Oleh Sharifah Haayati
2012/06/30
Majikan wajib penuhi hak tenaga kerja,
wujud hubungan baik sesama kakitangan
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila engkau selesai (daripada sesuatu
amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih
yang lain). Dan hanya kepada Tuhanmu sahajalah, hendaknya engkau berharap.”
(Surah al-Syarh, ayat 7-8)
Walaupun ayat ini diturunkan untuk
mententeramkan hati Baginda Rasulullah pelbagai panduan dan manfaat boleh kita
kutip dalam melaksanakan kerja seharian daripada penelitian dua ayat ini.
Ayat ini bukan saja menunjukkan anjuran dan
galakan Allah SWT supaya terus menerus melaksanakan amal salih, tetapi ia juga
membawa perhatian untuk terus melakukan kebaikan kesungguhan dan kerajinan
bekerja juga perlu terus dibaja supaya momentumnya mampu dikekalkan khasnya
pada masa kini.
Bagi memacu daya saing dan daya maju pekerja, nilai kerajinan, ketekunan serta
kesungguhan perlu disokong serta dikembangkan. Setiap majikan perlu membajai
nilai ini melalui pelaksanaan dasar 5K iaitu yang pertama, kemudahan dan
kebajikan.
Kemudahan fizikal dan material meliputi antaranya persekitaran tempat kerja
selesa, kemas, bersih, kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT), tempat
beribadat serta rekreasi, manakala kemudahan material meliputi gaji, upah,
insentif seperti bonus dan elaun kemudahan kesihatan, perumahan, pengangkutan,
khairat kematian dan lain-lain bentuk kebajikan.
Dalam Majma’ al-Zawaid al-Haithami, sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berilah
pekerja itu upah sebelum kering peluhnya.”
Kemudahan insentif ini adalah mengambil pengajaran daripada balasan Allah SWT
kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan dalam firman yang bermaksud: “Dan
sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang
diusahakan.” (Surah al-Najm, ayat 39)
Kedua, kesantunan komunikasi adalah dasar paling mudah dan murah untuk
menimbulkan rasa dihargai apabila berjaya melaksanakan tugasan serta merangsang
motivasi kerja dengan kerajinan dan kesungguhan. Ucapan seperti ‘terima kasih’,
‘tahniah’, ‘syabas’, ‘teruskan ketekunan anda’ adalah komunikasi baik yang amat
dituntut.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perkataan yang baik itu adalah suatu
sedekah.” (Hadis riwayat Muslim) Benarlah kata-kata, ‘Indah tampan kerana budi,
tinggi bangsa kerana bahasa’.
Kesantunan komunikasi ini juga boleh dipamerkan melalui pelbagai bentuk
penghargaan termasuklah pemberian anugerah perkhidmatan cemerlang, perkhidmatan
setia, anugerah kualiti dan inovasi berbentuk ganjaran atau hadiah, sijil,
piala, pingat dan sebagainya.
Kesantunan komunikasi ini sesuai dengan anjuran supaya kita saling menghargai
dan berterima kasih sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa tidak
berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah.” (Hadis
riwayat Imam Ahmad)
Dalam Perkhidmatan Awam, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 tahun 2004 juga
menyediakan peraturan pemberian penghargaan kepada pegawai yang sudah
meninggalkan perkhidmatan iaitu sijil penghargaan kepada mereka yang berkhidmat
sekurang-kurangnya 15 tahun secara berterusan.
Ketiga, kerjasama harmoni dan kerukunan organisasi. Apabila tugas boleh
disandarkan di bahu anggota organisasi secara bersama dan harmoni, ia akan
menimbulkan rasa kepuasan serta kerukunan dalam organisasi.
Ibn Khaldun dalam mukadimahnya mengistilahkan suasana begini sebagai organisasi
insani. Justeru, membina semangat muafakat dan kerjasama dalam organisasi boleh
menimbulkan keseronokan bekerja, mengembangkan serta membudayakan nilai
kerajinan bersama.
Keempat, keutamaan kesihatan. Faktor kesihatan penting kerana kesihatan adalah
harta seperti sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang pagi sihat fizikalnya,
damai jiwanya dan mempunyai makanan untuk harinya, maka seolah-olah dunia ini
kepunyaannya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Justeru, tanpa kesihatan yang baik, tiadalah kerajinan. Individu dan majikan
perlu memberi perhatian serius antaranya mengambil kira aspek bebanan kerja
yang diberikan supaya bersesuaian kemampuan kesihatan dan fizikal pekerja serta
munasabah untuk disempurnakan dalam tempoh diberi, menganjurkan wacana
berkaitan kesedaran kesihatan, menggalakkan aktiviti riadah dan rekreasi
seperti menubuhkan Kelab Sukan atau Hari Sukan.
Kelima, ketepi kerenah birokrasi yang bukan saja melambatkan sesuatu urusan
tetapi boleh merencatkan kerajinan pekerja. Contohnya, apabila pekerja perlu
berhadapan proses dan prosedur kerja yang panjang serta sulit, mendapat
kelulusan atau persetujuan daripada ramai pegawai atasan, mengisi pelbagai
borang dan masalah dalam penggunaan ICT.
Justeru, usaha memudahkan proses dan prosedur kerja dapat mengelakkan kebosanan
serta mengembangkan nilai kerajinan dalam bekerja. Malah, dalam ajaran Islam,
nilai mudah dan memudahkan amat dituntut.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak
menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Rasulullah SAW bersabda: “Mudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan
jangan membuatkan orang lain lari (dari agama kamu)." (Hadis riwayat
al-Bukhari
Marilah bersama mengembangkan sifat kerajinan dalam diri dan pekerja dengan
memberi perhatian kepada dasar asas 5K yang akan melonjakkan hasil kerja,
organisasi sekali gus menjadikan kerja berteraskan kerajinan suatu budaya yang
mengundang pahala dan keredaan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment