بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, March 24, 2012

Kekuatan iman dan amal benteng hadapi godaan syaitan


Oleh Ustaz Zaman
2012/03/17


KITA sering terbaca berita yang dipaparkan mengenai peperangan dan pertelingkahan yang berlaku di segenap pelosok dunia. Namun, semua pertelingkahan ini tidak sehebat apa yang berlaku terhadap peperangan melawan godaan syaitan. 

Ia terpaksa dihadapi lebih daripada tujuh bilion umat manusia dalam melawan musuhnya yang satu dalam pelbagai watak. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah ia musuh yang sebenar kerana dia mengajak golongannya supaya menjadi ahli neraka.” (Surah Fatir ayat 4).


Nabi Adam selaku makhluk yang istimewa ciptaan Allah adalah orang yang pertama menghadapi godaan ini. Keistimewaan inilah yang mengundang dendam daripada syaitan atau iblis yang juga sebelum ini penghulu kepada malaikat.

Penderhakaan yang dilakukan iblis terhadap Allah SWT menyebabkan ia dilaknat dan diusir dari syurga. Di sinilah bermulanya permusuhan iblis terhadap umat manusia yang membawa kepada sumpahan untuk menyesatkan umat manusia. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Syaitan memujuk mereka dengan tipu daya. Maka jelaslah pengaruh syaitan itu dan Allah mengingatkan mereka mengenai larangan itu dan permusuhan bagi mereka berdua. (Adam dan Hawa). (al-A’raf ayat 22). 

Firman Allah SWT: “Iblis berkata: “Tuhanku, oleh kerana Engkau memutuskan bahawa aku tersesat, maka aku akan memastikan bahawa kesesatan ini akan menjadi perhiasan umat manusia seluruhnya.” (Surah Hijr ayat 39). 

Oleh yang demikian, sifat dendam ini perlu dikikis daripada minda dan hati manusia kerana ia adalah hasutan syaitan seterusnya merugikan umat dan akan memusnahkan harta benda, malah nyawa yang tidak berdosa. 
Syaitan juga berupaya menyuntik perasaan dendam, iri hati, angkuh, bongkak, tamak haloba, pentingkan diri sendiri dan semua sifat mazmumah (keji) yang lain bagi merealisasikan tugasnya menyesatkan umat manusia. 

Benteng yang kukuh perlu dibina dan dibentuk bagi menghalang pengaruh dan godaan syaitan kerana semangat tipu daya yang dimilikinya tidak pernah luntur sehingga hari kiamat. 

Kita mestilah menjadikan syaitan sebagai musuh yang sebenar dan perlu diperangi. Permusuhan ini perlu diterjemahkan dengan meninggalkan perkara yang keji dan mungkar. Ilmu dan amalan perlu dipersiapkan di samping sentiasa berwaspada terhadap kelemahan diri kita sendiri. 

Manusia mukmin juga perlu sentiasa beristiqamah dengan jalan yang lurus dan diredai juga benteng menghindarkan tipu daya syaitan. Hati kita hendaklah tetap dengan jalan itu walaupun akan datang suara wakil dari syaitan yang sentiasa memujuk agar kita terpesong daripada jalan yang lurus. 

Firman Allah SWT: “Inilah jalan Tuhanmu yang lurus dan janganlah kamu menuruti jalan lain yang akan menyesatkan kamu.” (Surah al-Ana’m ayat 153). Firman-Nya: “Syaitan itu hanya akan mengajak golongannya menuju neraka yang menyala.” (Surah al-Fatir ayat 6). 

Di samping itu juga, doa yang bersifat konsisten serta tahap tawakal yang tinggi kepada Allah SWT juga boleh membantu menghindarkan gangguan. Jadikan Allah SWT sebagai tempat untuk kita menyerahkan segala urusan berbekalkan usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Mengapa kami tidak bertawakal kepada Allah sedangkan Dia menunjukkan jalan kepada kami. Kami tetap bersabar terhadap ujian dan hanya pada-Nya kami bertawakkal”. (Surah Ibrahim ayat 12). 

Kita hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT yang menjadikan kita sebagai khalifah berpandukan kitab yang diturunkan sebagai panduan dan pedoman. Firman Allah SWT : “Sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah, maka kami akan membiarkan syaitan untuk menyesatkannya. Mereka akan terhalang dari jalan yang lurus dan menyangka mereka adalah orang yang benar.” (Surah Zukhruf ayat 36 dan 37). 

Inilah satu penyakit yang melanda umat kini yang mana semua pihak menyatakan bahawa mereka berada pada landasan yang benar. Maka neraca yang sebenar ialah merujuk kepada Allah dan Rasulnya. 

Kita juga mestilah menjauhi orang lalai dan leka diulit keindahan serta kesibukan dunia sehingga lupa urusan kewajipan yang akan menyelamatkan mereka pada hari kemudian. Berdamping dan menurut seseorang individu atau kumpulan juga dapat mempengaruhi daripada terjebak dalam godaan syaitan yang mana kita sentiasa melihat contoh dilakukan dan terkesan daripada segala tidak tanduk mereka. 

Firman Allah SWT: “Ketika orang yang kita ikut dulu berlepas diri ketika melihat azab Allah, barulah disedari bahawa hubungan terputus dan semuanya akan dipersoalkan. Pengikut berkata : “Kalaulah kami dapat kembali ke dunia, nescaya kami akan jauhi mereka seperti apa yang mereka lakukan pada hari ini.” (Surah al-Baqarah ayat 155 dan 166). 

Kesimpulannya, syaitan adalah musuh kita yang sebenar yang perlu diperangi kerana ia mempunyai sekutu dalam kalangan manusia dan jin yang berperanan untuk menyesatkan manusia. Kekuatan benteng yang dibina untuk melindungi godaan syaitan dapat dinilai menerusi sudut komitmen kita terhadap hukum Allah SWT. Kadar kekuatan kita dapat diukur melalui kekuatan hubungan kita dengan Allah SWT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...