Oleh DR. MOHAMAD ZULKIFLI ALBAKRI
SELEPAS Allah menceritakan berkenaan dengan
mukadimah sumpahan dengan kebesaran hari kiamat serta mengesahkan manusia dan
sifat kejadiannya begitu juga peristiwa yang akan berlaku apabila kiamat, maka
pada ayat seterusnya Allah masih lagi membicarakan berkenaan dengan suasana dan
keadaan kiamat.
Firman Allah SWT: Pada hari itu
manusia berkata: Ke mana tempat berlari? (al-Qiyamah: 10)
Al-Maraghi berkata: "Pada ketika itu
manusia berkata sesama mereka dalam keadaan hairan dan bingung: Di manakah
tempat untuk melarikan diri dari neraka Jahanam? Apakah ada tempat berlindung
daripadanya?"
Ibnu Kathir berkata: " Jika anak cucu
Adam telah menyaksikan peristiwa yang mengerikan itu pada hari kiamat kelak,
maka mereka hendak melarikan diri dan berkata: Ke mana tempat berlari? Yakni,
adakah tempat untuk berlindung?"
Sayid Qutub berkata: "Di tengah-tengah
ketakutan dan revolusi alam yang mengerikan ini, manusia tertanya-tanya di mana
tempat lari dan pertanyaan ini membayangkan seolah-olah manusia ketika itu
melihat ke segenap sudut dan arah, tiba-tiba didapatinya segala jalan di
hadapannya tertutup."
Dia benar-benar terkepung, tiada lagi jalan
untuk mencari perlindungan dan keselamatan dan juga tiada lagi tempat untuk
melarikan diri daripada azab Allah, daripada kekuasaan-Nya serta daripada
kembali dan berlindung di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak!
tidak ada tempat berlindung!. Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat
kembali. (al-Qiyamah: 11-12)
Al-Maraghi berkata: "Tidak ada tempat
yang dapat dijadikan sebagai perlindungan daripada azab Allah SWT. Tidak ada
benteng, tidak ada gunung dan tidak ada senjata yang dapat melindungi kamu
daripada seksaan-Nya."
Kepada Tuhan sahaja tempat kamu kembali di
dalam syurga atau neraka. Ia terserah kepada kemahuan-Nya. Sesiapa yang
dikehendaki-Nya masuk syurga, akan masuk ke syurga begitu juga jika Dia
menginginkan ke dalam neraka, maka nerakalah tempatnya.
Al-Suddi berkata: "Mereka apabila berasa
takut di dunia, mereka berlindung di gunung-ganang. Allah pun berfirman kepada
mereka yang bermaksud: Tidak ada tempat berlindung yang dapat melindungi
kamu daripada Aku".
Ibnu Mas'ud, Ibnu Abbas, Said bin Jubair
dan lain-lain daripada ulama Salaf mengatakan: "Iaitu tidak ada
keselamatan."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu kamu semua
tidak akan mendapatkan tempat untuk berlindung pada-Nya dan hanya kepada Allah
SWT tempat kembali."
Sayid Qutub berkata: "Keinginan
manusia untuk terus melakukan maksiat dan kejahatan tanpa hisab dan balasan itu
tidak akan berlaku lagi pada hari itu. Bahkan pada hari itu segala perbuatan
yang telah mereka lakukan akan dihisab dan akan diingatkan oleh Allah SWT
sekiranya dia lupa."
Seterusnya akan menerima balasan yang wajar
selepas ia mengingati kejahatannya dan melihat laporan amalannya terbentang di
hadapannya.
Firman Allah SWT: Pada hari itu
diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang
dilalaikannya. (al-Qiyamah: 13)
Sebenarnya ayat ini ditafsirkan dengan
banyak pendapat, antaranya:
- Akan diberitakan seluruh amalannya dari awal hingga akhirnya seperti pendapat Mujahid. Al-Maraghi berkata: "Ketika dihadapkan, dihisab dan ditimbang amal perbuatannya, manusia diberitahu semua perbuatannya yang dahulu dan yang kemudian, awal dan akhir, besar dan kecil."
- Al-Qusyairi berkata: "Pemberitahuan ini adalah pada hari Kiamat, iaitu ketika amal perbuatan ditimbang."
- Dengan apa yang terdahulu daripada kejahatan dan yang akhir daripada kebaikan seperti pendapat Ikrimah.
- Dengan apa yang dilakukan pada awalnya yang fardu dan yang akhirnya dengan fardu juga seperti pendapat ad-Dahak.
- Dengan apa yang dilakukan pada awalnya daripada maksiat dan pada akhirnya dengan ketaatan.
- Dengan apa yang mereka kemukakan daripada hartanya yang akhirnya ditinggalkan untuk warisnya, inilah pendapat Zaid bin Aslam.
- Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, Allah SWT memberitahu tentang seluruh amal perbuatannya, sama ada yang lama mahupun yang baru, yang pertama mahupun yang terakhir, yang kecil mahupun yang besar dan demikian yang seterusnya."
Sayid Qutub berkata: "Manusia akan
diberitahu tentang segala amalan yang telah dilakukannya sebelum ia mati
termasuklah kesan-kesan daripada amalan dan perbuatannya sama ada baik ataupun
buruk."
Kesan-kesan daripada segala amalan dan
perbuatan yang dilakukan oleh seseorang akan ditokok tambah kepada kumpulan
amalannya dalam kiraan terakhir.
No comments:
Post a Comment