بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Ustaz Zainudin Hashim. Show all posts
Showing posts with label Ustaz Zainudin Hashim. Show all posts

Tuesday, November 1, 2011

Mengapa Solat Tak Mampu Cegah Melakukan Perkara Keji


Oleh Ustaz Zainudin Hashim

Adakah kerana pelaksanaannya tidak menepati peraturan beramal seperti yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ataupun melakukan solat tetapi pada masa yang sama jahil tentang hukum-hakam agama.

Sepatutnya perkara maksiat, jenayah dan sebagainya tidak banyak berlaku dalam negara ini disebabkan bercambahnya bangunan-bangunan masjid yang tersergam indah di mana-mana.

Di mana silapnya? Mungkin juga pengisian kelas-kelas fardu ain, tazkirah, ceramah, forum agama terlalu sedikit penganjurannya, atau penganjuran program-program hiburan terdapat di sana sini termasuklah pada sambutan malam hari raya, atau kerana faktor kewangan untuk membayar upah penceramah atau mungkin sebab-sebab lain?

Kalau di Terengganu sebagai contoh begitu berbangga dengan gah di papan-papan iklan besar yang menyebut bahawa dalam tempoh dua tahun memerintah sejak 2004, kerajaan Barisan Nasional berjaya membina 62 buah masjid, tetapi mengapa gejala sosial, kumpulan remaja yang buruk akhlak semakin menjadi-jadi.

Sesungguhnya masjid-masjid yang dibina itu hanya dibanggakan dengan bangunannya sahaja tidak dengan pengisiannya, majlis ilmu jauh sekali, yang banyak diisi ialah majlis baca Yasin pada malam Jumaat, itupun satu tradisi yang telah diwarisi sejak berpuluh-puluh tahun.

Surah Yasin dibaca, tetapi isinya tidak dihayati, sedangkan dalam surah tersebut terdapat ayat yang menceritakan tentang pendekatan sains, asal-usul kejadian manusia dan banyak, namun ia tidak dianggap penting, yang lebih penting ia tetap dapat dianjurkan.

Justeru, sepatutnya bulan Ramadan yang telah kita tinggalkan hampir tiga minggu lalu telah banyak memberi pengajaran menerusi tazkirah dan tadarus al-Quran, ia bertujuan supaya kita dapat lakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain atas dasar kefahaman dan ilmu pengetahuan yang jitu, barulah penghayatan solat dalam diri seorang muslim itu mantap dan berkesan serta benar-benar mampu menangkis sebarang perbuatan keji dan mungkar.

Bukan sahaja diri kita sendiri, malah yang penting anak keturunan kita juga adalah jenis insan yang mampu membina jati diri dengan solat sekali gus menangkis serangan syaitan yang sentiasa mengintai peluang bagi merosakkan bangsa manusia supaya menjadi teman rapat mereka untuk masuk neraka Allah SWT.

Sehubungan itu, Allah menjelaskan dalam al-Quran menerusi ayat 58-59 surah Maryam yang bermaksud: Mereka itu adalah orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi dari keturunan Adam dan dari orang-orang yang Kami angkat bersama Nuh, serta dari keturunan Nabi Ibrahim dan Israil dan orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih. Mereka itu apabila dibaca ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis. Maka datanglah sesudah mereka (generasi berikut), pengganti yang tidak baik yang mensia-siakan pelaksanaan ibadat solat dan menuruti hawa nafsu, maka mereka kelak akan menmui kesesatan.

Sesungguhnya matlamat utama daripada pelasanaan ibadat solat ialah untuk mencapai tingkatan takwa kepada Allah sama seperti yang disebut oleh Allah dalam pelaksanaan ibadat puasa dalam bulan Ramadan lalu, caranya ialah dengan merasa takut hanya kepada-Nya, melakukan segala hukum-hakam-Nya yang termaktub di dalam al-Quran, bersiap untuk menghadapi hari kematian dan untuk bertemu dengan-Nya.

Kalau dengan cara ini dapat dilakukan, Insya Allah perkara mungkar dan keji dapat diatasi, jiwa orang yang bersolat sentiasa rindu kepada Pencipta, sekali gus benci kepada perkara-perkara yang menjurus kepada penentangan terhadap hukum-hakam Allah.

Terdapat orang yang melakukan solat, tetapi sukar untuk berpisah dengan maksiat, ini kerana solat yang dilakukannya bukan atas dasar ilmu yang dipelajari, ia tidak lebih daripada pelaksanaan secara tradisi biasa atau budaya kerana melihat orang ramai bersolat, maka syaitan mencari ruang dan kesempatan untuk membisik serta mengilhamkan kepada pelakunya perkara-perkara negatif termasuklah yang boleh menggugat iman kepada Allah.

Hingga akhirnya hilang rasa khusyuk ketika melakukan solat dan tidak memahami setiap bacaan yang dibacanya ketika bersolat, sebagai contoh, berapa ramai orang Islam dalam negara ini yang membaca doa qunut pada solat subuh dengan memohon kepada Allah, Ya Allah berikanlah kepada kami hidayat, sepertimana Engkau beri hidayat kepada orang yang Engkau diberi hidayat, palingkanlah kami dari golongan orang-orang yang Engkau palingkan dari rahmat-Mu.

Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat umat Islam dalam negara kita ini, golongan yang diberi hidayat oleh Allah tidak menjadi role model kepada mereka, malah golongan yang dipalingkan oleh Allah dari sisi-Nya itulah menjadi ikutan pada gaya hidup mereka, cara berpakaian, penampilan yang songsang, cara hidup, berkeluarga, berpendidikan, berpolitik dan sebagainya, akhirnya kita jadi umat yang tidak mampu untuk menepis atau menangkis bisikan dan pujuk rayu syaitan yang direjam.

Sedarlah wahai umat Muhammad sekalian! Beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad jika dibandingkan dengan generasi terawal di kalangan pengikut dan umat Nabi-nabi sebelum Nabi kita Muhammad s.a.w., ini kerana kita beramal sedikit,. Tetapi diberi ganjaran sepuluh pahala berbanding dengan umat terdahulu, di mana hanya mendapat satu sahaja pahala dari setiap amalan yang dilakukannya.


Thursday, July 14, 2011

Bala Allah - Antara persoalan dan punca berlaku

Oleh Ustaz Zainudin Hashim


Kenapa Allah SWT menurunkan bala ke atas hamba-Nya? 

Mengapa ia tidak ditimpakan ke atas generasi akan datang? 
Adakah bala yang ditimpakan itu membuktikan kemarahan Allah ke atas diri kita yang terpaksa menanggung risiko akibat perbuatan orang lain?

Apabila dilihat telatah, gelagat dan perwatakan umat Islam hari ini memperlihatkan benar-benar mereka mengundang bala daripada Allah SWT.


Kita amat berharap agar cukuplah bala yang ditimpakan sejak peristiwa tsunami agar ia tidak berulang dengan yang lebih besar daripada itu.

Bermacam-macam persoalan timbul mengenai bala yang merisaukan banyak pihak.

Tapi apakah sebenarnya bala itu? 


Bala yang diambil daripada perkataan Arab iaitu 'bala' bermakna hukuman daripada Allah akibat salah laku manusia kerana mengingkari sepenuhnya atau sebahagian daripada perintah Allah SWT.


Bala ini pernah terjadi di zaman para Anbiya' sebelum Nabi Muhammad s.a.w., seperti yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran menerusi ayat 133 surah al-'Araf~ yang bermaksud: 


Telah Kami kirimkan ke atas mereka (umat Nabi Musa) ribut taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda yang cukup jelas keingkaran mereka terhadap ajaran Nabi Ibrahim, mereka menyombong diri dan sesungguhnya mereka adalah golongan penjenayah (yang melakukan kerosakan di muka bumi).


Begitu juga Allah menceritakan mengenai kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan terkutuk yang disifatkan oleh Nabi Lut sendiri sebagai perbuatan yang tidak pernah berlaku di dunia sebelum itu, maka Allah musnahkan mereka tanpa memberi peluang untuk mereka bertaubat ke jalan kebenaran, sila rujuk ayat 81 surah al-'Araf.

Kesalahan yang patut terima hukuman

Sesungguhnya bala tidak akan diturunkan oleh Allah ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Bezanya umat nabi-nabi terdahulu dikirimkan bala tanpa memberitahu isyarat kehadirannya, namun bagi umat Nabi Muhammad s.a.w., isyarat atau tanda-tanda kehadiran bala itu dapat dikesan oleh mereka yang kuat berpegang kepada agama dengan pelbagai kaedah, pendekatan dan bentuk tertentu.

Ini menandakan bahawa Allah SWT amat sayang kepada kita hingga menzahirkan isyarat atau tanda agar kita segera mengingati-Nya, boleh juga disifatkan diri kita sebagai hamba emas yang amat disayangi di sisi Allah, cuma umat ini sahaja yang tidak mengenal erti kasih sayang Allah.

Jelas di sini bahawa kesalahan umat terdahulu hingga ditimpakan pelbagai bentuk bala daripada Allah, kerana melakukan perkara-perkara yang becanggah dengan ajaran nabi-nabi mereka, tetapi kita perlu ingat, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh mengirim bala kepada kita serupa dengan apa yang pernah berlaku pada zaman lampau dan juga mampu mengirim bala yang tidak pernah ketika itu.

Ini dapat kita lihat pada hari ini seperti penyakit HIV, selesema burung yang menggerunkan banyak pihak, penyakit kaki, tangan dan mulut dan macam-macam lagi, ia dikirimkan agar manusia kembali ke pangkal jalan.

Sepatutnya sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. kita berjaya meloloskan diri daripada bala-bala yang disebutkan di atas, tetapi kenapa berlaku juga? Ia merupakan satu persoalan yang patut segera mencari jawapannya.

Ini tidak lain kalau tidak kita melakukan perkara yang menyanggah tuntutan agama, terdapat selain kita yang sanggup menggadai maruah agama.

Mari kita selidik secara halus tindakan manusia hari ini yang mengundang bala daripada Allah, program hiburan keterlaluan walaupun telah disanggah dan diingatkan oleh golongan ulama khususnya para mufti seperti JomHeboh, Mentor musim kedua, Akademi Fantasia musim keempat, kelima dan banyak lagi.

Cuba kita perhatikan reaksi manusia selepas tamat program-program seumpama itu, laporan akhbar arus perdana menyebut, 70 pasangan Melayu daripada peringkat usia 15-40 tahun disaman atas pelbagai kesalahan hingga ibu bapa mereka turut dipanggil ke pejabat agama.

Kesalahan mereka yang dikenal pasti kerana meminum arak, berkhalwat dan bermacam-macam jenis maksiat yang canggih-canggih, ini tidak termasuk laporan yang menyebut 21 kes anak luar nikah berlaku dalam tempoh sebulan baru-baru ini.

Kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda yang sanggup menjerut leher kedua anak lelakinya dengan wayar seterika hingga membawa kepada kematian.

Laporan akhbar arus perdana juga ada menyebut menyebut mengenai gejala samseng pelajar-pelajar perempuan yang memukul, menerajang rakan mereka di alat sulitnya hingga menyukarkannya untuk menduduki peperiksaan SPM, terdapat juga gejala samseng ini menular di sekolah-sekolah menengah hingga ada pelajar perempuan yang mengugut rakan mereka untuk menyebarkan gambar bogelnya setelah dia dipaksa berbuat demikian atas kesalahan yang kecil dan bermacam-macam lagi.

Terbaru seperti yang dilaporkan muka surat depan akhbar Berita Harian bertarikh 21 November 2007 (Rabu) yang memaparkan gambar-gambar model yang kononnya mempamerkan aksesori barangan kemas pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007. Persoalannya adakah pihak editorial BH tidak ada sensitiviti mengenai penampilan para gadis yang mendedahkan aurat apatah lagi pada majlis hiburan yang mengundang bala daripada Allah SWT.

Begitu juga dengan kerajaan Malaysia yang mengundang pemain tenis nombor dua dan lapan dunia, Rafeal Nadal dari Sepanyol dan Richard Gasquet dari Perancis, masalahnya dari paparan iklan terdapat penaja arak Heineken di gelanggang permainan tersebut, apatah lagi perlawanan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan isteri, Menteri Belia dan Sukan serta orang-orang kenamaan.

Apa untungnya perlawanan itu diadakan di Malaysia, arak menjadi antara penaja, isteri TPM juga sibuk hendak bersalam dengan pemain-pemain tersebut dengan penampilan yang tidak selari dengan ajaran Islam Hadhari, para penonton juga tidak kurang yang berpakaian tidak senonoh dengan memakai pengikat kepala tertulis Nadal.

Tidakkah orang-orang besar negara seperti TPM rasa bahawa dia akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat dengan membiarkan banyak perkara yang menyinggung kesucian islan berlaku di hadapan mata?

Sama-samalah kita fikirkan sebelum terlambat, tidakkah kita perasan mengapa Allah sudah mula menurunkan banjir kilat dan hujan lebat di negeri Johor, sama-samlah kita renung dan muhasabah diri akan kesalahan yang telah kita buat.

Faktor atau punca berlaku bala

Dalam kesempatan ini, forum agama cuba menyelongkar pendekatan daripada hadis-hadis sohih Nabi Muhammad s.a.w. sejak 14 abad yang lalu yang menyebut secara jelas faktor, sebab atau punca berlaku bala yang dikirim oleh Allah SWT ke atas umat baginda:

1- Ilmu Islam akan beransur hilang sedikit demi sedikit.

2- Umat Islam sanggup mengikuti jejak langkah Yahudi dan Nasrani dalam tindakan, teladan, pertuturan dan cara hidup mereka.

3- Muncul golong anti hadis (yang tidak dibendung).

4- Umat Islam yang terlalu banyak bergelumang dalam keseronokan.

5- Terlampau mewah.

6- Menghimpun harta sebanyak mungkin (hingga lupa untuk menggarap ilmu agama).

7- Tipu menipu dalam perkara dunia.

