بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, March 24, 2012

Jangan lupa kendali bahagian fakir, miskin sebelum berbelanja


Oleh Ustaz Zaman

2012/03/24
RAMAI menganggap segala hasil yang diusahakan adalah menjadi miliknya yang mutlak. Oleh sebab itulah timbul rasa riak dan takbur terhadap kesenangan dan kenikmatan yang dikecapi. Jika dirujuk kepada agama Islam, kita akan mendapati bahawa hasil yang diperoleh adalah amanah yang mana sebahagiannya hak milik orang lain. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan dalam harta seseorang ada bahagian tertentu untuk orang lain iaitu orang miskin dan tidak berkemampuan.” (Al-Maa’rij 24 & 25) 

Dengan mengingati perkara sedemikian barulah kita sedar bahawa Allah SWT telah mewakilkan kepada kita untuk menyampaikan hak milik orang lain melalui zakat daripada tangan kita sendiri. Mereka yang enggan dan ingkar dianggap mengkhianati amanah Allah SWT kerana menafikan hak orang fakir dan miskin. Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa harta yang dianugerahkan adalah harta Allah SWT kerana Dialah yang memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah yang telah dikurniakan kepadamu.” (An-Nur 33)


Walau bagaimanapun, kita akan sentiasa mendapat tentangan yang hebat daripada syaitan terhadap sebarang niat baik yang akan kita lakukan. Bisikan buruk akan merentas ruang pemikiran kita untuk membatalkan segala niat baik yang terpahat di dalam pemikiran kita. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Syaitan akan sentiasa membayangkan padamu dengan kemiskinan jika kamu bersedekah, sedangkan Allah menjanjikan keampunan serta kurniaan yang banyak. Dan Allah memiliki segala kurniaan lagi Maha Mengetahui.” (Baqarah 268)

Allah telah berjanji kepada mereka yang menafkahkan harta ke jalan Allah SWT bagi membantu fakir dan miskin dengan gandaan pahala dan kurniaan rezeki yang melimpah. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Segala apa yang kamu nafkahkan akan digantikan oleh Allah dan dialah yang maha pemurah dan pemberi rezeki.” (Saba’ 39). Inilah janji yang sering dikelirukan syaitan dengan kemiskinan dan kepapaan agar kita menjadi kikir dan tamak haloba. 

Al-Quran sentiasa memaparkan kisah pengajaran agar dapat kita pelajari bahawa sifat kikir tidak akan membawa ke mana-mana melainkan penyesalan dan kemurkaan daripada Allah SWT. 

Firman Allah SWT: “Ada antara mereka yang telah berjanji dengan Allah SWT, jika dikurniakan kekayaan, nescaya mereka akan bersedekah dan menjadi orang yang salih. Tetapi apabila benar-benar dikurniakan rezeki, mereka kikir dan berpaling dan menentang kebenaran.” (At-Taubah 75 & 76). 

Ibnu Kathir dan ahli tafsir yang lain seperti Ibnu Abbas dan Hasan Basri berpendapat bahawa ia adalah kisah yang terkenal berkaitan seorang sahabat yang bernama Sa’labah Ibnu Hatid. 

Beliau ialah antara sahabat yang pernah didoakan oleh Baginda SAW atas desakan beliau sendiri kerana kemiskinan yang dihadapi dan berjanji akan menginfaqkan hartanya ke jalan Allah, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya iaitu berpaling daripada perintah Allah apabila beliau mendapat kurniaan. 

Apabila dibacakan ayat yang mewajibkan zakat iaitu firman Allah SWT bermaksud: “Ambillah zakat bagi menyucikan harta mereka.” (At-Taubah 103) beliau terus berpaling dan enggan. Maka turunlah ayat 75 yang disebutkan tadi lalu diikuti oleh ayat yang menyatakan kemuncak kehidupan beliau iaitu sebagai seorang munafik. Firman Allah SWT bermaksud: “Maka Allah menanamkan sifat munafik ke dalam hati mereka sehinggalah ajal mereka tiba kerana pendustaan mereka terhadap Allah SWT.” (At-Taubah 77) 

Beliau meninggal pada masa Khalifah Othman ibnu Affan dalam keadaan yang hina yang mana zakatnya tidak diterima oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dengan alasan bahawa zakatnya telah ditolak oleh Baginda SAW ketika hayat Baginda. Benarlah apa yang disebut oleh hadis Qudsi bermaksud: “Wahai anak Adam, kamu telah mendapat apa yang mencukupi bagimu, lalu kamu menginginkan sesuatu yang akan merosakkan kamu. Sedikit kurniaan yang mencukupi adalah lebih baik daripada limpahan yang membebankan. Wahai anak Adam, jika kurniaanmu mencukupi untuk sehari, sebenarnya kamu telah mendapat segala-galanya di dunia ini.” 

Demikianlah kesudahan mereka yang kikir dan ingkar terhadap perintah zakat yang diwajibkan oleh Allah SWT. Apabila hak orang fakir dan miskin dinafikan, maka Allah SWT akan melontarkan kemurkaan-Nya dari tujuh petala langit dan bumi kepada mereka yang ingkar. Seterusnya mereka dikatakan sebagai orang munafik dan berdosa. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergejolak lalu melupuskan kulit kepala, yang sentiasa menggamit mereka yang berpaling daripada agama, juga mereka yang suka mengumpulkan harta dan enggan berzakat.” (Al-Ma’a rij 15 – 18) 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan mereka yang menyimpan emas dan perak serta enggan berzakat, maka khabarkanlah kepada mereka bahawa api neraka yang pedih sedang menanti.” (At-Taubah 34). Oleh itu, ingatlah ketika mendapat durian runtuh, bonus tahunan, wang ganjaran, hadiah istimewa dan lain-lain, bahawa ada bahagian untuk fakir dan miskin yang wajib dikendalikan terlebih dulu sebelum berbelanja. 

Penulis ialah Eksekutif Agama di NSTP 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...