2011/08/02
ALLAH Taala berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu semoga kamu bertakwa” – surah al-Baqarah. Rentetan daripada firman Allah SWT itu, maka diwajibkan kepada kita untuk menunaikan kewajipan puasa yang bermula pada 1 Ramadan. Puasa juga perkara ketiga yang ditetapkan ke atas umat Islam dalam Rukun Islam.
Setiap tahun umat Islam menyambut Ramadan yang juga bulan untuk kita menguji ketahanan mental dan fizikal. Dari segi sambutan, mungkin di tempat lain, lain caranya. Di Makkah Al-Mukarramah, sambutan Ramadan sudah pun bermula seawal bulan Syaaban.
Pada akhir Syaaban, penduduk Makkah secara amnya akan berpusu-pusu ke pasar raya dan gedung jualan untuk membeli-belah dan membuat simpanan stok sepanjang Ramadan. Pada bulan puasa, kota Makkah akan menjadi kota yang paling sibuk berbanding bulan lain kecuali bulan haji.
Oleh itu, ada penduduk mengambil inisiatif untuk mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan makanan dengan merancang lebih awal perbelanjaan mereka. Ia termasuk juga pembekalan air zam-zam yang boleh didapati di tempat pengagihan air sama ada di Qudai atau di Maulud Nabi berdekatan Masjidil Haram. Harga air zam-zam sudah diketahui umum akan melambung tinggi kerana permintaan melebihi pasaran. Perancangan awal amat diperlukan untuk menjimatkan kos perbelanjaan sempena Ramadan.
Dalam bulan puasa, pelbagai syarikat swasta akan menawarkan khidmat penyediaan makanan berbuka. Bagi golongan yang tidak berkemampuan dan jemaah umrah, mereka biasanya akan menyediakan pakej bermula dari harga SR10, SR20 dan SR30. Sebagai bayaran untuk pengagihan makanan kepada jemaah dan penduduk kota Makkah, golongan Arab yang kaya akan menghulurkan sebanyak-banyaknya sedekah di dalam bentuk ini kerana ia adalah satu sifat tradisi penduduk Makkah dalam memberi layanan kepada jemaah.
Pada waktu petang selepas selesai solat Asar, akan ada beberapa kenderaan yang berhenti dan membahagi-bahagikan makanan secara percuma kepada pejalan kaki. Biasanya mereka akan bertumpu di sekitar Masjidil Haram untuk tujuan itu. Kita akan dapat melihat jemaah berebut-rebut untuk mendapatkan makanan secara percuma yang diagihkan secara rawak kepada mereka.
Jika di Mesir, ada pemandu teksi yang memberikan khidmat secara percuma demi untuk meraih ganjaran dari Allah SWT atas usaha itu. Namun, di Makkah amat berbeza. Ada peniaga menaikkan harga sehingga berkali ganda kerana pengangkutan utama di sini ialah teksi. Harga akan melambung naik apabila tiba 10 malam terakhir Ramadan.
Pengangkutan lain seperti bas juga ada disediakan dengan harga tiket sebanyak SR2 yang menghubungkan Mina dan terminal bas di Maulud Nabi.
Lokasi majlis berbuka puasa yang paling meriah sudah tentulah di dalam Masjidil Haram. Berlatar belakangkan Kaabah, anda dapat menikmati kurma pilihan seperti sukkari, ajwa, routab, anbar dan lain-lain lagi yang disesuaikan dengan minuman arab iaitu Qahwah (kopi pahit) dan teh bersama daun pudina.
Selesai solat Maghrib, kebanyakan jemaah akan keluar untuk mendapatkan pelbagai makanan di kedai berdekatan dan pilihan utama kami sudah tentulah di restoran FELDA D'saji yang menyediakan teh tarik paling sedap di Arab Saudi.
Ramadan membuatkan kota Makkah menjadi antara bandar raya paling sibuk dunia. Manusia datang bertumpu dari serata pelusuk dunia. Ramadan kali ini juga menjadi tempat tumpuan bagi negara teluk yang berdekatan seperti Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk datang berkunjung bagi menghabiskan cuti sekolah yang berlanjutan selama tiga bulan.
Faktor lain yang turut menjadi penyumbang bagi kesesakan adalah kerana berlakunya kerja pengubahsuaian secara besar-besaran di sekitar Masjidil Haram. Hotel lama seperti Aziz Khooger, Asia Palace, Sofitel, Grand Makkah dan sebagainya diruntuhkan untuk tujuan pembesaran kawasan Masjidil Haram.
Malam Ramadan akan terus hidup sehingga tiba waktu fajar. Kebanyakan daripada umat Islam menggunakan kesempatan selesai solat tarawih untuk melipat-gandakan lagi amalan dengan terus berada di dalam masjid sehingga waktu Subuh kerana jarak antara tarawih dan waktu subuh hanyalah lima jam.
Ada juga penduduk Makkah menggunakan kesempatan pada waktu malam untuk bertandang ke rumah rakan dan sanak saudara, bermain bola, berkelah bersama keluarga dan sebagainya sehingga waktu bersahur dan selesai solat Subuh. Sejurus saja solat Subuh, kedai yang berada agak jauh dari Masjidil Haram akan menutup kaunter dan akan membukanya kembali selepas Asar.
Penulis ialah graduan Kulliyah Syariah Jurusan Dirasah Islamiyyah Universiti
Umm al-Quran, Makkah