8- Saling bertengkar dalam urusan remeh-temeh (yang sepatutnya boleh dimaafkan).

9- Tersebar luas hasad dengki serta hasut menghasut di kalangan mereka.

10- Islam dianggap sebagai agama asing atau berdagang di negara umat Islam sendiri.

11- Berleluasa amalan rasuah dengan pelbagai bentuk dan helah.


12- Orang yang baik terlalu sedikit, malah orang yang jahat semakin ramai.


13- Muncul orang yang tidak peduli sumber harta yang diperolehinya.

14- Riba wujud di mana-mana.

15- Ramai yang minum arak dan menamakannya sebagai bukan arak.

16- Golongan lelaki semakin sedikit dan golongan wanita semakin ramai.

17- Golongan lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya.

18- Ibu melahirkan tuannya.

19- Bangunan pencakar langit.

20- Muncul ramai ahli ibadat tapi jahil dan ramai golongan ulama tapi fasiq.

21- Orang yang berpegang dengan Islam bagai menggenggam bara api.

22- Berlaku peperangan demi peperangan.

23- Masa akan menjadi singkat.

24- Muncul galian-galian bumi.

25- Ujian yang dahsyat terhadap iman.

26- Peperangan di kawasan sungai Furat kerana menyebut kekayaan.

27- Ketiadaan iman untuk bersolat jamaah.

28- Al-Quran akan hilang dan ilmu akan diangkat menghadap Allah.

29- Bermegah-megah dengah keindahan masjid dan kosong dengan pengisian agama.

30- Menggadai agama kerana dunia.

31- Pelaksanaan haji dan umrah bukan kerana Allah.

32- Harta negara bertukar tangan di kalangan pemimpin.

33- Sesuatu amanah dianggap sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan.

34- Bayaran zakat dianggap sebagai denda/saman.

35- Suami yang terlalu tunduk kepada isteri.

36- Anak-anak yang menderhaka terhadap ibu mereka.

37- Muncul ramai orang yang patuh dan setia yang tidak berbelah bagi kepada kawan dan rakan.

38- Golongan bapa yang hampa kerana disia-siakan oleh anak-anak mereka sendiri.

39- Berlaku pertengkaran dalam masjid.

40- Apabila orang yang rendah maruahnya dipilih menjadi ketua sesuatu kaum.

41- Apabila orang memuliakan orang lain kerana takutkan kejahatannya.

42- Apabila minuman keras tersebar luas.

43- Ramai golongan lelaki yang memakai sutera.

44-Artis-artis wanita diagung-agungkan.

45- Alat-alat muzik diguna-pakai (sebagai mata pencarian).

46- Kesilapan manusia hari ini mengutuk generasi terdahulu.

Apabila perkara yang disebutkan itu berlaku, maka kata Nabi, tunggulah ketika itu akan datang kepada manusia angin panas, ribut taufan, puting beliung dan bahaya-bahaya yang lain serta hingga berlaku penukaran corak dan rupa. - lanh

JAHILIYYAH MODEN KIAN MENJADI-JADI

Oleh Ustaz Zainudin Hashim 

Isu perlakuan tidak melambangkan tindakan umat bertamadun pada hari ini, boleh disifatkan sebagai tindakan primitif atau serupa pada zaman baginda Rasulullah s.a.w. di kalangan masyarakat ‘jahiliah’, malah terdapat daripada perbuatan itu sudah sampai peringkat yang mencemaskan banyak pihak.

Seorang motivator Islam, Syeikh Muhammad Qutb (adik Syahid Saiyid Qutb) dalam bukunya ‘Jahiliah kurun kedua puluh’, ada menegaskan, bahawa masyarakat jahiliah adalah mereka yang tidak memiliki akhlak mulia, budi bahasa, sopan santun atau sifat-sifat yang baik, yang menyembah dunia dan segala bentuk kebendaan, yang lebih tepat lagi tidak berkiblatkan akidah kepada Allah SWT

Benarlah kenyataan yang pernah disebut oleh Khalifah agung, Sayidina Umar bin al-Khattab: “Sesungguhnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan terhakis satu demi satu, jika masih terdapat di kalangan orang Islam yang tidak mengenal erti jahiliah.”

Maksudnya, apabila wujud di kalangan orang Islam masih terikat dengan amalan jahiliah, akhirnya kemuliaan, keagungan, kekuatan Islam akan keluar daripada dirinya sedikit demi sedikit, maka pada ketika itu dia tidak lagi menjadi manusia Muslim yang terikat dengan hukum-hukum Islam.

Sebagai contoh, penampilan seorang artis wanita di atas pentas dengan membuat persembahan di hadapan ribuan penonton lelaki, pada ketika dia menyampaikan persembahannya, dalam keadaan bersolek, berwangian, tidak menutup aurat serta tidak memakai tudung kepala, berpakaian ketat, mungkin juga nipis atau jarang, kesemua itu adalah sebahagian daripada amalan jahiliah moden.

