SURAH al-Kahfi ialah surah yang diturunkan
di Makkah sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Surah ini mempunyai 110
ayat mengandungi mesej akidah didatangkan dalam bentuk cerita mudah difahami
seperti kisah Ashabul Kahfi, pemuda yang mempertahankan akidah daripada
pemerintah zalim.
Dalam surah ini juga terdapat kisah Nabi Musa berguru kepada Nabi Khidir, kisah dua pemilik kebun yang salah seorangnya tidak beriman manakala seorang lagi beriman kepada
Allah SWT. Juga terdapat kisah Dzulqarnain membantu kaum yang berdepan masalah yang ditimbulkan oleh Yakjuj dan Makjuj.
Membaca surah al-Kahfi adalah salah satu
amalan sunat pada hari Jumaat sebagai persediaan rohani menghadapi fitnah
berdasarkan kelebihan serta kesahihan hadis Nabi Muhammad SAW yang banyak
meriwayatkan kelebihan surah ini.
Umat Islam yang beriman dengan Rukun Iman
kelima meyakini hari kiamat yang menjadi rahsia Allah pasti berlaku. Kita hanya
diberi peringatan melalui tanda akan berlakunya kiamat supaya dapat membuat
persediaan dan bekalan untuk menghadapi hari itu.
Pengajaran dapat dihayati daripada
keistimewaannya, surah ini membantu kita menyelamatkan diri dan dijadikan
benteng daripada fitnah duniawi serta terhindar daripada fitnah paling dahsyat
iaitu fitnah Dajjal.
Fitnah Dajjal sebagai tanda besar akan
berlakunya kiamat selain keluarnya Yakjuj dan Makjuj. Hari Jumaat dan kiamat
sangat berkait rapat kerana hari kiamat akan berlaku pada hari itu berdasarkan
hadis daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam
diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga
kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta
sesuatu daripada Allah SWT melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis
riwayat Muslim)
Walaupun kita tidak mengetahui tarikh tepat
bila berlakunya kiamat, wajib sebagai umat Islam membuat persediaan bagi
menghadapi hari berakhirnya dunia ini. Kita dibekalkan dengan peristiwa atau
tanda menunjukkan kiamat semakin hampir.
Antaranya, berlaku banyak gempa bumi dan
kemusnahan alam seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan
terjadi hari kiamat sehingga dihilangkannya ilmu dan banyak gempa bumi.” (Hadis
riwayat Bukhari)
Umat Islam yang beriman dengan Rukun Iman
kelima meyakini hari kiamat yang menjadi rahsia Allah pasti berlaku. Kita hanya
diberi peringatan melalui tanda akan berlakunya kiamat supaya dapat membuat
persediaan dan bekalan untuk menghadapi hari itu.
Mengamalkan membaca surah A-Kahfi pada hari
Jumaat adalah persediaan rohani yang disarankan Rasulullah SAW sendiri sebagai
bekalan menghadapi hari kebangkitan.
Kelebihan mereka yang mengamalkan membaca
surah al-Kahfi ialah diampunkan dosa dari hari Jumaat sehingga Jumaat akan
datang berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa membaca
surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari
dari segala fitnah yang melanda, dan jika keluar Dajjal sekalipun, dia akan
terpelihara daripadanya.”
Marilah kita bersama-sama mempersiapkan
diri bagi menghadapi pergolakan akhir zaman di samping meningkatkan amalan
kebaikan dalam usaha meraih keredaan dan rahmat Allah SWT.
*********************
Di bawah ni disalin daripada ustmuhammad.wordpress.com
Keseluruhan surah ini boleh dibahagikan
kepada empat bahagian.
Bahagian pertama surah ini bermula dengan
pujian kepada Allah S.W.T yang telah menurunkan kitab suci kepada hambaNya,
supaya meyampaikan berita gembira kepada orang-orang beriman dan memberi amaran
yang keras kepada orang-orang yang berkata bahawa Allah mempunyai anak. Diikuti
dengan penjelasan segala perhiasan dan keindahan di dunia adalah ujian dan
cubaan. Bahkan semuanya itu akan berakhir dengan kehancuran dan kemusnahan.
Allah membawa kisah Ashabul Kahfi sebagai contoh golongan yang mengutamakan
keimanan dari kehidupan dunia yang palsu, dan bagaimana mereka sanggup
berlindung pada rahmat Allah dalam sebuah gua demi menyelamat dan
mempertahankan keimanan mereka dari ancaman penguasa yang zalim.
