanjang memperjuangkan panji dan risalah Islam kepada umat manusia dan bersama-sama baginda merasai penghijrahan dari Mekah ke Madinah.

Penghayatan pembaca akan sirah Rasulullah ini akan dipanjangkan lagi dengan menyaksikan kebahagiaan baginda ketika disambut baik oleh penduduk Ansar di Madinah.

Semangat juang dan kegembiraan baginda di medan perang Badar serta kegetiran ketika perang Uhud turut dirasai selain menyaksikan tawaduk baginda ketika membebaskan kota Mekah.

Saat baginda berjuang menahan kesakitan menjelang wafat, sekurang-kurangnya bakal menyentuh hati umat-umatnya akan figura manusia hebat yang diangkat sebagai kekasih Allah SWT yang sekali gus menjadi idola dan sumber inspirasi sepanjang hayat kita.

Buku ini telah disusun dengan merujuk buku-buku sirah muktabar (autentik). Tetapi secara umum, majoriti isi buku ini merujuk pada buku;

1. Ar-Rahiq al-Makthum, Bahtsun fi as-Sirah an-Nabawiyah "Ala Shahibiha Afdhal ash-Shalti wa as-Salam terbitan Darus-Salam, Riyadh, karya Syeikh Shafiyy ar-Rahman al-Mubarakfury. Ini adalah buku yang sangat boleh dipercayai (reliable) kerana mendapat penghargaan sebagai juara Pertandingan Penulisan Sejarah Nabi SAW yang diselenggarakan oleh Rabithah Al-Alam Al-Islamy.

2. Darus wa Ibrar atau kolum Hikmah, majoriti diperoleh daripada buku Silsilah fi Zhilal as-Sirah an-nabawiyah; Ala Khatha al-Habib karya Amru khalid, terbitan Maghfirah Pustaka.

3. Untuk peta ia banyak merujuk kepada Al-Atlas At-Tarikhi li sirah ar-Rasul oleh Dr. Sami bin Abdullah al-Magluts terbitan Obaikan dan Atlas Al-Quran, Amakin, Aqwam Alam oleh Dr. Syauqi Abu khalil (Darul Fikri).

Salah satu keunikan buku ini ialah penampilan serta paparan gambar berwarna bagi membangkitkan suasana seolah-olah pembaca turut hadir dalam setiap episod kehidupan Rasulullah SAW saat membaca buku ini.

Selain itu, pembaca turut dipermudahkan dengan memuatkan peta-peta berkaitan sesuatu peristiwa, carta , ringkasan period di Madinah yang sekali gus melancarkan pemahaman dan gambaran situasi sebenar ketika berlaku kejadian bersejarah itu.

Pembelian buku ini akan turut melayakkan pembaca memperoleh cakera padat eksklusif Sirah Teragung oleh Hafiz Hamidun.

Keseluruhan kisah kehidupan baginda diletakkan dalam empat bab utama iaitu;

Bab 1 - Dunia Sebelum Nabi SAW Diutus
Bab 2 - Sebelum Masa Kenabian
Bab 3 - Masa Kenabian
Bab 4 - Fasa Madinah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...