Ia termasuk dalam urusan pentadbiran negara, apabila peraturan, undang-undang serta hukum-hukum Islam yang termaktub dalam al-Quran tidak menjadi sandaran dan rujukan untuk dilaksanakan, para pemimpin lebih rela mengutamakan undang-undang sivil, termasuk yang diceduk daripada fahaman Sekularisme, Kapitalisme dan Sosialisme.

Maka apabila undang-undang itu menjadi pegangan dalam kehidupan bernegara, maka berlakulah krisis keyakinan terhadap Islam dalam diri orang-orang Islam itu sendiri, sorotan laporan akhbar arus perdana serta siaran berita mengesahkan jahiliah moden itu.

Terdahulu kedengaran seorang ibu muda menjerut dua anak lelakinya dengan wayar sterika, seorang isteri menyimbah asid di muka suaminya akibat cemburu membabi buta hingga membawa kepada perceraian, pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga di sebuah sekolah di Damansara Damai menganggotai kumpulan ‘Geng labah-labah’ yang berorientasikan jenayah seperti perlakuan seks bebas, memeras ugut pelajar, ponteng sekolah, terlibat dalam minuman keras, isu mat serta minah rempit yang tidak berkesudahan, budaya lepak yang menggambarkan pelakunya seperti tidak memahami dan mengetahui hala tuju hidup sebagai orang-orang Islam.

Lebih parah lagi apabila terdapat individu-individu bernama Islam yang membunuh mangsa dan meletupkan batang tubuh mayat bertujuan untuk menghilangkan bahan bukti, tidak kurang juga mangsa yang dirogol, kemudian dibunuh dan seterusnya dibakar. 

Begitu juga terdapat seorang anak yang menetak kepala ibunya sampai mati, seorang ayah yang merogol anak gadisnya (sumbang mahram), perlakuan memberi dan menerima rasuah, terlibat dalam urusan perjudian dan arak secara terang dan jelas, anak-anak luar nikah dicampakkan dalam tong sampah, dibuang di masjid dan bermacam-macam kes lagi.

Tidakkah semua tindakan itu dianggap sebagai perlakuan amalan jahiliah moden yang lebih parah daripada jahiliah di zaman Rasulullah s.a.w.

Justeru, tidak mustahil mereka akan ditimpakan dengan pelbagai musibah seperti yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud: “Umatku ini adalah umat yang disayangi Allah, sepatutnya ia tidak ditimpa azab pada hari Kiamat, tetapi di dunia lagi mereka ditimpakan dengan emapat perkara : Berlaku fitnah-fitnah yang banyak, gempa-gempa bumi, kematian/pembunuhan berlaku di mana-mana dan bala-bala daripada Allah SWT.” (Hadis riwayat Sa’id al-Khudri)

Jelas daripada apa yang ditegaskan baginda Rasulullah s.a.w. itu, umat Nabi Muhammad ditimpakan azab, malapetaka, bencana semasa menjalani proses hidup di dunia lagi akibat tidak melakukan apa yang diperintahkan Allah ke atas mereka, kesimpulannya umat hari ini melakukan apa yang ditegah oleh Allah dan meninggalkan apa yang diarahkan oleh Allah ke atas mereka.

Pada waktu itu, maka layaklah mereka ditimpa dengan pelbagai fitnah seperti terdapat orang Islam yang tidak memunaikan solat, ditimpa bencana alam seperti ribut petir, putting beliung, gempa bumi, banjir kilat, kematian berlaku di mana-mana dengan begitu mudah dan terdedah kepada pelbagai bentuk bala Allah.

Tujuan semua itu ditimpakan ke atas mereka, agar manusia seluruhnya kembali kepada fitrah asal kejadian mereka yang dicipta daripada tanah, air mani yang busuk lagi hina, supaya meletakkan keyakinan tinggi untuk menjadi hamba Allah dan hanya beribadat kepada-Nya.

Jadilah Pembela Agama Allah

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 

UNTUK menjadi manusia yang layak mendapatan syafaat (recommendation) baginda Rasulullah s.a.w. pada hari kiamat, bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kepada sejauh mana kita telah memberikan sumbangan bakti kepada Islam dalam erti kata yang menyeluruh.

Sumbangan bakti yang pernah dilakukan oleh para sahabat baginda hingga dijanjikan dengan syurga Allah SWT, mereka telah menyumbang sama ada dari sudut tenaga, pemikiran idea, harta benda, masa dan sebagainya, semata-mata mahu melihat Islam terus berdaulat di muka bumi ini.

