Oleh Ibrahim Abdullah
2012/03/11
SEJUMLAH ulama berpendapat manusia dan jin
terikat dengan hukum taklif (perintah mematuhi kewajipan dan meninggalkan
larangan). Oleh kerana itu, jin pun berkewajipan menjalankan segala perintah
Allah dan menjauhi semua larangan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan
manusia melainkan untuk mereka menyembah serta beribadah kepada-Ku.” (Surah
az-Zaariyaat, ayat 56).
Ini bermakna, manusia dan jin yang
beribadah kepada Allah SWT, akan mendapatkan balasan pahala daripada Allah dan
yang mengerjakan larangan-Nya juga akan mendapatkan balasan yang setimpal.
Dalam surah ar-Rahman ada sejumlah
pernyataan Allah SWT yang berulang kali mengenai kalimah ‘kamu berdua
mendustakan’ (tukazziban). Yang dimaksudkan di sini ialah jin dan manusia.
Oleh itu, dari manakah mereka mengetahui semua perintah itu, dan bagaimana
mereka mentaatinya? Adakah dalam kalangan jin juga mempunyai rasul? Namun,
al-Quran menyebutkan jin dan manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah
SWT.
Di dalam al-Quran disebutkan setiap umat atau zaman ada seorang rasul diutus
kepada mereka untuk menyeru serta mengajak manusia pada jalan kebenaran. Firman
Allah bermaksud: “Setiap umat mempunyai rasul. Apabila datang rasul mereka,
diberikan keputusan antara mereka dengan adil dan mereka (sedikit pun) tidak
dianiaya.” (Surah Yunus, ayat 47).
Menurut sebahagian pendapat ulama, tidak ada jin diutus menjadi nabi dan rasul.
Nabi dan rasul hanya berasal daripada golongan manusia. Setiap nabi dan rasul
itu berkewajipan menyampaikan seruannya kepada umat manusia dan golongan jin.
Justeru, ada jin beriman dan ada pula tidak beriman. Yang beriman disebut
sebagai jin Islam manakala yang ingkar atau jahat berasal daripada golongan jin
kafir.
Al-Quran memberitahu bahawa Allah SWT menghadapkan serombongan jin kepada Nabi
Muhammad SAW untuk mendengarkan bacaan al-Quran. Mereka mendengarnya dengan
penuh tekun. Apabila pembacaan selesai, mereka kembali kepada kaumnya untuk
memberi peringatan.
Rombongan jin ini mengatakan kepada kaumnya bahawa mereka mendengar al-Quran,
kitab yang diturunkan selepas Musa AS, yang membenarkan kitab sebelumnya (rujuk
surah al-Ahqaf, ayat 29-32).
Ibnu Masud menyatakan, dirinya ikut menyaksikan malam turunnya ayat jin ini.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Aku didatangi pendakwah dalam kalangan jin.
Lalu kami pergi bersamanya, dan aku bacakan al-Quran kepada mereka. Peristiwa
itu terjadi di Masjid Jin, Makkah, dekat kawasan makam Ma’la sekarang ini.
Berkaitan hubungan manusia dan jin, al-Quran merekodkan kisah seorang manusia
yang pernah memerintah jin pada zaman Nabi Sulaiman AS. Pada masa itu,
sebahagian jin dengan izin Allah diperintahkan bekerja untuk Nabi Sulaiman.
Mereka membuat apa saja dikehendaki Nabi Sulaiman, seperti membuat gedung yang
tinggi, patung, piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada
diatas tungku (rujuk surah Saba', ayat 12-13).
Peristiwa Nabi Sulaiman memberikan tugas kepada kaum jin menunjukkan jin
mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam bidang pembinaan dan
kejuruteraan.
Ibnu Taimiyyah membahagi manusia yang mampu memerintah jin kepada tiga
peringkat. Pertama, memerintah jin sesuai dengan yang diperintahkan Allah,
yakni beribadah hanya kepada-Nya. Siapa yang melakukan ini, ia termasuk wali
Allah yang paling utama.
Kedua, memanfaatkan jin untuk tujuan mubah (bukan yang dilarang bukan pula yang
dianjurkan agama) sambil memerintah melaksanakan kewajipan dan menghindari
larangan Allah. Orang seperti ini bagaikan raja. Kalaupun ia termasuk wali
Allah, peringkatnya di bawah peringkat pertama.
Ketiga, menggunakan jin untuk hal dilarang Allah dan Rasul, seperti syirik
serta membunuh. Manusia yang termasuk kategori ini menurut Ibnu Taimiyyah
sebenarnya tertipu oleh tipu daya syaitan.
Syeikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi, ulama al-Azhar kontemporari,
berpendapat Allah SWT dengan kudrat-Nya mampu menjadikan jenis makhluk yang
rendah memperalat dan mengatasi makhluk yang berkedudukan tinggi.
Jin yang baik, mungkin bersikap baik seperti manusia. Namun ada hadis
membandingkan sifat baik jin itu menyamai sikap manusia paling jahat.
Menurut asy-Sya’rawi, jin tidak mungkin rela diperalat oleh sesiapapun. Dengan
demikian, boleh dikatakan bahawa tidak ada jin yang ditundukkan atau diperalat
manusia, kecuali yang jahat. Ini bermakna, mereka yang berdamping dengan jin
hanya menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Lama kelamaan, manusia yang berdamping
dengan jin itu akan berada di bawah pengaruh jin.
No comments:
Post a Comment