Oleh Ustaz Zaman
2012/06/30
SESUATU perkara yang berlaku adalah
kehendak dan kurniaan daripada Allah SWT. Manusia harus menerima dengan
perasaan reda dan merendah diri kerana pada dasarnya segala-galanya adalah
untuk kebaikan umat manusia.
Setiap ciptaan mempunyai tujuan tersendiri dan bukanlah sia-sia seperti
anggapan sesetengah masyarakat. Firman Allah SWT bermaksud: “Apakah kamu
mengira bahawa ada ciptaan Allah yang tiada mempunyai tujuan serta sia-sia?”
(Surah al-Mukminun, ayat 115)
Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin,
hendaklah meletakkan tangannya di mulut dan merendahkan suaranya.” (Hadis
riwayat Abu Daud dan Tirmizi).
Di sinilah letaknya keadilan dan kesaksamaan Islam yang mana segala gangguan
mental dan fizikal terhadap orang lain adalah dilarang walaupun kepada golongan
bukan Islam.
Antara perkara yang sering dilupai umat Islam ialah ‘bersin’ dan disiplinnya.
Ramai menganggap ia perkara biasa dan tiada kaitan dengan agama. Sebenarnya
bersin mempunyai disiplin tersendiri yang perlu dijaga supaya tidak mengganggu
perasaan orang lain ketika kita bersin.
Kita dianjurkan supaya tidak meninggikan suara serta mengucapkan pujian kepada
Allah SWT (Alhamdulillah) serta menutup hidung dan mulut ketika bersin.
Dianjurkan pula mereka yang mendengar pujian itu mendoakan dengan rahmat Allah
SWT (Yarhamukallah).
Sesungguhnya al-Quran dan sunnah penuh dengan hukum dan hikmah untuk
kemaslahatan manusia. Ibnul Qayyim menyebut: “Jika hanya ada seratus perkara
dalam al-Quran dan sunnah, nescaya kita akan menyelaminya dengan mudah. Tetapi
hakikatnya, di sana
terdapat ribuan perkara yang datang dalam pelbagai bentuk dan cara.” (Miftah
As-Saa’dah)
Hikmah diciptakan bersin kepada manusia adalah berdasarkan beberapa perkara,
antaranya untuk menggambarkan Islam sebagai agama yang sentiasa menitikberatkan
hubungan hamba dan Penciptanya dalam semua keadaan. Oleh itu, setiap pekerjaan
dilakukan mempunyai doa tersendiri daripada Baginda SAW.
Jawapan yang diucapkan daripada orang yang bersin serta mereka yang mendengar
pujian dapat menciptakan suasana keislaman dalam masyarakat serta menggalakkan
mengingati Allah SWT.
Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin hendaklah menyebut ‘Alhamdulillah’ dan
berkatalah mereka yang berada di sisinya ‘Yarhamukallah’. Inilah salah satu
antara hak orang Islam terhadap saudaranya yang lain (mendoakan ketika
bersin).” (Hadis riwayat Aishad dari Abi Ya’la)
Syekh A’llamah Al-Haliimy berkata: “Bersin juga akan mengurangkan tekanan yang
terdapat dalam pemikiran selepas banyak berfikir. Oleh sebab itulah orang yang
menjawab berkata: “Semoga Allah lapangkan pemikiranmu.”
Berkata Ibnu A’rabi, bersin akan mengejutkan segala saraf bermula daripada
kepala ke bahagian tengkuk dan ucapan Yarhamukallah daripada mereka yang
mendengar bermaksud supaya Allah kembalikan sarafnya seperti sedia kala.
Ibnu Abi Hamzah berkata, bersin adalah satu nikmat Allah SWT kepada hambanya
untuk menghilangkan kemudaratan dalaman manusia. Oleh sebab itulah mereka yang
bersin dianjurkan memuji Allah SWT dan mereka yang menjawab pujian itu sangat
dituntut oleh Islam dan mendapat ganjaran Allah SWT. (Kitab Fathul Bari )
Begitu juga jalinan ukhuwah antara umat Islam selepas berlaku dua hubungan
antara orang yang bersin dan mereka yang menjawabnya. Mereka saling mendoakan
antara satu sama lain sehingga melahirkan hubungan yang kukuh antara umat Islam.
Perasaan persendirian, keegoan serta permusuhan adalah penyakit masyarakat dan
adalah mukadimah kepada keruntuhan agama. Sesungguhnya bersin dapat mewarnai
sikap layanan yang baik terhadap orang lain dan dapat menjelmakan semangat
kasih sayang antara umat Islam.
Islam juga menafikan fahaman masyarakat jahiliah dulu yang menganggap mereka
yang bersin adalah pembawa sial dan berpenyakit. Ada juga sebahagian daripada mereka
menganjurkan diputuskan atau diusahakan tidak bersin supaya tidak tergolong
daripada golongan yang sial.
Mereka juga akan menjawab kepada yang bersin mengikut penilaian orang itu pada
pandangan masing-masing. Contohnya, jika orang itu disukai maka mereka akan
mendoakan supaya sihat dan panjang umur. Jika orang itu dibenci maka jawapannya
adalah celaka dan mati. Ada juga yang menjawab, itu (sial) adalah untukmu dan
bukan untukku.
Doa keampunan diungkapkan mereka yang bersin dan mereka mendengarnya telah
membina satu ikatan malah dengan jawapan semula oleh orang yang bersin dengan
doa hidayah untuk kedua-duanya dapat membina kasih sayang antara keduanya. Doa
inilah yang memadamkan fahaman jahiliah yang menggalakkan kezaliman dan
permusuhan sesama manusia.
No comments:
Post a Comment