Oleh Nik Salida Suhaila
2012/06/21
Nikmat kesihatan, jiwa suci boleh diperoleh
jika persekitaran dijaga rapi
MENJAGA kebersihan adalah rutin harian setiap insan, walau di mana kita berada.
Ia bukan sesuatu yang hanya dilakukan pada waktu tertentu, tetapi perlu
dilandasi dalam setiap tindak tanduk sama ada zahir ataupun batin.
Peribadi bersih adalah lambang hati yang
suci. Justeru, jika kita mampu membina sahsiah yang jauh daripada sifat
mazmumah, sudah tentu kita mempunyai hati yang suci daripada bintik hitam
mengotorkan.
Kepada setiap Muslim, kebersihan adalah
tuntutan agama yang harus direalisasikan dalam setiap keadaan. Rasulullah SAW
bersabda yang mafhumnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Hadis
riwayat Muslim)
Selain hubung kait dengan kesihatan, kebersihan juga melambangkan tarikan
kepada agama yang suci. Apabila kita mengatakan Islam agama yang suci, kita
harus membuktikan cara hidup umat Islam berasaskan kepada kebersihan melalui
perbuatan dan perkataan.
Ibnu Taymiyyah pernah menyatakan: “Sunnah Rasulullah datang dengan membawa
ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia,
sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran
rohani.”
Dalam soal kesihatan, kebersihan menjauhkan wabak dan penyakit. Secara
zahirnya, banyak penyakit berjangkit menular di negara kita disebabkan
pengabaian terhadap langkah menjaga kebersihan.
Walaupun ia kelihatan enteng, tetapi penjagaan kebersihan kawasan rumah dan
sekitarnya adalah satu ‘kewajipan’ jika kita mahu mengamalkan cara hidup Islam
sebenar. Tanpa nikmat kesihatan, kita tidak mampu beribadat kepada Allah SWT
dan tuntutan ibadat terganggu disebabkan persekitaran yang kotor.
Berdasarkan pengalaman penulis di United Kingdom, warga bukan Muslim sangat
menjaga kebersihan kerana mereka menghargai alam.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 6)
Tanpa mengetahui garis panduan agama yang menyeru kepada menjaga kebersihan,
mereka tidak teragak-agak untuk bertegas dalam soal kebersihan, malah menyeru
orang lain melakukan perkara serupa.
Apabila melewati penempatan majoriti bukan Muslim atau premis perniagaan
mereka, penulis mendapati jurang perbezaan besar dalam soal kebersihan
berbanding majoriti Muslim. Boleh dikatakan hampir setiap kawasan kediaman
warga bukan Muslim terjaga rapi.
Malah, tiada sebarang sampah hatta ranting kayu yang menghalang perjalanan.
Mereka tidak segan silu membantu membersihkan kawasan atau premis awam setiap
awal pagi, semata-mata mahu melihat persekitaran yang cantik dan bersih.
Budaya gotong-royong membuang sampah sentiasa diamalkan sejak sekian lama di
negara kita adalah satu contoh amalan baik yang perlu diteruskan dan dilakukan
dengan konsisten. Walau bagaimanapun, lebih baik jika amalan itu diteruskan
setiap hari.
Buat masa ini usaha itu dijadikan agenda komuniti ataupun program tertentu yang
hanya dilakukan pada waktu sangat terbatas. Adalah lebih baik jika sifat
mencegah kekotoran, menjaga kebersihan dan persekitaran menjadi tanggungjawab
setiap warga negara.
Tambahan pula, kepada masyarakat bukan Muslim di luar negara, warga Muslim
kurang menjaga kebersihan berbanding mereka. Apabila kita mengatakan Islam
mengesyorkan kebersihan dan tiada kompromi mengenainya, kita haruslah
membuktikan bukan bersikap sebaliknya.
Rumah ibadat kita wajib mencerminkan cara hidup Muslim yang sebenar seperti
difirmankan dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran kerana ia
adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran.” (Hadis
riwayat Muslim)
Antara budaya hidup yang memungkinkan sikap menjaga kebersihan dalam kalangan
umat Islam dipertingkatkan ialah dengan memberi kesedaran dalam kalangan
golongan dewasa dan ibu bapa pentingnya persekitaran yang bersih.
Mereka harus diyakinkan yang membezakan mereka dengan bukan Islam ialah
sentiasa bersih dan mencegah sebarang kekotoran. Setiap ibu bapa perlu
menunjukkan teladan kepada anak seawal anak mula tahu berkomunikasi dengan
caranya yang tersendiri.
Pakaian bersih, makanan halal dan membuang sampah di tempat sepatutnya adalah
antara pendidikan awal yang boleh diperkenalkan kepada anak kecil.
Mereka yang sentiasa terbimbing dalam cara hidup yang bersih dan bencikan
kekotoran akan membesar sebagai seorang pembersih dan ini memungkinkan generasi
Muslim terdidik dengan mengutamakan kebersihan, iaitu cara hidup setiap Muslim
digariskan al-Quran.
Penulis
ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam
Malaysia.
No comments:
Post a Comment