Ia bermula dengan kesungguhan kita untuk menggarap ilmu-ilmu agama yang pelbagai yang dijadikan sebagai alat untuk memperkasa diri, kemudian menyampai dan melaksanakan dalam kenyataan hidup sebagai Muslim yang sejati, serta memimpin manusia seluruhnya untuk bersama menghayati ilmu-ilmu berkenaan sebagai benteng terakhir untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tindakan itu juga dianggap sebagai usaha untuk membela agama Allah agar terus subur dan dapat diterima oleh generasi selepas ini. 

Ia mengingatkan kepada satu firman Allah menerusi ayat 14 surah as-Sof yang bermaksud: 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?" mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak daripada kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka jadilah mereka orang-orang yang menang."

Justeru, pembela agama Allah adalah mereka yang sanggup berkorban dengan sepenuh jiwa raga, harta, masa, kesungguhan mereka untuk memastikan agama Islam terlaksana sepenuhnya di muka bumi ini tanpa mengira penat lelah kerana Islam memerlukan individu-individu Muslim yang sanggup berkorban pada bila-bila masa yang diperlukan.

Elakkan diri daripada menjadi penyebab gagalnya hukum Islam untuk dilaksana di bumi yang ditadbir oleh orang yang bernama Islam. Kerana sesungguhnya manusia Islam itu ada yang hanya Islam pada nama tidak pada keyakinan mereka kepada keuniversalan Islam yang mampu mentadbir, pegangan terhadap Islam yang datang daripada Allah SWT juga masih kabur, malah wujud di kalangan umat Islam hari beberapa jenis kategori Muslim yang beza antara satu sama lain.

Golongan pembela agama Allah ini sentiasa wujud dan lahir pada bila-bila masa, merekalah golongan yang meletakkan agama Islam lebih tinggi dari segala-galanya, malah lebih tinggi dan mulia daripada diri mereka sendiri. Mereka adalah golongan yang tidak takut kepada celaan, pakatan jahat manusia dan makhluk-makhluk yang ada di muka bumi ini. Hati mereka sudah sebati dengan kebesaran Allah, malah Allah adalah segala-galanya dalam hidup mereka.

Ciri ‘pembela agama Allah’

Sesungguhnya al-Quran telah meberikan garis panduan kepada umat Islam tentang beberapa ciri yang perlu ada kepada golongan pembela agama Allah, antaranya:

1. Cara untuk mendapat keberuntungan, dunia dan akhirat seperti yang Allah firmankan menerusi surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: 

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."

2. Memiliki ciri umat manusia yang terbaik, seperti dalam ayat 110 surah Ali Imran :

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."

3. Memiliki dasar-dasar pembangunan akhlak salihah seperti dalam surah Ali Imran ayat 114 maksudnya: 

"Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan mereka menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang salih."

4. Memikul serta menjalankan tugas mulia para nabi sejak dulu, ia dijelaskan menerusi surah al-A’raf ayat 157 : 

"(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang umi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung."

5. Berusaha agar adanya sebab-sebab turunnya rahmat daripada Allah SWT, perkara ini dijelaskan Allah dalam surah at-Taubah ayat 71: 

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

6. Memiliki sifat seorang mukmin sejati, Allah menjelaskan dalam surah al-Hajj ayat 41: 

"(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan."

7. Melaksanakan kewajipan yang diperintahkan Allah SWT tanpa sebarang keraguan dalam hati, perkara ini dijelaskan dalam surah Luqman ayat 17: 

"Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Apakah wajib laku amar makruf nahi munkar?

Amar makruf nahi munkar hukumnya fardhu kifayah, ertinya apabila sebahagian umat sudah menegakkannya dengan jumlah dan kekuatan yang memadai untuk mengajak kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran maka gugurlah kewajipan sebagian umat lainnya.

Firman Allah Subhanahu Wa Taala: 

"Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." Ali Imran ayat 104
 "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." 

Tuesday, July 12, 2011

Muslim Perlu Tahu Hakikat Islam Sebenar

Oleh Ustaz Zainuddin Hashim
Perkataan Islam berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai.

Nama Islam itu sendiri adalah diberi oleh Allah, Tuhan sekalian alam. Agama Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan telah lama wujud bermula dengan Nabi Adam a.s. sehingga Nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w.

Cuma yang membezakan (antara nabi-nabi) adalah dari segi syariat. Islam dari segi istilah Islam adalah cara hidup. Cara bagaimana manusia perlu mengatur hidup mereka di atas dunia.

Ia adalah agama wahyu yang diperturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril a.s. Ia juga bermaksud apabila manusia di bumi ini menerima Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka, maka Allah SWT tidak rasa ragu-ragu untuk memberi keselamatan kepada mereka, kerana Dialah sahaja yang Maha memberi keselamatan dan boleh menarik semula keselamatan itu apabila manusia sudah semakin ingkar kepada arahan dan larangan-Nya.

