بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, June 26, 2012

Khutbah Jumaat: Perbanyak puasa sunat, eratkan silaturahim pada Syaaban




2012/06/22 

KINI kita berada pada hari kedua Syaaban, bulan mulia lagi berkat ini mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaannya. Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan menghadapi bulan Ramadan, medan ibadah umat Islam. 


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua nabi dan keutamaan bulan Ramadan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya.”


Syaaban adalah bulan Rasulullah SAW dan bagi kita sebagai umatnya pelbagai ganjaran disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadapi Ramadan.

As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi dalam kitab Duratun Nasihin menceritakan amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik: “Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua-dua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan daripada tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.” 


Antara amalan digalakkan dalam bulan ini ialah ibadah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. 

Sabda Rasulullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang afdal berpuasa, Nabi SAW menjawab yang bermaksud: “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan. Nabi SAW ditanya lagi: Sedekah apakah yang lebih afdal? Nabi SAW menjawab: Sedekah di bulan Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi) 

Pada bulan Syaaban juga ada satu malam yang sangat dinanti-nantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban kerana pada malam itu Allah SWT memberikan kelebihan kepada hamba-Nya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya. 

Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis diriwayatkan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu mengampuni makhluk-Nya kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Hadis riwayat Ibn Majah) 

Untuk mencapai kelebihan bulan ini, umat Islam di anjurkan melakukan puasa sunat dan qiamullail. Inilah ibadah diutamakan Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan puasa sunat pada 15 terakhir Syaaban. 

Memperkukuhkan tali silaturahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia penting kerana ia bersangkutan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia selagi mereka bermaafan. 

Sucikan diri daripada perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadan supaya amal ibadah pada bulan berkat ini dapat dirasai kemanisannya. 

Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan untuk menjadikan jiwa sentiasa tetap dengan pendirian. 

Memperbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa dilakukannya saban waktu. Dosa semakin hari semakin bertambah terutama dosa kecil daripada percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. 

Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titik hitam dalam hati yang menyebabkan hati semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh daripada petunjuk Allah SWT. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun selagi pintu keampunan itu terbuka. 

Sumber: Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...