Oleh Ashraf Muslim
2012/06/18
Mudah terkena penyakit jika tidak kawal
pemakanan
KEBETULAN hujung minggu lalu saya merawat pesakit di Kelantan, negeri terkenal
sebagai syurga makanan kerana pada pagi hari lagi kita sudah dapat menikmati
pelbagai jenis hidangan nasi seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi berlauk dan
banyak lagi hidangan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang.
Kebetulan juga, ramai yang datang untuk
mendapatkan rawatan kebanyakannya menghidap penyakit kencing manis dan darah
tinggi. Apakah ini memang sudah suratan atau hanya kebetulan, mereka saja yang
tahu.
Namun, berdasarkan kepada budaya serta gaya hidup masyarakat di sana yang terkenal sukakan hidangan manis
serta bersantan, memang mereka mudah terdedah kepada dua penyakit yang jika
tidak dikawal boleh mengundang bahaya.
Saya harap orang Kelantan tidak berkecil hati kerana budaya serta persekitaran
akan mempengaruhi gaya
hidup kita termasuk cara pemakanan. Bagi orang luar yang berhijrah dan bekerja
di Kelantan, yang dulu tidak biasa makan nasi waktu pagi, lama-lama akan
terikut juga.
Lihat saja warga luar yang bekerja di Malaysia, dulunya nasi lemak dan roti
canai adalah hidangan asing buat mereka, tetapi sekarang, jika menonton
wawancara di televisyen, ramai ‘mat saleh’ yang ditanya keistimewaan negara
kita akan mengakui keenakan nasi lemak serta roti canai.
Ini bukti bagaimana persekitaran boleh mempengaruhi hidup seseorang termasuk gaya bercakap, berpakaian
dan pemakanan seharian.
Berbeza dengan masyarakat kampung yang kehidupannya lebih sederhana, orang
bandar mungkin disebabkan peningkatan taraf hidup tinggi, ramai berdepan
penyakit kemurungan disebabkan tekanan. Oleh itu, lain tempat lain ragam dan
corak kehidupannya, lain punca maka lain sakitnya.
Bagaimanapun, kita dinasihatkan supaya sentiasa bersederhana dalam apa juga
yang dilakukan termasuk bab makan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makan
serta minumlah, dan janganlah melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang
yang melampau.” (Surah Al-A’raf, ayat 31).
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada bekas yang dipenuhi oleh manusia
lebih teruk dari perutnya. Cukuplah manusia itu memakan beberapa suapan yang
menegakkan tulang sulbinya. Jika dia tetap hendak makan banyak maka satu
pertiga perutnya untuk makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga lagi
dikosongkan.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Abu Daud).
Abu Sulaiman ad-Darani berkata: “Sesiapa yang kenyang maka mendapat enam
keburukan iaitu kehilangan kemanisan bermunajat, susah hendak menghafal mutiara
ilmu, kurang rasa kasihan pada manusia lain kerana menganggap orang lain pun
semuanya kenyang, malas hendak beribadah dan bertambah nafsu syahwat.
Oleh itu, hendaklah kita juga bersederhana setiap kali menikmati rezeki makanan
yang Allah SWT kurniakan. Jangan gelojoh khususnya apabila makanan yang banyak
terhidang di depan mata. Elak daripada termakan kata-kata lawak tetapi berbisa
iaitu ‘memang pantang, pantang jumpa’.
Bukan bermakna kita dilarang menikmati hidangan apatah lagi hidangan lazat
disediakan ibu atau isteri, tetapi hendaklah makan secara sederhana. Bagi yang
menghidap penyakit, jika diminta berpantang, hendaklah diikuti nasihat itu.
Pastinya kita maklum, makanan salah satu punca kepada segala penyakit dan cara
untuk mengelak dihinggapi penyakit ialah dengan menjaga makan. Amalan berpuasa
juga dapat membantu kita menjaga kesihatan.
Selain merehatkan perut daripada tugas asasinya memproses makanan yang kita
makan, puasa juga dapat menjinakkan nafsu makan dan pada masa sama meningkatkan
keimanan serta diberi ganjaran istimewa oleh Allah SWT.
Tambahan pula, Ramadan sudah hampir menjengah, tidak salah kita membiasakan
diri dengan mengamalkan puasa sunat sementara menanti puasa wajib. Ramadan juga
dikaitkan dengan makanan, tetapi berhati-hatilah mengawal nafsu.
Dikisahkan, Khalifah Ar-Rasyid menghimpun beberapa pakar perubatan dan mencari
apakah ubat yang tidak ada kesan buruk langsung. Ada timbul beberapa jawapan seperti air suam,
kurma dan sebagainya.
Bagaimanapun, jawapan itu telah ditolak oleh seorang yang paling banyak ilmu
dalam kalangan mereka dengan jawapan bernas dan diterima oleh pakar yang lain.
Maka yang lain pun bertanya kepadanya apakah jawapan sebenar.
Maka dia menjawab: “Ubat yang tidak ada kesan buruk di sisiku adalah janganlah
engkau makan melainkan setelah benar-benar lapar dan selesai makan dalam
keadaan engkau masih ingin makan lagi (iaitu makan sedikit saja)”.
No comments:
Post a Comment