بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, June 22, 2012

Interaksi sains dan Islam



Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD


MUSTAHIL jika difikirkan, manusia dapat menyeberangi lautan luas dengan menunggang kuda. Agak menghairankan juga, manusia dibakar di dalam unggun api yang marak tetapi tidak memberi sebarang kesan. 

Begitu juga peristiwa manusia tertidur di dalam gua Kahfi dan dibangunkan semula selepas ribuan tahun.

Semua peristiwa berikut adalah contoh kejadian yang tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata dan fikiran, sama ada melalui kajian sains dan logik akal.

Atas sebab ini juga menjadi punca berlakunya perdebatan antara ilmu sains dan agama yang tidak pernah selesai dibicarakan oleh pakar ilmuan dan masyarakat di serata dunia sejak dahulu lagi.

Sehingga wujudnya perselisihan fahaman antara kedua ilmu tersebut, sama ada menerima atau menentang hubungan antara ilmu sains dan agama.

Namun begitu, oleh kerana pendapat kedua dilihat lebih berpengaruh, fahaman itu kini berjaya disebarkan kepada masyarakat dunia dan telah diterima oleh orang ramai termasuk di negara Islam.

Melalui penyebaran secara sulit dengan mempertikaikan pertembungan antara sains dan agama melalui logik akal, sedikit sebanyak mempengaruhi mentaliti umat Islam bahawa ia adalah dua entiti yang berbeza dengan tanpa kita sedari.

Pengarah Institut Islam Hadhari, ProfesorDatuk Dr. Mohd. Yusof Othman bagaimanapun menyangkal hujah berkenaan dan dengan tegas menyatakan sains dan agama adalah saling berinteraksi.

Ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Allah adalah tuhan yang bergantung pada-Nya segala sesuatu. (al-Ikhlas: 2)

Menurutnya, firman Allah SWT menerusi ayat ini jelas menerangkan kepada umat Islam bahawa tiada perkara yang terjadi tanpa kehendak dan keizinan daripada Allah SWT, walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang atau melakukannya.

Oleh itu, segala kejadian yang berjaya dirungkai dengan kajian sains, pada asasnya semuanya adalah disebabkan keizinan daripada Allah SWT dan ia perlu diyakini oleh semua umat Islam.

Menyokong hujah itu, Dr. Yusof berkata, terdapat banyak hasil kajian sains yang dilakukan menemui jawapan sama seperti yang telah dinyatakan dalam al-Quran yang merupakan kitab rujukan utama bagi umat Islam sejak ribuan tahun lalu.

Menurutnya lagi, begitu juga proses kejadian manusia dan peredaran bulan dan matahari yang telah jelas diterangkan di dalam al-Quran sebelum teknologi sains mampu mengenalpasti dan menjelaskan kejadian tersebut menggunakan kaedah saintifik.

"Sains tanpa agama, buta, agama tanpa sains, tempang. Walaupun istilah sains dan agama adalah berbeza, tetapi ia tidak boleh dipisahkan antara keduanya.

"Tidak keterlaluan untuk dikatakan, semua firman Allah SWT menerusi kitab al-Quran adalah sains. Sains adalah tuntutan dalam agama, manakala agama memerlukan sains untuk maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Sains dan Agama: Pertembungan, Keserasian dan Kesepaduan di Dewan Senat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Turut hadir penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Profesor Datuk Dr. Ismail Ibrahim dan Timbalan Pengarah Institut Islam Hadhari UKM, Profesor Dr. Jawiah Dakir.

Dalam pada itu, tambah Dr. Yusof, sebagai umat Islam wajib mempercayai konsep kesepaduan agama dan sains melalui pendekatan sains Tauhidik.

"Berbeza dengan konsep sains konvensional, sains Tauhidik adalah ahli sains Islam yang meyakini bahawa Allah SWT adalah segala-galanya dan hanya Allah sahaja yang mengetahui tabii alam secara fizikal atau spiritual.

"Ini kerana manusia mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat terhad mengenai tabii alam secara saintifik.

"Dalam sains Tauhidik juga terdapat tiga hubungan sepadu iaitu hubungan antara manusia dengan tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Ia berbeza dengan konsep sains konvensional yang hanya menghubungkan perkaitan antara manusia dan hukum alam tanpa mempercayai tuhan," jelasnya.

Tambahnya penemuan teori sains melalui sesuatu kajian saintifik adalah bersifat tidak tetap dan berubah-ubah mengikut peredaran masa dan pengkaji.

Berbeza dengan ayat al-Quran yang tidak berubah-ubah sejak diturunkan pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat terdahulu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...