PERBINCANGAN kali ini ialah mengenai
sebab-sebab kenapa pasangan bercerai. Sebenarnya, ada banyak sebab berlaku
perceraian. Ada pasangan memberi alasan mudah bahawa mereka sudah tiada
persefahaman, namun ramai juga yang tercari-cari alasan.
Antara alasan atau
sebab-sebab perceraian adalah:
(1) Tiada persefahaman
(2) Ada orang
ketiga/curang
(3) Campur tangan keluarga
(4) Kewangan
(5) hilang kasih sayang.
Alasan di atas bukan mengikut keutamaan. Di sini disentuh alasan
pertama dan kedua.
Pasangan yang ingin bercerai sering memberi
alasan tiada persefahaman dalam borang permohonan cerai mereka.
Persoalannya
apakah yang menyebabkan dua insan yang saling menyintai ini tiba-tiba menjadi
sebegini?
Adakah mereka bergaduh sejak berkahwin hingga menyebabkan mereka
yakin bahawa perkahwinan mereka tidak boleh diselamatkan lagi.
Sebenarnya apabila diselidiki, alasan ini
adalah alasan paling remeh boleh difikirkan namun jika perkara remeh dikumpul
bertahun lamanya, ia akan menjadi gunung dan meletup.
Ketidaksefahaman ini
mudah disebutkan tetapi apabila diteliti ia bukan alasan yang kukuh. Antara
contoh ketidaksefahaman ialah soal di mana pasangan perlu berhari raya,
pembelian barang rumah atau kereta hingga kepada soal makanan dan hiasan. Ada juga
pasangan bercerai kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan baik mengenai
hal kekeluargaan. Banyak isu tiada kesefahaman ini bermula sebelum pasangan
berkahwin.
Sebenarnya semasa bercinta,
ketidaksefahaman tersebut telah ada, namun pasangan cuba untuk tidak menanganinya
atau berharap ia akan hilang apabila berkahwin.
Misalnya A semasa berkenalan dengan B tahu,
B sangat rapat dengan ibunya dan berharap hubungan ibu anak itu akan
berkurangan apabila mereka berkahwin dan mempunya anak. A sentiasa mendahului keluarganya
dalam semua hal, malah semasa bercinta lagi ia sudah berlaku.
Semakin hari hubungan A dengan keluarganya
semakin rapat, sehinggakan A akan balik kampung segera kerana hal keluarga. B
mulai bosan dengan perangai A dan akhirnya B memohon cerai kerana merasakan dia
tidak dihargai.
A tidak pernah merasakan dia mengabaikan B
namun tiada siapa dapat menyedarkan dia bahawa dia juga perlu memberi keutamaan
kepada isterinya dalam keadaan tertentu dan tidak mendahulukan keluarganya
sepanjang masa.
Dalam kes A dan B ini, pasangan sentiasa
berhari raya pertama di rumah A kerana A anak lelaki sulung. B bersabar selama
lima tahun namun kesabarannya juga mulai luntur.
Ada pasangan yang tidak dapat mencapai
kesefahaman dalam hal-hal seperti makanan dan pakaian. Dalam perkahwinan mesti
ada yang mengalah dan berkorban. Pada kebiasaannya isteri sentiasa mengalah
atau memberi lalui kepada kehendak suami. Setahun dua isteri bersedia mengalah
atau berkorban tetapi lama-kelamaan dia menjadi korban. Dia mengorbankan
perasaannya sehingga dia hilang identiti dirinya kerana semua perkara mengikut
kehendak suami.
Tentunya hasrat isteri mahu menjadi isteri
solehah namun ia tidak datang daripada hatinya tetapi kerana keterpaksaan atas
asas cinta. Apabila cinta tidak dipupuk dengan kuat dalam perkahwinan, isteri
merasa dirinya terpedaya dan terkorban. Dia akhirnya hilang kesabaran dan
menuntut haknya.
Sementara itu, alasan wujud orang ketiga
atau pasangan curang adalah alasan paling banyak diberikan oleh pasangan yang
bercerai. Pada kebiasaannya suamilah yang sering menjalin hubungan dengan
wanita lain yang menyebabkan isteri merasa amat kecewa kerana suami curang.