Bahagian kedua bermula dengan Allah S.W.T
memerintah Rasulullah s.a.w supaya menetapkan dirinya agar setia dengan
orang-orang yang patuh berdoa’ kepada Allah, di waktu pagi dan petang kerana
mencari keredhaan Nya dan melarangnya supaya jangan peduli kepada orang-orang
yang lupa dan lalai dari mengingati Allah. Diiringi dengan cerita dua buah
ladang, bagaimana kebanggaan hati seorang yang beriman kepada Allah S.W.T dan
bagaimana dia memandang kecil kepada segala nilai-nilai keduniaan.Pusingan ini
diakhiri dengan penegasan bahawa nilai-nilai hakiki adalah nilai yang kekal
abadi.
Bahagian ketiga menggambarkan beberapa
pemandangan yang berkait rapat dengan hari Qiamat, dan diselangi dengan kisah
Adam dan iblis. Ia berakhir dengan penegasan bahawa menjadi sunnatullah
orang-orang yang zalim tetap akan binasa, penangguhan azab Nya terhadap
orang–orang yang berdosa sehingga waktu yang tertentu adalah sementara. Rahmat
Allah kepada orang-orang yang beriman.
Bahagian keempat bermula dengan kisah
Musa.a.s dan hamba solih, diiringi dengan kisah Zul Qarnain. Penutup surah ini
sama dengan permulaaanya iaitu berita gembira kepada orang-orang yang beriman
dan amaran keras kepada orang-orang kafir, disamping menthabitkan wahyu dan
membersihkan Allah S.W.T dari syirik.
Perincian Tafsir
“Segala pujian kepada Allah yang telah
menurunkan kitab al Quran kepada hamba Nya dan tidak menjadikan padanya ajaran
yang berbelit-beli. Sebuah kitab yang lurus untuk memberi amaran keseksaan yang
amat keras dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang mukminin
yang mengerjakan amalan soleh bagi mereka ganjaran pahala yang baik …………….dan
sesungguhnya ketika Qiamat kelak, Kami akan jadikan segala apa yang ada di atas
bumi ini tanah rata yang keras dan tandus”. [ayat 1-8.]
Ayat ini bemula dengan menonjolkan sifat
lurus dan tegas didalamnya memuji Allah S.W.T yang menurunkan kitab suci al
Quran kepada hamba Nya.Di dalamnya mengandungi ajaran yang lurus lagi
istiqamah, tidak berbelit-belit dan tidak menyeleweng malah tidak bertujuan
mencari helah dan tidak berusaha untuk menipu bahkan bertujuan “untuk
memberi amaran yang amat keras dari sisi Allah”.
Sejak ayat pertama lagi sudah nyata
garis-garis sifatnya yang jelas, tidak ada sebarang kekeliruan, tidak ada
sebarang kesamaran dan kerumitan dalam aqidah. Segala pujian hanya kepada Allah
S.W.T yang telah menurunkan al Quran.Muhammad adalah hamba Allah. Semua makhluk
adalah hamba Nya belaka. Allah S.W.T sama sekali tidak mempunyai anak dan tidak
mempunyai sekutu.
Al Quran tidak membawa sebarang ajaran yang
berbelit-belit. Ajaran nya adalah “qayyiman”. Konsep istiqamah al Quran
dijelaskan dengan;
Menafikan sifat berbelit-belit dalam
ungkapan “laa i’waja fihi”
Menegaskan sifat kelurusan dalam ungkapan “qayyiman”
Tujuan penurunan Al Quran amat jelas sekali
dengan firman Nya “untuk memberi amaran keseksaan yang amat keras dari
sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang mukminin yang mengerjakan
amalan soleh bagi mereka ganjaran pahala yang baik” [ayat;2.]
Suasana amaran yang amat keras itu
merangkumi seluruh penjelasan ayat ini.Bermula amaran secara umum dan diikuti
amaran secara khusus. Ini dapat diperhatikan dalam firman Allah;
Amaran umum “untuk memberi amaran
keseksaan yang amat keras dari sisi Allah” [ayat;2]
Amaran khusus “dan untuk memberi
amaran kepada orang-orang yang telah berkata bahawa Allah mempunyai anak” [ayat;4]
Di antara dua amaran itu diselit pula
dengan berita gembira kepada orag-orang yang beriman dengan firman Allah
“yang mengerjakan amalan-amalan soleh” [ayat;2.]
Ikatan inilah yang menjadikan iman
mempunyai bukti-bukti yang amali bersandarkan realiti yang kuat.
