Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul
SAYID Qutub berkata: "Jika kekuatan
pemandangan kiamat dan kesannya di dalam hati di ambil daripada kekuatan
hakikat yang tersembunyi di dalam pemandangan itu sendiri, di samping di ambil
daripada kekuatan penyampaian al-Quran yang membuat pemandangan itu seolah-olah
hidup. Maka surah ini (selepas menayangkan pemandangan itu), menayangkan pula
satu pemandangan yang lain daripada jarak yang amat dekat seolah-olah terjelma
di hadapan mata, iaitu pemandangan yang sentiasa wujud dan berlaku
berulang-ulang kali."
Pemandangan ini dihadapi oleh manusia pada
setiap detik yang dilalui mereka di bumi ini, pemandangan ini menerjah mereka
dengan kuat, jelas dan berat.
Firman Allah SWT: Sekali-kali jangan.
Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkongan. (al-Qiyamah:
26)
Ibnu Kathir berkata: "Dengan kata lain
jika nyawamu telah terlepas dari badanmu dan sampai ke halkummu."
Al-Maraghi berkata: "Digunakan untuk
mencela dan melarang. Ingat dan perhatikan kematian yang berada di depanmu.
Jangan utamakan dunia melebihi daripada kecintaan akhirat, ini kerana
hubunganmu dengan dunia ini akan terputus, kemudian kamu pula akan berpindah ke
perkampungan akhirat yang bersifat kekal abadi."
Firman Allah SWT: Dan dikatakan
(kepadanya): Siapakah yang dapat menyembuhkan? (al-Qiyamah: 27)
Ibnu al-Jauzi menyebut dua pendapat:
* Ia merupakan ucapan malaikat sebahagian
mereka terhadap yang lain iaitu siapa yang mengangkat rohnya, sama ada Malaikat
Rahmat atau Malaikat Azab? Ini yang diriwayatkan oleh Abu al-Jauza' daripada
Ibnu Abbas dan ini juga pendapat Abu al-'Aliah dan Muqatil.
* Ucapan keluarganya iaitu siapakah yang
dapat menjampi dan menyembuhkannya? Ini juga diriwayatkan daripada Ibnu Abbas
dan ia adalah pendapat Ikrimah, ad-Dahak,Abu Qilabah, Qatadah, Ibnu Zaid, Abu
Ubaidah, Ibnu Qutaibah dan al-Zajjaj.
Al-Maraghi berkata: "Siapakah yang
dapat mengubatnya agar dia sembuh daripada bala yang menimpanya? Qatadah
berkata: Carilah berapa ramai perawat untuknya tetapi mereka sedikitpun tidak
mampu memberi manfaat dan penyembuhan kepadanya untuk menghalang ketentuan
Allah."
Firman Allah SWT: Dan dia yakin bahawa
sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia) (al-Qiyamah: 28)
Al-Maraghi berkata: "Orang yang hendak
mati itu berkeyakinan bahawa apa yang berlaku baginya adalah sebagai peringatan
saat perpisahannya dengan dunia, harta, keluarga dan anak-anak."
Keyakinan seperti ini dinamakan zan iaitu
prasangka, sebab selama roh masih melekat di badan, orang tetap menginginkan
kehidupan kerana cintanya yang amat mendalam terhadap dunia ini.
Firman Allah SWT: Dan bertaut betis
(kiri) dan betis (kanan), (al-Qiyamah: 29)
Ibnu Jauzi menyebut lima pendapat:
* Urusan dunia dengan urusan akhirat
seperti pendapat Ibnu Abbas dan juga Muqatil.
* Berhimpun padanya kehidupan dan kematian
seperti pendapat al-Hasan.
* Bertaut dua betisnya ketika dikafankan
seperti pendapat Said bin Musayyib.
* Bertaut dua betisnya ketika kematian
seperti pendapat al-Sya'bi.
* Bencana dengan bencana seperti pendapat
Qatadah.
Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah
pada hari itu kamu dihalau. (al-Qiyamah: 30)
Sayid Qutub berkata: "Gambaran maut
itu begitu hidup seolah-olah bergerak dan bercakap. Setiap ayat melukiskan
gerak-geri dan pemandangan yang membuat keadaan hampir mati itu terlukis begitu
jelas dengan suasana-suasana cemas, bingung, terharu menghadapi hakikat yang
kejam dan pahit yang tidak dapat ditolak dan dielakkan itu. Kemudian berlakulah
penghabisan yang tidak dapat dihindari."
Firman Allah SWT: Dan ia tidak mahu
membenarkan (rasul dan al-Quran) dan tidak mahu mengerjakan solat. Tetapi ia
mendustakan (rasul) dan berpaling (dari kebenaran). Kemudian ia pergi kepada
ahlinya dengan berlagak (sombong). (al-Qiyamah: 31-33)
Ibnu Kathir berkata: "Ini adalah
pemberitahuan tentang orang kafir, di mana ketika di dunia, mereka mendustakan
kebenaran dengan hati mereka dan enggan untuk beramal dengan anggota tubuhnya
sehingga tidak ada kebaikan di dalam dirinya, sama ada lahir mahupun
batin."
Semoga daripada surah ini kita benar-benar
menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada-Nya.
Perbincangan ini ditutup dengan menyebut
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan lain-lain daripada Abi
Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Barang siapa
antara kamu membaca surah at-Tin hingga akhir hayatnya hendaklah dia mengucapkan
doa yang bermaksud "memang benar dan aku termasuk dari kalangan orang yang
menjadi saksi yang demikian itu."
Seterusnya siapa yang membaca akhir surah
al-Qiyamah hendaklah dia mengucapkan dengan mafhumnya: Memang benar.
No comments:
Post a Comment