Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PERANG Muktah, sebuah perang besar yang
jika tidak ada dalam pengetahuan umat Islam hari ini maka itu adalah sesuatu
yang sangat merugikan.
Tidak sahaja bermakna, mereka tidak
sempurna penguasaan sirah Rasulullah SAW tetapi juga tidak dapat mengambil
sebarang pengajaran daripada sejarah perang tersebut.
Sebuah perang yang melibatkan jumlah kecil
di pihak Islam, iaitu hanya seramai 3,000 anggota tentera berbanding
berpuluh-puluh kali ganda jumlahnya di pihak musuh, iaitu 200,000 orang.
Dengan jumlah yang sebegitu, apa logiknya
lagi jika yang kecil dapat mengalahkan yang besar. Tentu sahaja tidak masuk
akal, apatah lagi pihak musuh tersebut merupakan tentera Rom yang tidak
dinafikan memiliki barisan tentera dan ketenteraan yang paling canggih, lengkap
dan paling kuat ketika itu.
Perang Muktah berlangsung pada tahun 7
Hijrah atau pada tahun 629 M iaitu setahun sebelum berlangsungnya peristiwa
Pembukaan Kota Mekah (Fathul Mekah), sebuah perang besar yang kini turut
melibatkan sebuah pengaruh asing dari sebuah empayar kerajaan yang sangat
besar, iaitu Romawi.
Perang ini berlaku ekoran daripada
peristiwa pada tahun ke 6 Hijrah apabila seorang sahabat, Al Harits bin Umair
Al Azadi yang menjadi utusan bagi kerajaan Islam dibunuh dengan kejam iaitu
dipenggal lehernya oleh Syurahbil bin Amr Al Ghassani, pembesar Kota Muktah,
yang merupakan wakil kepada kepada Raja Heraklius dari Kerajaan Romawi.
Pada mulanya kehadiran Al Harits diterima
baik oleh Syurahbil, diberikan layanan yang sewajarnya sehinggalah apabila
mengetahui maksud kehadiran Al Harits, iaitu membawa surat perutusan dakwah
daripada baginda Rasulullah menyebabkan Syurahbil tiba-tiba bertukar menjadi
marah.
Surat itu dan kehadiran Al Harits dilihat
seolah-olah baginda Rasulullah SAW berhasrat untuk meluaskan pengaruh dan bakal
mengancam kedudukannya di situ, ini menyebabkan Syurahbil tanpa berfikir
panjang terus membunuh wakil Rasulullah itu.
Al Harits ditangkap lalu diikat dan terus
dibunuh dengan kejam namun peristiwa ini tidak diketahui oleh baginda
sehinggalah satu siasatan yang mengambil masa agak lama untuk mengetahui kisah
dan dalang di sebalik pembunuhan Al Harits itu.
Tidak sahaja akhirnya baginda mengetahui
pembunuhan terhadap wakil baginda itu malah baginda juga mendapat tahu terdapat
pelbagai kekacauan yang terjadi di daerah-daerah bahagian utara Kota Madinah
itu bertujuan untuk menimbulkan huru-hara terhadap kedudukan Islam.
Lantas tidak sahaja untuk membela kematian
Al Harits, baginda pun mengambil keputusan untuk menghantar bala tentera Islam
ke daerah-daerah utara itu bagi menghentikan segala penentangan terhadap Islam.
Lalu seramai 3,000 anggota tentera Islam
dikumpulkan di sebuah tempat bernama Jaraf, sebuah dusun yang jaraknya lima
kilometer dari Madinah.
Anak angkat baginda, iaitu Zaid bin
Harithah diberi kepercayaan dan tanggungjawab oleh baginda untuk mengetuai
peperangan kali ini dan bertanggungjawab untuk membawa bendera putih, lambang
kekuatan tentera Islam yang mesti dipertahankan.
"Jika Zaid tewas, hendaklah Jaafar bin
Abi Talib segera dilantik menggantikan Zaid sebagai ketua perang dan jika
Jaafar juga tewas maka hendaklah Abdullah bin Abi Rawahah pula dilantik
menggantikan tempat Jaafar," kata baginda di hadapan bala tentera Muslimin
yang telah siap sedia untuk berjuang.
Di samping baginda menyampaikan pesan
bahawa kedatangan tentera Islam ke Muktah bukan semata-mata untuk berperang
tetapi hendaklah disampaikan dahulu risalah dakwah Islam terhadap para penduduk
kota itu.
"Jika mereka menolak dengan kekerasan,
barulah penduduk kota itu diperangi dan jika terjadilah peperangan yang tidak
dapat dielakkan lagi maka hendaklah kamu memohon pertolongan daripada Allah
untuk mengalahkan para musuh sehingga kamu mencapai kemenangan atau sanggup
mati syahid kerana-NYA," kata Rasulullah SAW.
Lalu baginda mengiringi para tentera Islam
itu sehingga di Tsaniyyatul Wada, sebelum baginda melepaskan mereka untuk terus
bergerak ke Muktah.
Di situ juga baginda menyampaikan khutbah
perang: "Aku hendak berpesan kepada kamu dengan takwa kepada Allah dan
orang-orang Islam yang lain! Berperanglah kamu dengan nama Allah di jalan
Allah, terhadap mereka yang tidak percaya kepada Allah itu. Jangan kamu
bercerai-berai, janganlah kamu melebihi batas, jangan kamu membunuh anak-anak
yang kecil, kaum perempuan, jangan kamu membunuh mereka yang lanjut usia dan
mereka yang mengasingkan diri di biara-biara atau di gereja-gereja, jangan kamu
hampiri pohon-pohon tamar (kurma), jangan kamu tebang pohon-pohon kayu dan
jangan kamu rosakkan rumah-rumah kediaman mereka."
Kemudian baginda mengakhiri khutbah
tersebut dengan berdoa: "Mudah-mudahan Allah menyertai kamu dan menjauhkan
kamu daripada segala mara bahaya dan mengembalikan kamu kepada kami dengan
selamat."
No comments:
Post a Comment