Islam adalah cara hidup Islam yang sifatnya sempurna kerana ia adalah agama Allah Yang Maha Sempurna, adalah satu cara sistem hidup manusia yang berpaksikan kebenaran. Kesempurnaan sistem hidup ini merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

Sesungguhnya cara hidup yang dianjurkan oleh Islam adalah yang terbaik dan terindah yang tiada tolok bandingnya dengan ajaran-ajaran agama lain. Semasa zaman jahiliyah dahulu, kita dapati masyarakat hidup tanpa nilai-nilai murni, tiada kesejahteraan hidup, tiada jaminan untuk mengecap kebahagiaan, hidup dalam ketakutan, huru-hara, maksiat berleluasa dan sebagainya.

Kita dapati yang kaya berkuasa, yang miskin dijadikan hamba abdi, yang kuat menindas yang lemah, yang berkuasa membuat kejahatan dibiarkan tetapi yang miskin membuat kejahatan diseksa. Ini berlaku adalah kerana tidak ada panduan hidup yang hakiki dan setiap puak ada undang-undang tersendiri yang boleh dipinda-pinda mengikut hawa nafsu mereka.

Mana-mana budaya atau cara hidup yang tidak diakui oleh Islam maka cara hidup yang sedemikian adalah batil dan tidak boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.

Begitu juga dengan adat-adat yang diguna pakai oleh sebilangan masyarakat hari ini, jika adat-adat yang diamalkan sejak nenek moyang kita itu menyeleweng daripada landasan Islam maka adat-adat tersebut tidak boleh dipakai dan dilarang oleh Islam, malah ia bukan dari amalan dan pegangan para sahabat, tabi'iin dan ulama hingga sampai hari akhirat.

Tetapi apabila Islam itu dijadikan cara hidup, adakah kehidupan kita ini mengikut cara Islam yang sebenarnya? Cuba kita renung sejenak, adakah cara kita menguruskan diri, rumah tangga kita dan sebagainya mengikut Islam? Adakah hubungan kemasyarakatan kita hari ini berpaksikan Islam?

Ini semua perlu kita kaji balik untuk mendapat jawapan yang baik kerana jika berlaku kepincangan dalam pengurusan kita ini bermakna cara yang kita gunakan adalah salah dan lari daripada kehendak Islam.

Rukun-rukun Islam
Ia mengandungi lima rukun, ia tidak boleh ditinggalkan sama sekali, apabila seorang Muslim mengaku dirinya Islam, dia mesti melakukan kelima-lima rukun tersebut tanpa boleh meninggalkan salah satu daripadanya, kerana ia boleh dianggap terkeluar daripada Islam.

1. Mengucap dua kalimat syahadah.
2. Mendirikan solat (fardu lima waktu).
3. Berpuasa pada bulan Ramadan.
4. Mengeluarkan zakat.
5. Menunaikan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu melakukannya.


Prinsip dasar Islam yang kekal Islam tidak pernah membiarkan umatnya hidup meraba-raba tanpa hala tuju yang tidak jelas, justeru, Islam meletakkan beberapa dasar sebagai prinsip yang mesti dipegangi dan menjadi pra-syarat menjadi seorang Muslim yang benar-benar diterima di sisi Allah SWT.

1. Akidah: Ia menjadi pra syarat pertama apabila seorang itu mengaku sebagai seorang yang berpegang kepada agama Islam, ia menghubungkan antara seorang hamba dengan Maha Pencipta, tanpanya ia boleh mengakibatkan seseorang itu akan jadi murtad atau berlaku syirik kepada-Nya.

2. Syariat: Iaitu pelaksanaan hukum Islam sebagai bukti kekuatan akidah yang ada dalam diri Muslim, ia juga dijelmakan dalam bentuk ibadat khusus seperti solat dan sebagainya, juga termasuk ibadat umum.

3. Akhlak: Ia merupakan penjelmaan budi luhur, sopan santun yang positif yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

4. Aspek dorongan kekuatan seperti jihad, amar makruf dan nahi mungkar.

Ciri-ciri keistimewaan Islam Islam merupakan agama paling istimewa dan praktikal dengan kehidupan manusia dan menepati kehendak naluri sifat semula jadi manusia. Keindahan dan keistimewaan Islam dapat dilihat pada beberapa aspek yang menjadikan Islam itu sebagai sebuah agama yang menjadi dasar kehidupan umat manusia.

1. Rabbaniyah (Ketuhanan). Rabbaniyah bermakna Islam yang merangkumi hukum hakam, konsep, prinsip dan nilai-nilai peraturan hidup manusia adalah mutlak milik Allah SWT.