Dalam kebanyakan kes, isteri yang datang mengadu untuk memohon cerai, ada yang
percaya suami telah berkahwin baru atau menyimpan perempuan.
Poligami adalah isu sensitif bagi seorang
isteri maka tidak hairanlah ramai isteri yang memohon cerai sebaik sahaja
mengetahui suaminya berkahwin baru. Bagi seorang wanita, ia isu kesetiaan dan
kasih sayang. Maka jika suami yang berani menduakan isterinya dia akan terpaksa
menghadapi masalah isterinya memohon cerai.
Namun pada abad ke-21 ini, tidak kurang
juga isteri yang curang kerana telah bosan dengan suami.
Memang dunia dah
berubah. Jika dahulu pelanggan saya semuanya wanita, hari ini sudah ada kaum
lelaki. Ini bermakna masih ada lelaki yang setia di dunia yang moden ini!
Berbalik kepada isu orang ketiga ini, kes
yang stereotaip ialah suami selepas beberapa tahun berkahwin (dalam rekod saya
suami mula mencari lain selepas 5 tahun kahwin). Ada disebabkan kelahiran anak,
di mana isteri memberi terlalu banyak tumpuan kepada anak sehingga suami terasa
terabai. Keadaan bertambah buruk apabila ada insan lain yang memberi perhatian
kepada suami, terutama di pejabat.
Di sini akan bermula episod baru buat suami
dan kadang-kadang isteri sangat tidak menyangka suami sanggup meninggalkannya
atau menceraikannya untuk berkahwin baru.
Ramai suami yang mempunyai tabiat buruk di
mana setiap kali isteri mengandung, dia menjalin hubungan dengan wanita lain.
Ini berlaku kerana dia terasa tidak dilayan atau isteri terlalu uzur, kerana
mengandung yang menyebabkan dia tidak dapat melayan suami, zahir dan batin.
Dalam kes seperti ini, suami akan
menceraikan isterinya untuk berkahwin dengan yang baru.
Tidak kurang juga isteri memohon untuk
diceraikan kerana tidak mahu dimadukan atau rasa ditipu.
Kategori kedua, suami pada usia lewat 40-an
mahu merasa sesuatu yang baru (excitement). Ia dimulakan dengan aktiviti
bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi atau main boling atau golf atau apa
saja di luar rumah. Secara suka-suka suami mula melayan wanita muda untuk
memastikan dia masih relevan atau 'laku' setanding lelaki muda. Wanita muda
pula suka pada lelaki berumur yang stabil dari segi ekonomi.
Ini boleh dikategorikan dalam kumpulan
sindrom 40-an yang mana suami mula merasa ingin menjadi orang bujang dan
melalui zaman remajanya semula.
Bagi kes isteri yang curang pula, pada
kebiasaannya isteri menjalin hubungan dengan lelaki lain ditempat kerja. Ia
sering berlaku di kalangan wanita muda yang sentiasa mahu dilayan dan dibelai
kekasih atau suami.
Ia juga berlaku apabila isteri merasa
'kecewa' dengan alam rumah tangga kerana suaminya tidak seperti yang
diharapkannya atau suami terlalu sibuk dengan kerja. Akhirnya isteri melayan
lelaki lain kerana dahagakan kasih sayang dan belaian.
Hari ini, isteri tidak hanya mencari
pasangan untuk berlaku curang di tempat kerja tetapi melalui laman sosial
seperti facebook dan twitter. Semusim dahulu, isteri-isteri seperti ini mencari
pasangan di laman sembang atas talian. Mulanya hanya suka-suka, kemudian mereka
berani berjumpa, sekadar menonton wayang dan akhirnya mengadakan hubungan seks.
Isteri curang lebih sukar diperangkap
kerana mereka pandai main kayu tiga dan kebanyakan suami yang terlalu sibuk sehinggakan
tidak dapat menghidu perangai isteri kecuali diberitahu oleh orang lain.
No comments:
Post a Comment