Selepas itu al Quran mula menjelaskan
manhaj yang salah, yang mereka ambil dalam memutuskan persoalan yang amat besar
dan amat penting dalam kehidupan mereka iaitu ‘isu aqidah’ dengan firman Allah
;
“Sebenarnya mereka tidak mempunyai sebarang
ilmu pengetahuan mengenai perkataan itu dan datuk nenek mereka juga tidak
mempunyai ilmu” [ayat;5]
Alangkah keji dan buruknya perbuatan mereka
meluahkan perkataan itu, tanpa berpandukan ilmu pengetahuan, malah secara
sangkaan yang melulu. Perhatikan firman Allah yang bermaksud;
“Alangkah besar kata-kata yang terkeluar
dari mulut mereka sedangkan apa yang dikatakan mereka tidak lain, melainkan
hanya dusta semata-mata”. [ayat;5]
Semua perkataan dalam susunan ungkapan ayat
ini dan semua bunyinya dalam pertuturan adalah saling berkait rapat untuk
membesar-besarkan kejilikan perkataan yang mereka ucapkan. Ini dapat kita
perhatikan perkataan;
Perkataan “Kaburat” untuk menunjukkan
kepada pendengar betapa besar dan jeliknya perkataan itu sehingga memenuhi
suasana. Perkataan itu juga sebagai tamyiz dengan ungkapan “kaburat kalimatan”
untuk menambah tekanan bagi menarik perhatian mereka. Ia menjadikan perkataan
itu terlepas keluar dari mulut mereka secara spontan dan terburu-buru.
Perkataan “takhruju min afwaahihim” kata-kata
ini memyumbang bunyi yang istimewa dalam membesarkan kejilikan kata-kata yang
terkeluar dari mulut mereka. Ini kerana orang yang melafazkan “afwaahihim” akan
membuka mulutnya untuk menyebut mad pada potongan pertamanya “afwaa..” kemudian
menyebut dua Ha’ yang berturut-turut menyebabkan seluruh mulut dipenuhi dua Ha’
sebelum ditutup mulut kerana mematikan huruf Mim diakhir perkataan “afwaahihim”.
Semua susunan dan bunyi ayat ini menggambarkan maksud dan suasana.
Perkataan “In yakuuluuna illaa
kaziban” Ini adalah satu kenyataan yang tegas melalui penafian ‘an nafi’
dan pengecualian ‘al istisnaa’. Pemilihan kata “In” bukan “maa” kerana “in”
bunyi mati yang keras dan jelas. Sedangkan “ma” mempunyai bunyi lembut sebab
mad. Tujuan pemilihan itu adalah untuk menambahkan kekerasan kecaman dan
menegaskan pembohongan yang amat besar.
Ayat 6 seakan-akan ayat teguran. Allah
S.W.T berbicara dengan Rasulullah s.a.w yang sedang kesedihan kerana kaumnya
mendustakan al Quran, menolak hidayah dan memilih jalan yang membawa mereka
pada kebinasaan. Allah berfirman kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
“Mungkin engkau hendak membunuh dirimu
kerana dukacita terhadap perbuatan mereka yang tidak mahu beriman dengan al
Quran” [ayat;6]
Maksudnya mengapa engkau hendak membunuh
dirimu kerana sedih dan berdukacita terhadap mereka yang tidak beriman pada al
Quran. Memang sepatutnya kamu tidak wajar bersedih dan berdukacita terhadap
mereka. Biarkan mereka begitu, kerana Kami telah menjadikan semua keindahan dan
kenikmatan yang ada di atas bumi ini, termasuk harta kekayan dan anak –anak
sebagai ujian dan cubaan, siapakah di antara mereka dan penghuni-penghuni nya
yang melakukan amalan-amalan yang baik di dunia ini. Mereka wajar menerima
nikmat dunia dan wajar pula menerima nikmat di akhirat kelak. Firman Allah yang
bermaksud;
“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa
yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk kami menguji mereka, siapakah
di antara mereka yang lebih baik amalannya”. [Ayat;7]
Hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui
siapakah mereka? Allah tetap akan membalas setiap perbuatan dan amalan yang
telah dilakukan oleh para hamba Nya dalam kehidupan dunia ini. Al Quran tidak
menyebut apa-apa tentang mereka yang tidak mengerjakan amalan-amalan yang baik
kerana pengertian itu dapat difahami dengan jelas melalui ungkapan “li
nabluwa hum aiyuhum ahsanu amalan”.
Penyudah bagi keindahan dan perhiasan dunia
telah pun ditetapkan. Bumi akan menjadi kosong, semua penghuninya akan hancur
dan binasa. Bumi akan jadi tandus, gersang, keras dan kering kontang menjelang
hari Qiamat. Firman Allah yang bermaksud;
“dan sesungguhnya Kami akan jadikan segala
apa yang ada di atas bumi ini menjadi tanah tandus lagi kosong”. [Ayat;8]
Pada ungkapan dan pemandangan ayat ini
mebayangkan satu keadaan yang dahsyat. Perkataan “juruzan” menggambarkan
pengertian tandus dengan bunyi perkataan itu sendiri. Begitu juga perkataan
“shaie’dan’ menggambarkan pemandangan tanah yang keras dan kontang.
Bersambung…. (boleh sambung baca di blog ustmuhammad.wordpress.com
No comments:
Post a Comment