Islam agama Allah SWT dan agama-agama yang lain tidak diterima oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: 

Sesungguhnya agama yang diredai Allah SWT adalah agama Islam. (Surah Ali-Imran ayat 19).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: 

Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti. (Surah ali-Imran ayat 85 ).

Islam dicipta oleh Allah SWT manakala agama-agama lain adalah hasil ciptaan idea dan falsafah serta pandangan manusia. Sesiapa yang menganut agama lain adalah sesat.

2. Syumuliyah (Lengkap). Syumuliyah bermakna bahawa Islam itu lengkap dan sempurna malah tiada cacat celanya yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Segala apa yang diterangkan oleh Islam adalah benar dan nyata belaka.

Segala apa yang dihadapi oleh manusia semuanya terdapat penyelesaian dalam al-Quran sedikit pun tidak ditinggalkan. Allah SWT mengetahui kehendak dan kekurangan manusia maka dengan sebab itulah manusia diberi peraturan hidup yang mampu memenuhi keperluan manusia.

3. Waqi’iyah (Berada dalam kenyataan). Al-Waqi’iyah bermaksud ajaran Islam adalah bersifat praktikal dan sesuai diamalkan dalam kehidupan manusia. Apa-apa persoalan yang ditimbulkan oleh manusia yang bersangkut paut dengan kehidupan mereka dapat diselesaikan oleh Islam melalui ajaran-ajarannya yang benar lagi tepat sekali.

Misalnya bagi menyelamatkan nasab dan keturunan manusia Islam menyarankan berumah tangga dan mengharamkan zina serta meletakkan hukum rejam atau sebat bagi penzina dengan tujuan menjaga kehormatan manusia.

Ajaran Islam tidak ada kesangsian dan syak wasangka pada kebenaran dan pelaksanaanya. Segala peraturan yang di buat oleh Islam sama ada ibadat, sosial, pentadbiran dan seumpamaya adalah begitu indah dan menepati kehendak manusia.

4. Alamiyyah (Kesejagatan) . Alamiyyah bermaksud ajaran Islam adalah sesuai untuk semua manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit, tempat dan zaman. Alamiyyah Islam membawa keadilan sejagat kepada seluruh alam terutamanya manusia.

Keadilan Islam bukan hanya terbatas kepada individu, puak, keturunan, warna kulit dan sempadan malah keadilan Islam adalah alamiyyah iaitu menyeluruh. Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. telah menolak diringankan hukuman potong tangan ke atas Fatimah binti al-Aswah seorang wanita golongan bangsawan Bani Makhzum yang telah mencuri.

Demikian juga diriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. sendiri akan memotong tangan anaknya Fatimah sekiranya dia mencuri. Sudah jelas dan amat nyata sekali kepada kita bahawa Islam itu adalah agama yang indah dan memenuhi kehendak manusia.

Islam menjamin kehidupan yang hakiki dan memberi kesejahteraan abadi kepada manusia di akhirat.

Ciri-ciri keunggulan Islam

1. Persamaan (kesamarataan) : Sesungguhnya Allah SWT akan memberi pahala yang sama kepada kaum lelaki dan wanita apabila melakukan amal ibadat tanpa dibezakan mengikut gender (jantina), begitu juga saf hadapan di masjid bukan dikhususkan kepada golongan hartawan atau pemimpin tertentu, malah disediakan kepada siapa yang datang lebih awal di kalangan orang Islam dan sebagainya.

2. Keadilan: Islam berlaku adil kepada sesiapa di kalangan manusia walaupun seorang itu tidak Islam, jika dia diperlakukan tanpa alasan yang munasabah, dia perlu dibela sama seperti orang Islam dalam erti kata lain bahawa Islam melindungi hak-hak manusia.

3. Kebebasan: Islam memberikan kebebasan untuk bersuara atau memberi pendapat, kebebasan berfikir, berpolitik, beragama, berusaha dan lain-lain, tetapi bagi orang Islam tidak bermakna mereka bebas memilih cara hidup atau fahaman lain yang tidak selari dengan Islam ataupun mereka tidak boleh diberi peringatan untuk mendirikan solat atas alasan mereka bebas untuk tidak bersolat.

4. Tidak boleh membahayakan diri dan orang lain: Ia merupakan ciri utama yang pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w., dalam erti kata bahawa seorang Muslim itu tidak boleh melakukan tindakan yang boleh membahayakan dirinya sendiri atau boleh membahayakan orang lain seperti terlibat dalam aksi bahaya mat rempit atau lumba haram.

5. Islam menjamin hak asasi manusia: Ia merupakan satu jaminan yang diabaikan oleh isme falsafah ciptaan manusia.

6. Menjaga enam perkara iaitu agama, harta, akal, jiwa, kehormatan dan keturunan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...