Penulis bergambar berlatarbelakangkan Tembok Pemisah |
Oleh AZHARI ZAINOODDIN
TIADA yang lebih di tangisi oleh umat Islam selain Masjid Al-Aqsa di Kota Suci Al Quds, Baitulmaqdis berada dalam cengkaman rejim zionis Israel hingga ke hari ini.
Cengkaman tersebut menyebabkan umat Islam dinafikan untuk keluar masuk melakukan solat di dalamnya. Lebih memedihkan, Israel merancang untuk melenyapkan masjid itu dari muka bumi ini.
Berkongsi pengalaman, seorang rakyat Malaysia yang pernah berada hampir sebulan di Baitulmaqdis, sekali gus berpeluang beribadat di Masjid Al-Aqsa perlu menjadi satu inspirasi kepada seluruh umat Islam untuk ke sana.
Setiausaha Eksekutif Komuniti Viva Palestin Malaysia (VPM), Azra Banu, 49, berada di Baitulmaqdis sekitar Jun 2010 yang disifatkan sebagai paling terkesan dalam hidupnya.
“Pengalaman berada di sana itulah yang mengajar saya untuk menumpahkan seluruh jiwa raga demi Palestin,” ujarnya.
Azra melihat segala-galanya. Betapa rejim Israel yang mendukung fahaman zionis sebenarnya adalah kaum terpilih untuk melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini.
“Bayangkan apa dosa sebuah tanah perkuburan yang berusia ratusan tahun penduduk Palestin dirobohkan dan dilenyapkan. Lalu tergamak didirikan segala macam premis bangunan.
“Sedangkan, mereka boleh dirikan di atas tanah lain tanpa perlu membongkar kubur-kubur lama tersebut. Alasannya, kubur-kubur tersebut tidak ada permit dan tiada siapa boleh mempersoalkan kewajaran tindakan rakus mereka itu,” katanya.
Azra menyaksikan sendiri tanah perkuburan Mamilla dipercayai wakaf perkuburan milik orang Islam Palestin yang terletak di tengah-tengah bandar Baitulmaqdis telah bertukar menjadi hotel mewah.
Reka bentuk Hotel Mamilla disifatkan sebagai yang terhebat bertaraf dunia .
Begitu juga tindakan rejim zionis itu merampas rumah-rumah dan tanah milik penduduk Palestin. Ia bagi mendirikan kawasan-kawasan penempatan kepada pendatang haram Israel yang dibawa masuk dari segenap dunia.
Selain itu, penduduk Palestin juga dikenakan pelbagai sekatan hingga menghalang kebebasan mereka. Mereka dilarang bergerak bebas di bumi sendiri.
Hak mereka sebagai penduduk pribumi dinafikan tanpa ada sebarang kompromi, jauh sekali belas ihsan. Sekali gus menjadikan Baitulmaqdis, bandar yang penuh dengan tekanan.
“Rakyat Palestin tidak seperti kita (orang luar) yang bebas bergerak ke mana sahaja. Mereka perlu melalui check point yang terlalu banyak.
“Ada kawasan-kawasan tertentu yang tidak dibenarkan untuk mereka masuki ataupun melaluinya. Jadi rakyat Palestin terpaksa berpatah balik dan melalui jalan lain.
“Bukan itu sahaja, bagi mereka yang bekerja di Baitulmaqdis, permit kerja yang dikeluarkan sangat susah sehingga setiap maklumat perlu diperincikan termasuklah tempoh masa bekerja.
“Jika tertera masa bekerja bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang, mereka akan dihujani dengan pelbagai soalan oleh pegawai di check point sekiranya tiba melepasi waktu itu,” ceritanya lagi.
Menyentuh mengenai lawatannya ke Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam, Azra berkata terlalu sukar untuk membolosi sekatan bagi membolehkan umat Islam memasuki masjid tersebut.
Jelasnya, boleh dikatakan hampir setiap 10 meter perlu melalui pemeriksaan askar Israel dan lelaki yang berusia 10 sehingga 40 tahun, langsung tidak dibenarkan masuk ke masjid itu.
“Mereka langsung tidak membenarkan golongan belia untuk memasuki Masjid Al-Aqsa sehinggakan ibu yang memimpin anak lelaki yang berusia belasan tahun, hanya si ibu dibenarkan masuk,” jelasnya
Tambah Azra, senario kawalan tentera Yahudi itu akan lebih ketat pada hari Jumaat.
Jelas wanita kelahiran Singapura itu lagi, pembinaan tembok-tembok pemisah yang didirikan Israel juga jelas menunjukkan berlakunya rampasan tanah rakyat Palestin.
“Mereka bina tembok itu sehingga masuk ke dalam kawasan milik rakyat Palestin. Selain memisahkan penempatan rakyat Palestin ia juga memaksa mereka berpusing jauh untuk ke sekolah dan hospital,” jelasnya.
Solat di Masjid Al-Aqsa
Bagaimanapun jelas Azra, perjalanannya sendiri sepanjang berada di sana agak mudah kerana pihak Israel tidak menyekat kebebasan orang luar untuk bergerak di kawasan berkenaan.
“Sepanjang berada di sana, melalui kawasan pemeriksaan itu adalah perkara wajib, namun tidaklah dilayan seperti rakyat Palestin.
“Masih juga buruk dan teruk tetapi akhirnya mereka akan lepaskan kita bagi menjaga imej Israel di mata antarabangsa.
“Kami juga bernasib baik kerana dapat menyewa kereta yang menggunakan nombor pendaftaran Israel. Jadi ia tidaklah terbatas seperti kenderaan yang didaftarkan untuk rakyat Palestin,” ujarnya.
Namun Azra masih dapat merasakan ketenangan yang tiada taranya sebaik memasuki kawasan Masjidil Al-Aqsa.
“Mereka tidak percaya saya hendak masuk ke Masjid Al-Aqsa untuk tujuan melakukan ibadat dan solat sehinggalah mereka memaksa saya membaca lengkap surah al-Fatihah.
“Apabila mereka berpuas hati, barulah saya dibenarkan masuk dengan layanan yang cukup buruk,” katanya.
Detik masa bagaikan terhenti apabila berada di dalam Masjid Al-Aqsa bagi memberikan peluang untuk kita menginsafi diri dan merasa lebih dekat dengan Maha Pencipta.
“Segala-galanya hening di sini dan tidak semena-mena hati ini mudah terusik dan sangat merindukan Allah,” kata Azra.
Maka umat Islam sangat digalakkan ke Masjid Al-Aqsa. Ini kerana menurut Azra dari perbualannya dengan pengusaha agensi pelancongan di Baitulmaqdis, hampir setiap tahun seramai dua juta pelancong datang mengunjungi Baitulmaqdis.
“Sayangnya dari jumlah tersebut hanya 500,000 umat Islam. Selebihnya, adalah orang luar dari seluruh pelosok dunia.
“Kita masih boleh mengunjungi Baitulmaqdis jika kita mahu Allah akan sentiasa membantu usaha kita itu, lebih-lebih lagi jika niat kita adalah satu, iaitu hendak bersolat di Masjid Al-Aqsa,” katanya.
Hakikatnya, banyak lagi pengalaman yang ditempuh oleh Azra sepanjang berada di Baitulmaqdis, terutama apabila berpeluang bertemu dengan pendatang Israel dari negara-negara Eropah yang lain.
Katanya, biarpun mereka adalah pendatang di Palestin tetapi diberi segala macam kemudahan oleh pihak Israel termasuk ditanggung sepenuhnya jika hendak pulang bercuti ke negara asal masing-masing.
No comments:
Post a Comment