SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA
AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA
BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu Athaillah memulakan Kalam Hikmat
beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal.
Amal boleh
dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau
suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu.
Beberapa orang boleh
melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan
perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara
seorang dengan seorang yang lain.
Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana
hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati
dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga
kepada amal, sekalipun ianya amalan batin.
Hati yang bebas daripada bersandar
kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap
kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa
sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t
tanpa sebarang takwil atau tuntutan.
Hati yang demikian tidak menjadikan
amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk
tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi
perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak
membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan
manusia.
Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut
kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang
mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana
itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong
ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut
perbuatan makhluk.
Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan
makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan
perbuatan seseorang atau sesuatu. Sebelum menjadi seorang yang arif, hati
manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun
yang batin.
Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang
mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin
adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut
berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik
di dunia dan juga di akhirat.
Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat
manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka
hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah
s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan.
Seseorang manusia boleh
memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah
s.w.t.
Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk
mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan
maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa
daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita
kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas menceritakan bahawa orang yang
beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau dalam
keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati
tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang
diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.
Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima
pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya
selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang
dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t.
Apa juga yang
Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya, walaupun
dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang demikian
menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali
berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala perkara
kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak akan
menjadi sia-sia.
Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t
berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada
amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka
mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada,
mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha
(termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak
mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka
tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir
dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang kafir tidak bersandar kepada
Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam juga ada
yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang kafir.
Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan diri sendiri, bukan
kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia
dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia. Dia mengharapkan semoga amal
kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah
rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia
juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah
banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan
keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.
Sebahagian kaum muslimin yang lain
mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang
amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api
neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya
mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan
menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan
segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu
berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana
membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di atas muka
bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan
itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi
ego serta suka menyombong.
Apabila rohani seseorang bertambah teguh
dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan.
Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia
berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab
yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya kepada
Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal
yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain.
Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila
dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan.
Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan
melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada golongan yang bersandar kepada
amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui
amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam
mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir, iaitu
perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih
ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajatkan.
Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar kepada amalan
batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu
amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk
mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan
dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.
Dalam perkara bersandar kepada amal ini,
termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin.
Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara menurut
kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman
bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan
jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha,
hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada
tiap sesuatu itu.
Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan,
kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam
hatinya maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
Orang yang di dalam makam ini tidak lagi
melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya
tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t
kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak
ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t
dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t
tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah
perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang
mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun,
merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.
Orang yang masuk ke dalam lautan takdir,
reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak
berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat
makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t,
seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan itu
sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t.
Semakin kuat
dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya. Apabila
dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula berubah. Dia
tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih
kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah
s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya
terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya.
Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir.
Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala
segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya
tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu
dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada
Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia
hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.
Sumber : http://alhikam0.tripod.com/hikam001.html
Boleh sambung baca tentang syarah hikam:
http://alhikam0.tripod.com/hikam002.html
http://alhikam0.tripod.com/hikam006.html
http://alhikam0.tripod.com/hikam007.html
http://alhikam0.tripod.com/hikam008.html
dan banyak lagi... di sana...
Boleh sambung baca tentang syarah hikam:
http://alhikam0.tripod.com/hikam002.html
http://alhikam0.tripod.com/hikam006.html
http://alhikam0.tripod.com/hikam007.html
http://alhikam0.tripod.com/hikam008.html
dan banyak lagi... di sana...
No comments:
Post a Comment