Tadabbur Surah 112 – Al-Ikhlas (Makkiyah)
Kajian Manhaj
Oleh – Thoriq Ahmad
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku)
ialah Allah Yang Maha Esa. (1) Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk
untuk memohon sebarang hajat. (2) Dia tiada beranak dan Dia pula tidak
diperanakkan (3) Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya. (4)
Surah yang pendek ini, sepertima
diterangkan beberapa riwayat yang sohih menyamai 1/3 Al-Quran. Di dalamnya
terdapat motivasi yang sungguh besar untuk mengubah dimensi pemikiran kita
terhadap kehidupan dan terhadap segala gerak dalam hidup untuk ikhlas, buah
yang terhasil daripada tauhid yang benar kepada Allah.
Rasulullah sallallahu`alaihi
wasallam bersabda:
“وَالَّذِي نَفْسِيْ بِيَدِهِ إِنَّهَا
لَتَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ”
“Demi jiwaku yang berada di dalam
kekuasaan-Nya, sesungguhnya surah Al-Ikhlas menyamai satu pertiga Al-Quran“. (Hadis
Riwayat Bukhari)
Rasulullah sallallahu`alaihi
wasallam bersabda:
“إِنَّ اللهَ جَزَأَ الْقُرْآنَ ثَلَاثَةَ
أَجْزَاءِ، فَجَعَلَ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، جُزْءًا مِنَ الْقُرْآنِ”
“Sesungguhnya Allah membahagikan Al-Quran
kepada tiga bahagian. Maka Dia menjadikan Surah Al-Ikhlas satu bahagian
daripada Al-Quran“. (Hadis Riwayat Muslim)
ٱللَّهُ أَحَدٌ
Ya katakanlah dengan penuh perasaan dan
pengertian bahwa Allah itu esa. Berkata Sayyid Qutb, Ahad membawa
erti yang lebih halus daripada Wahid yang mana kita berikrar bahwa “Tiada
yang suatu yang lain bersama Allah dan tiada suatu yang setanding Dia”
Inilah dimensi kehidupan sebenar yang
tertancap di dada para sahabat di bawah selian murabbi agung Nabi SAW. Tarbiyah
Rabbani menanam makna yang tauhid yang sebenar terhadap segala hakikat
kehidupan agar bersandar kepada kewujudan yang hakiki ini. Dia-lah sahaja Rabb,
Malik dan Ilah, yang memiliki kehendak yang bebas dalam menguruskan segala
sistem kehidupan. Meskipun secara realiti kita tidak akan dapat lari daripada
merasai kewujudan lain yang mentadbir pelbagai ragam kehidupan, namun pemahaman
yang bersih yang disertai ikrar yang penuh ikhlas ٱللَّهُ أَحَدٌ adalah
petanda kepada pembebasan diri kita daripada segala belenggu ikatan jahiliyyah.
Sebagai manusia tidak dapat tidak kita
memiliki pelbagai keinginan terutama sekali harapan terhadap masa depan yang
kadangkala menyebabkan kita takut, dan terkadang hati merasakan sukar untuk
hidup tanpa menyerahkan sandaran kehidupan kepada tangan-tangan manusia untuk
mencaturinya. Tetapi apabila hati kita sudah berserah bulat kepada ٱللَّهُ
أَحَدٌ , akan terbuka satu dimensi hidup yang seluas-luasnya yang menafikan
segala aturan yang lain melainkan segalanya datang daripada kehendak Allah.
Dan bukanlah kamu (Wahai Muhammad) yang
melempar ketika kamu melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (Surah
Al-Anfal: 17)
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan
sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah (Surah
Al-Insan: 30)
Aqidah inilah yang memuliakan Sumayyah
sebagai syahidah pertama di dalam sejarah Islam. Inilah juga laungan yang
keluar daripada hati Bilal bin Rabah Al-Habsyi yang penuh ikhlas, laungan yang
membuktikan kesetiaan, keteguhan dan pergantungan kepada yang esa, Allah,
ketika beliau dihempap batu berat dan dipukul tanpa belas kasihan. Berbekalkan
keimanan kepada tauhid, tidak ada yang lebih menyenangkan dan menggembirakan
melainkan jiwa yang tunduk dan khusyuk mengabdi kepada Allah meskipun jasad
teruk disiksa.
Justru, inilah motivasi dan pelajaran yang
sangat penting kepada kita yang ingin terus kekal di jalan ini. Surah An-Nas
dan Al-Falaq sudah cukup untuk menggambarkan bahwa untuk menghadapi segala
pergolakan dalaman dan cabaran luaran kita memerlukan tiang sandaran yang amat
kukuh, yang sama sekali tidak akan rebah atau goyah walau sebarat manapun badai
yang melanda. Sandaran itulah Allah, tuhan yang maha esa.
Kerana sandaran-sandaran lain semuanya
tidak pernah kekal. Jika anda berubah atau bersama tarbiyah kerana inginkan
kepada harta, atau kerana teman, atau kerana mengisi masa kosong, atau kerana
terpaksa oleh sebab persekitaran, atau boyfriend dan girlfriend, ketahuilah
bahwa semua itu akan sirna. Teman dan persekitaran datang dan pergi, dan
apabila semuanya tiada tinggal keikhlasan yang sebenar-benarnya akan
menyelamatkan kita daripada kembali kepada Ilah-Ilah (kecenderungan) selain
daripada Allah.
ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ
Allah tidak pernah mengharapkan sebarang
rezki atau bantuan daripada kita tetapi kitalah yang memerlukan kepada Allah.
Segala keputusan adalah di bawah keizinan-Nya.
Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang
rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi
makan kepadaKu. (Surah Az-Zariyat: 57)
Dialah tuhan tempat kita bergantung segala
harapan dan Yang akan mengabulkan segala permintaan. Ternyata ketika berlaku
kesusahan dan krisis, Ya ! ketika-mana manusia tersangat memerlukan sesuatu, hilanglah
segala ego yang menutupi dirinya selama ini untuk mengakui ke-Esaan Allah dan
ketika itu dia akan bersujud dan seringkali menyebut-nyebut nama Allah.
Allah-lah majikan kepada semua majikan,
Allah-lah bos kepada semua bos, Allah-lah pemberi rezki dan biasiswa kepada
semua sponsor dan Allah-lah yang mentadbir segala tanah yang diperintah oleh
pemimpin yang zalim kerana semua makhluk memerlukan kehendak Allah terhadap
segala sesuatu, dan Allah sesekali tidak pernah mengharapkan sebesar zarahpun
makanan atau minuman daripada kita.
لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ
يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدٌ (٤)
Ya, segala kesempurnaan milik Allah semata
tanpa ada sebarang cacat cela dan tiada suatu pun yang setaraf dan menyamai
Allah yang maha Esa.
Allah bukanlah tuhan sepertimana menjadi
mainan dan ejekan kaum kafir yang mengatakan Allah itu beranak, memiliki anak
dan berbilang-bilang jumlahnya yang terbahagi kepada sektor tertentu tetapi
Allah bebas daripada segala kehendak manusiawi dan bersih daripada segala unsur
tersebut.
Maraji’
Tafsir Manhaji Juzuk 30, Ali Laban, Husam
Humaidah, Hasan Jaudah, Mahmud Abu Rayyah
Fi Zilalil Quran, Syed Qutb
Tafsir Al-Wadhih, Dr. Muhammad Mahmud Hijazi
No comments:
Post a Comment