KERANA merasakan Perjanjian Hudaibiah menguntungkan kaum Quraisy, umat Islam enggan bertahalul walaupun diperintahkan oleh Rasulullah. - Gambar hiasan |
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SETELAH berjaya menyejukkan hati Umar Al
Khattab yang tidak berpuas hati mengenai Perjanjian Hudaibiah, Rasulullah SAW
pun terpaksa membatalkan ibadat umrah dan haji yang hendak mereka lakukan di
Kota Mekah.
Lalu baginda memerintahkan agar semua
rombongan umrah dan haji dari Madinah itu supaya bertahalul (mencukur kepala
atau menggunting rambut), sebagai tanda mereka tidak perlu lagi memakai ihram.
Mereka juga diperintahkan menyembelih
unta-unta yang telah disediakan untuk tujuan korban.
Sebanyak tiga kali baginda menyeru kepada
seluruh ahli rombongan supaya melaksanakan perintah tersebut.
Tetapi alangkah terkejutnya baginda apabila
tiada sesiapa yang patuh kepada perintah itu. Mereka tidak mahu bangun untuk
bertahalul apatah lagi menyembelih korban.
Kali ini bukan sahaja Umar yang tidak
berpuas hati malah rupa-rupanya seluruh ahli rombongan baginda masih merasa
tidak puas hati dan gelisah terhadap isi perjanjian damai dengan Quraisy yang
mereka sangkakan begitu merugikan umat Islam.
Malah mereka sebenarnya menuntut supaya
perjanjian tersebut dibatalkan atau dihapuskan sahaja dan tetap ingin masuk ke
Kota Mekah tanpa mengira apa yang bakal terjadi.
Malah ramai juga yang keliru bahawa
bertahalul dan melakukan korban lazimnya apabila telah selesai melakukan ibadat
umrah atau haji. Tetapi kini Rasulullah memerintahkan supaya melakukan semua
itu sedangkan mereka belum seinci pun berada di Kota Mekah untuk melakukan
ibadat yang sangat mereka rindukan selama ini.
Namun melihatkan keengganan para pengikut
Islam untuk melaksanakan perintah tersebut, baginda kehilangan kata-kata.
Baginda merasa sangat sedih kerana itulah
buat pertama kalinya para pengikut baginda sendiri enggan mematuhi arahan.
Tetapi itu bukan bermakna para penganut
Islam sudah tidak taat kepada baginda. Tetapi apa yang dibimbangkan Rasulullah
jika Allah akan menurunkan seksaan terhadap pengikutnya kerana dengan sengaja
tidak mahu melaksanakan perintah bercukur dan menyembelih korban itu.
Lalu baginda pun membawa diri ke dalam
khemah dengan keadaan bermuram durja. Kebetulan isteri baginda, iaitu Ummu
Salamah ada dalam khemah tersebut maka kepada isterinya itulah baginda mengadu
mengenai umat Islam yang tidak mendengar arahan untuk bertahalul dan melakukan
korban.
Sebagai isteri, Ummu Salamah sangat
memahami apa yang terjadi. Bagi beliau umat Islam bukanlah ingkar atau secara
sengaja tidak mahu mematuhi arahan baginda itu.
Bahkan mereka masih menaruh keyakinan masih
boleh melakukan ibadat umrah dan haji itu setelah bersusah payah datang dari
jauh dan Mekah kini hadapan mata.
Terlalu berat untuk mereka meninggalkan
Mekah begitu sahaja tanpa langsung berpeluang untuk beribadat.
Bagi mententeramkan baginda, Ummu Salamah
pun memujuk akan suaminya itu: "Ya Rasulullah, maafkanlah para pengikut mu
itu. Perjanjian ini mungkin terlalu besar dan terlalu berat untuk diterima oleh
mereka dengan mudah.
"Jika panjang umur dapatlah kita
mengerjakan umrah dan haji pada tahun hadapan sebagaimana mengikut isi
perjanjian itu. Tetapi bagaimana jika ada yang tidak panjang umur sedangkan
peluang untuk beribadat itu telah ada di hadapan mata?
"Walaupun begitu wahai tuan, jika kita
perlu membatalkan niat kali ini cuba tuan sendiri yang melakukan tahalul dan
menyembelih korban itu. Moga-moga dengan cara seperti itu apabila mereka tuan
mengerjakannya, pasti mereka akan mengikut tuan."
Mendengarkan nasihat isterinya itu, baginda
pun tidak teragak-agak lagi lalu keluar dari khemah terus melakukan tahalul dan
menyembelih unta dengan disaksikan umat Islam yang lain.
Melihatkan baginda melakukan semua itu,
mereka pun akhirnya seorang demi seorang bangun melakukan tahalul dan menyembelih
korban.
Baginda sungguh gembira melihat umat Islam
kembali bersatu dan melaksanakan apa yang diperintahkan yang tentunya bukanlah
dari kepentingan peribadi baginda tetapi sebagaimana yang menjadi syariat dalam
Islam.
Apabila semuanya telah selesai bertahalul
dan melakukan korban, seluruh ahli rombongan kemudiannya bersiap-siap dan
mereka pun pulang semula ke Madinah.
Walaupun kesedihan dan perasaan hampa masih
menyelubungi, tetapi mereka tetap memberikan lambaian ke arah Kaabah dan
seolah-olah berjanji akan datang kembali pada tahun hadapannya.
Berikutan itu, maka turunlah Surah Al Fath
(Pembukaan) sebagai surah terbaik bagi menceritakan peristiwa dan hikmah
disebalik Perjanjian Hudaibiah yang membawa kepada peristiwa besar, pembukaan
Kota Mekah.
Surah itu diturunkan ketika Rasulullah dan
para pengikutnya dalam perjalanan pulang meninggalkan Hudaibiah menuju ke
Madinah dan kemudian mereka singgah di sebuah desa bernama Qura'ul Ghamim
(suatu lembah terletak di Asfan).
Diturunkan dalam satu surah yang lengkap
mengandungi 29 ayat sebagai pengubat kehampaan dan kekecewaan umat Islam yang
terpaksa pulang dengan 'tangan kosong'.
Sesudah dibacakan surat tersebut oleh
Rasulullah kepada para ahli rombongan, mereka semua merasa sangat gembira
terutamanya Umar Al Khattab.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment